Permintaan tinggi sijil halal dalam kalangan orang bukan islam

Home Kesihatan Makanan

HULU SELANGOR – Permintaan tinggi terhadap produk halal di pasaran tempatan dan luar negara mendorong ramai pengusaha bukan Islam memohon mendapatkan sijil halal.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Mohamed Talha berkata, daripada sejumlah permohonan yang diterima, hanya 20 peratus dari kalangan pengusaha Islam.

Menurutnya, pengusaha termasuk usahawan mikro disaran berbuat demikian bagi merebut peluang produk mereka menembusi pasaran luar negara.

“Sijil halal yang dikeluarkan negara kita diiktiraf dan diperakui di 45 negara. Antara negara yang banyak mengimport produk halal adalah China, Singapura, Amerika Syarikat serta Jepun.

“Produk halal bukan hanya makanan tetapi merangkumi kosmetik, bahan mentah, penjagaan diri, ubat-ubatan dan banyak lagi.

“Dulu bila ke luar negara memang susah nak dapatkan produk halal tetapi sekarang sudah berbeza kerana produk halal mendapat permintaan tinggi di seluruh dunia,” katanya ketika berucap merasmikan Halal Fest di Masjid As-Salam Bukit Sentosa hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menganjurkan beberapa siri bengkel bagi membantu usahawan mikro di kawasan bandar mendapatkan sijil halal sekali gus mengembangkan pasaran produk masing-masing.

Sementara itu, pengarah program yang juga Pengerusi Persatuan Ekonomi Ummah Bukit Sentosa, Azhar Ahmad berkata, festival julung kali itu menghimpunkan usahawan produk halal seluruh negara bagi memperkenalkan produk mereka kepada masyarakat.

Menurutnya, halal tidak terhad kepada makanan semata-mata sebaliknya merangkumi segala aspek kehidupan seharian. Sumber sinar harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *