Categories
Home Kehidupan

Bas tanpa pemandu sedang di uji.

SINGAPURA – Singapura pada minggu depan akan memulakan percubaan bas tanpa pemandu yang boleh ditempah melalui sebuah aplikasi sebagai sebahagian daripada cita-cita untuk melancarkan kenderaan autonomi di seluruh negara.

Ia juga telah menjadi tempat ujian untuk kenderaan tanpa pemandu dan turut menjemput syarikat asing untuk melakukan percubaan perkhidmatan itu.

Menurut syarikat ST Engineering, empat bas mini tanpa pemandu akan melalui jalan sepanjang 5.7 kilometer di Pulau Sentosa bermula 26 Ogos hingga 15 November depan untuk percubaan awam.

Ketua Eksekutif syarikat itu, Vincent Chong berkata, bas terbabit dilengkapi dengan teknologi pelbagai sensor dan dibangunkan untuk beroperasi dalam persekitaran bandar yang kompleks.

Pengunjung boleh menggunakan aplikasi pada telefon bimbit mereka untuk menempah bas ulang-alik tersebut yang kemudiannya akan membawa mereka ke destinasi terpilih seperti kelab golf, pantai dan benteng tinggalan sejarah.

Mereka yang tidak mempunyai aplikasi itu juga boleh membuat tempahan menerusi kiosk di sepanjang laluan yang menyediakan perkhidmatan percuma selama empat jam pada setiap hari.

Difahamkan, bas itu akan turut mempunyai pemandu yang akan mengawal jika berlaku hal luar jangka secara tiba-tiba dan ia juga akan menghentikan operasi jika hujan lebat.

Perkhidmatan itu dijangka diperluaskan ke kawasan lain di Singapura dan diharap dapat mengatasi masalah kekurangan pemandu di negara itu.

Pada 2016, syarikat perisian AS, nuTonomy menjadi firma pertama di dunia melancarkan percubaan teksi tanpa pemandu di Singapura, sekali gus menewaskan pesaingnya, Uber. – AFP sumber sinar harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *