Categories
Budaya Home Kesihatan

Penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada 21 Disember 2015 telah memutuskan bahawa hukum penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram. Pandangan hukum oleh Muzakarah ini dimaklumkan oleh Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Dr Abdul Shukor Haji Husin pada sidang media selepas Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia di Hotel Sama-Sama KLIA.

Turut sama dalam sidang media berkenaan ialah Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Haji Othman Mustapha yang juga Setiausaha Jawatankuasa Fatwa MKI. Tan Sri Dato’ Dr Abdul Shukor berkata semua ahli muzakarah bersetuju bahawa penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram. Keputusan itu dibuat setelah membuat pertimbangan daripada semua sudut termasuk syariah, perubatan dan saintifik serta unsur pembaziran dan budaya tidak sihat.

Kajian dari sudut kesihatan turut diambil kira hasil maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang melakukan pengumpulan maklumat mengenai kesan penggunaan bahan itu di seluruh dunia. Malah pakar kesihatan juga mendapati vape dan rokok elektronik tidak dapat membantu perokok dan perokok tegar untuk berhenti merokok,” katanya.

Beliau berkata penggunaan vape dan rokok elektronik diharamkan berdasarkan Qaedah Sad al-Zara’e iaitu menutup keburukan lebih besar dan lebih bahaya yang mungkin berlaku pada masa hadapan. Penggunaan rokok elektronik dan vape boleh diibaratkan seperti menghisap rokok konvesional, yang mengandungi pelbagai bahan beracun.

Pihak berkuasa atau pemerintah boleh membuat keputusan pengharaman vape jika ada kepentingan umum dan kebaikan. Keputusan ini juga selari dengan pendapat di beberapa negara Islam lain termasuk Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Qatar dan Emirates Arab Bersatu. Dua kertas kerja telah dibentangkan iaitu,

dari sudut kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia “Penjelasan Isu Rokok Elektronik dan Vape” oleh Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman, Timbalan Ketua Pengarah KKM yang juga merupakan Pakar Perunding Kanan Kesihatan Awam. Manakala dari aspek syariah oleh Felo Penyelidik Fatwa, Tuan Haji Lokmanulhakim Hussain “Penggunaan Rokok Elektronik dan Vape Dari Perspektif Hukum Syarak”.

Muzakarah ini dihadiri oleh Mufti, Timbalan Mufti negeri-negeri dan ahli-ahli yang dilantik Majlis Raja-raja. sumber JAKIM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *