Restoran di dakwa jual daging anjing

Home


NILAI – Sebuah restoran di Kampung Baru Broga di sini, didakwa menjual daging anjing sebagai salah satu hidangan eksotik

Perkara itu didedahkan oleh seorang lelaki di akaun Facebooknya dan dikongsi oleh sebuah portal.

Dia mendakwa, rakannya pernah ke premis berkenaan dan pemiliknya mengaku kadang kala menawarkan hidangan itu kepada pelanggan dengan harga RM25 sepinggan.

Namun dakwanya, pelanggan perlu membuat tempahan terlebih dahulu kerana stok yang terhad.

Bukan sahaja daging anjing tetapi haiwan lain seperti tupai, landak dan daging buaya ditawarkan kepada pelanggan yang berminat.

Difahamkan restoran berkenaan sudah beroperasi sejak dua tahun lalu.

Sementara itu sumber polis berkata, pemeriksaan mendapati pemilik premis memiliki lesen menjual makanan eksotik dan mendakwa tidak menjual daging anjing secara terbuka kepada pelanggan.

“Pelanggan perlu buat tempahan jika mahukannya dan katanya daging anjing dalam bentuk sejuk beku itu diperoleh daripada pembekal di luar daerah Nilai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan daripada pengadu.

“Pengadu mendakwa restoran itu menyediakan makanan eksotik termasuk daging anjing.

“Polis telah pun membuat pemeriksaan di premis dan kita akan serahkan kes ini kepada jabatan berkaitan untuk tindakan lanjut kerana ia bukan bidang kuasa polis,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Wan Mat Wan Harun ketika dihubungi menjelaskan, restoran itu memiliki lesen menjual makanan eksotik tetapi daging anjing tidak termasuk dalam senarai dibenarkan.

Sumber sinar harian


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *