Categories
Home islam Kehidupan pendidikan

Bukan sebarang orang boleh jadi Amil tanpa tauliah.

TUGAS amil sebagai pengutip zakat, bukan sedikit dan bukan calang-calang. Mereka ini bekerja di bahagian pentadbiran zakat bukan sahaja pengutip yang mendapatkan zakat tetapi pengawal yang menjaga dan menyimpan harta zakat, penulis, pengira dan pembahagi zakat kepada asnaf yang layak.Mereka inilah yang bertindak mengambil zakat daripada pemiliknya dan sebagai pemberi ingatan berdasarkan pandangan tokoh ulama terkenal Dr. Yusuf Al-Qardhawi dalam kitabnya Fiqh Az-Zakat. ALLAH SWT secara jelas berfirman dalam Surah At-Taubah, ayat 103, yang bermaksud:

“Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (zakat) supaya dengannya kamu membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang keji) dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) ALLAH Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Berdasarkan ayat ini, pemerintah diberi kuasa untuk memungut zakat daripada harta umat Islam. Ini bermakna masyarakat yang beragama Islam yang telah cukup syarat berzakat, wajib mengeluarkan zakat kepada amil sebagaimana yang ditetapkan di dalam al-Quran Surah At-Taubah, ayat 60.

Di manakah perlu kita keluarkan zakat?Adakah anda yakin dengan wang zakat anda itu disalurkan dengan betul?Kepada siapa patut kita berikan zakat ini sebagai pemegang amanah?Adakah melalui individu, pertubuhan atau kebajikan?

Pelbagai isu dan persoalan diajukan oleh umat Islam berkenaan pembayaran zakat. Pada bulan Ramadan yang lalu, pihak agensi agama ada menerima aduan daripada masyarakat berkenaan ejen kutipan tidak sah yang meminta simpati orang ramai untuk menghulurkan sumbangan zakat.

Pada hal mereka ingin mendapat keuntungan semata-mata daripada sumbangan tersebut tanpa ada pelantikan sah daripada Majlis Agama Islam Negeri.Antaranya wakil insurans, ejen kutipan melalui pelajar tahfiz sedangkan sekolah tahfiz itu tidak pernah wujud, termasuk wakil-wakil ejen daripada warga asing di negara ini.

Masyarakat Islam haruslah berhati-hati dan berwaspada dengan individu, pertubuhan dan kebajikan yang menjalankan kutipan zakat khususnya di negeri Melaka tanpa kebenaran dari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).Untuk rekod, MAIM telah melantik Zakat Melaka (ZM) sebagai amil dan pentadbir bagi menguruskan urusan kutipan dan MAIM bertanggungjawab sebagai urusan agihan zakat di negeri Melaka.

Bagi menjalankan kuasa-kuasa di bawah Seksyen 74 dan 75 (2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002, MAIM telah melantik pegawai syarak dan bukan pegawai syarak sebagai amil fitrah dan diberi kuasa untuk memungut zakat dan fitrah di kariah yang ditetapkan di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Abdul Halim Ismail berkata, sesiapa sahaja yang memungut zakat di luar negeri dan melangkaui negeri yang ditetapkan, ia melanggar ketetapan hukum dan peraturan yang telah dikeluarkan oleh Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002 mengikut hukum syarak bagi pihak Yang di-Pertuan Agong untuk negeri Melaka.


Ini diperkuatkan lagi mengikut seksyen 89 berkaitan pungutan yang tidak sah bagi kesalahan-kesalahan lain berdasarkan Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991, memutuskan bahawa sesiapa yang membuat atau mengambil bahagian di dalam sesuatu pungutan yang berlawanan dengan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Melaka) 1991 merupakan satu kesalahan.

Apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 18 bulan atau kedua-duanya sekali dan mahkamah hendaklah memerintahkan supaya semua wang pungutan yang telah diperoleh itu dirampas dan dimasukkan ke dalam Baitulmal.

“Sebenarnya, setiap negeri mempunyai Majlis Agama Islam dan pihak berkuasa yang diberi amanah dan kuasa untuk memungut dan mengagihkan zakat di negeri masing-masing. Manakala pegawai dan kakitangan yang dilantik bagi setiap negeri ini diberi tanggungjawab dan amanah serta terlatih untuk menguruskan hal-hal berkaitan dengan kutipan dan agihan zakat tersebut,” katanya.

Menurut beliau, MAIM telah melantik seramai lebih kurang 1,198 amil harta dan amil fitrah secara sah untuk memungut zakat di negeri Melaka mengikut kariah yang merangkumi amil harta melalui ejen bank sebanyak 16 bank, ejen pos sebanyak 25 cawangan pos, ejen MATA sebanyak 15 agensi ejen MATA dan di bawah PPZ iaitu Maxis, UGAT dan PTPTN serta pegawai syarak imam 1 kariah yang dilantik seramai 189 orang. Manakala 950 amil fitrah yang dilantik terdiri daripada pegawai syarak dan bukan pegawai syarak di seluruh negeri Melaka pada tahun 2019, baru-baru ini.

sumber Sinar harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *