820 JUTA KEBULURAN

Home Kehidupan Kesihatan

MENGIKUT kenyataan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 820 juta penduduk dunia kebuluran dan pada masa sama obesiti mencatat rekod tinggi.

Laporan yang dikeluarkan lima agensi PBB berkaitan makanan, nutrisi dan kesihatan menyatakan, meskipun kebanyakan kadar kebuluran adalah stabil, ramai penduduk dunia masih memikirkan bagaimana untuk mendapatkan makanan.

“Mereka berasa tidak selamat kerana berada dalam kawasan konflik, dalam negara dengan kadar inflasi tinggi selain dibayar gaji rendah serta tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli makanan.

“Dua bilion penduduk dunia mengalami masalah ini,” kata Ketua Pengarah Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) José Graziano da Silva.

Laporan yang dikeluarkan Isnin lalu menyatakan, kadar kebuluran tertinggi dicatatkan di Afrika di mana cuaca, konflik dan kemelesetan ekonomi menyebabkan lebih 256 juta penduduknya sukar mendapatkan makanan.

Di Asia, lebih 500 juta orang terutama di bahagian selatan mengalami malnutrisi. Hal ini memberi kesan berpanjangan terhadap mangsa terutamanya kanak-kanak.

Menurut Pengarah Eksekutif Program Makanan Dunia, David Beasley, isu kebuluran dunia boleh diselesaikan, namun ia tidak boleh dicapai sekiranya perang dan konflik yang menjejaskan ekonomi global tidak dihentikan.

Obesiti semakin meningkat

Untuk kali pertama, agensi PBB mengumpulkan data berhubung kadar obesiti dunia yang semakin meningkat.

“Kita mempunyai kira-kira 830 juta orang obes di seluruh dunia, hal ini terjadi di kebanyakan benua,” kata da Silva.

Menurutnya, trend menunjukkan jumlah orang yang mempunyai berat badan berlebihan dan obes di Afrika dan Asia tidak lama lagi akan melebihi mereka yang kelaparan.

Da Silva berkata, kadar obesiti meningkat 6.3 peratus dan 7.5 peratus setiap tahun masing-masing di Afrika dan Asia manakala kadar purata global ialah 4.8 peratus.

“Obesiti semakin meningkat dengan pantas dan ia merupakan wabak global,” kata da Silva yang turut menggesa makanan dilabel dengan lebih baik dan penggunaan garam, lemak dan gula dalam makanan proses dikurangkan.

Beliau turut menyarankan pengambilan makanan segar dan sihat selain menyekat pengiklanan beberapa produk yang menyasarkan kanak-kanak.
Sumber sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *