Kereta terbang dah lama orang cipta

Home

SEBENARNYA, penciptaan kereta terbang bukan satu perkara baharu.

Berdasarkan sejarah, selepas lebih sedekad adik-beradik Wright mencipta kapal terbang dan berjaya mendaratkannya di dataran Kitty Hawk, New York, Amerika Syarikat pada tahun 1903, ramai perintias lain mengejar impian menghasilkan kereta terbang.

Negara-negara maju seperti Jerman, Rusia dan China dikatakan telah menghabiskan sejumlah dana yang cukup besar untuk merealisasikan teknologi kereta terbang. Justeru, bukan jadi idea gila apabila kereta terbang mahu diwujudkan di Malaysia.

Baru-baru ini, negara membuka satu lembaran sejarah baharu apabila Aerodyne Group memperkenalkan prototaip Vector yang tidak mustahil satu hari nanti menjadi sistem pengangkutan udara nasional.

Difahamkan prototaipnya akan diperlihatkan seawal Oktober ini. Memetik kenyataan Pengarah Kanan Perundingan dan Pembangunan Perniagaan Aerodyne Group, Imtyaz Mohd Azzat berkata, Vector berupa kenderaan berkonsep dron.

Ujarnya, Vector direka untuk membawa penumpang, penghantaran kargo dan pengawasan dan ia bukannya sebuah kereta terbang.

“Vector dikuasakan oleh empat motor dan bateri lithium-ion yang membolehkan kenderaan itu terbang.

“Kenderaan itu juga boleh membawa bebanan dianggarkan 150 hingga 200 kilogram dan terbang pada ketinggian kira-kira 50 meter dengan kelajuan 60 kilometer sejam dan 30 ke 90 minit masa penerbangan,” katanya.

Berdasarkan laporan Sinar Harian dan Bernama, kerajaan dikatakan sedang memainkan peranan sebagai fasilitator dalam membangunkan ekosistem industri mobiliti udara.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, peraturan perlu diwujudkan bagi mengenal pasti ruang udara yang boleh digunakan kereta terbang dan dron pada masa depan.

Pastinya kemunculan teknologi dron bakal membawa satu paradigma baharu sekali gus menjadi penanda aras kemajuan industri automobil negara menjelang 2020.

Pada minggu ini, e-Trend berkongsi 12 prototaip kereta terbang yang dicipta oleh beberapa pereka cipta genius dari Jerman, Kesatuan Eropah termasuk China yang berlumba-lumba menghasilkan rekaan yang mencuri perhatian dunia seperti yang dilaporkan sebuah portal antarabangsa, www.automobilemag.com.

The Terrafugia Transition

Inovasi teknologi kenderaan tersebut menyerupai pesawat peribadi beroda dua yang didatangkan dari Woburn, Massachusetts, Amerika Syarikat.

Hanya dikuasakan dengan 100-hp Rotax 912iS empat silinder dan motor elektrik hibrid dalam mod memandu.

Pastinya teknologi tersebut memerlukan lesen terbang yang mampu dikendalikan dengan kelajuan maksimum 100 mph.

Kini, sebahagian projek inovasi itu dimiliki konglomerat China yang juga memiliki Volvo dan Lotus.

AeroMobil 4.0

AeroMobil 4.0 pula satu eknologi automobil yang boleh berubah daripada pesawat menjadi sebuah kereta dalam masa tiga minit sahaja.

Kenderaan futuristik dari Bratislava, Slovakia itu dijangka boleh didapati menjelang 2020-2021 nanti.

Dilengkapi denganpetak enjin pembakaran dalaman dengan unit kawalan digital FADEC selain sistem pemanduan roda depan hibrid.

Aston Martin Volante Vision

Gah seperti namanya. Prestasi kelajuan memang luar biasa apabila mampu bergerak dari Boston ke New York, Amerika Syarikat dalam durasi satu jam sahaja!

Aston Martin Volante Vision boleh membawa tiga penumpang dengan teknologi autonomi hibrid elektrik sepenuhnya dan boleh mendarat secara vertical (eVTOL).

Teknologi itu dibangunkan dengan kerjasama Cranfield Aerospace Solutions dan Syarikat Penerbangan Rolls-Royce.

Airbus (A3 Vahana) Alpha One

Mirip seperti dron versi gergasi. Hanya boleh membawa satu penumpang dengan mod pemanduan dan pendaratan secara vertical (eVTOL).

Dikuasakan dengan lapan 60hp 45kW pada sayap hadapan dan belakang selain 1/3 bahagian menggunakan kuasa bateri.

Demonstrasi kenderaan itu dijangka akan diadakan menjelang tahun depan.

Boeing (Aurora) PAV eVTOL

Inovasi itu dikatakan mampu menjadi pelopor kenderaan futuristik Uber Air yang direka khas untuk penerbangan dalam bandar sejauh 50 batu (80.5 kilometer).

Boleh membawa dua penumpang dalam satu masa dan sepenuhnya kuasa autonomi elektrik eVTOL. Ujian penerbangan pertama dijalankan 22 Januari lalu di Manassas, Virginia, Amerika Syarikat.

Volocopter 2X

Reka bentuk inovasi yang menyerupai helikopter biasa tetapi dilengkapi 18 rotor.

Eksperimen teknologi yang dibangunkan sejak tahun 2016 itu dikuasakan dengan sembilan bateri berkapasiti tinggi yang memberi 18 pemacu elektrik. Julat kelajuan 43mph hingga maksimum 62 mph sejauh 27.4 km.

Inovasi eVTOL itu dikatakan boleh membawa dua penumpang.

Samson Switchblade

Nampak seperti pesawat mini yang boleh membawa dua penumpang namun sebenarnya boleh dipandu di laluan darat dengan hanya menggunakan tiga roda sahaja.

Dikatakan sudah menerima 800 tempahan dari 24 negara. Teknologi yang dibangunkan di Redmond, Oregon, Amerika Syarikat itu mula mencuri tumpuan ramai sejak diperkenal pada tahun 2009.

Memiliki sayap yang boleh dilipat dengan tempoh kelajuan penerbangan 257km/jam yang dikuasakan 190 kuasa kuda melalui empat enjin piston 1.6-liter V-4. Harga dianggarkan USD120,000 (RM502,176) untuk kit standard.

EHang 184
Teknologi dari China yang mungkin dikatakan menjadi dron pembawa penumpang pertama dunia. Lebih 1,000 ujian penerbangan dijalankan sejak tempoh tiga tahun dengan ketinggian 304.8 meter.

Durasi pengecasan dalam satu jam dan boleh membawa muatan sehingga 90.7kg sahaja.

Penumpang obesiti dilarang sama sekali ya!

Opener BlackFly

Apa yang menarik tentang inovasi tersebut adalah ia dibiayai pengasas bersama Google, Larry Page dengan harga seunit dikatakan sama dengan harga sebuah SUV.

Dibangunkan di Palo Alto, California, Amerika Syarikat dengan hanya satu tempat duduk dan menggunakan kawalan joystick berwayar.

Teknologi eVTOL itu mampu selaju 62mph dengan julat 40.2km.

Lilium Jet

Mungkin menjadi jet elektrik pertama dunia dari Gilching, Jerman. Dibangunkan di bawah pemantauan European Space Agency dengan kemudahan lima tempat duduk dan enjin kipas yang boleh dicas semula (435hp).

Teknologi hebat itu juga dikawal menggunakan joystick berwayar dengan kelajuan 250mph dan ketua reka bentuk produk inovasi itu juga bukan calang-calang orang. Individu itu ialah bekas Pengarah Reka Bentuk McLaren, Frank Stephenson.

Unit Air Mobility Vehicle (AMV)

Jepun juga tidak kurang hebatnya apabila syarikat IT dan rangkaian Jepun (NEC) menguji prototaip kereta terbang elektrik kepada umum beberapa hari lalu bagi tujuan pembangunan teknologi komunikasi dan kawalan udara pada masa akan datang.

AMV berkenaan mempunyai dimensi 3.9 meter (panjang), 3.7 meter (lebar) dan 1.3 meter (tinggi). Ia turut dilengkapi dengan empat kipas propelar dan mempunyai berat 148 kg serta dikatakan akan menjadi pengangkutan kargo futuristik.sumber sinar harian







Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *