Datuk didakwa Mencuri tembakau shisha

Home

KLANG – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri 1,451 peket tembakau shisha dalam kontena, Mei lalu.

Tertuduh, Seikh Fakira Seikh Ahmad, 40, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman. 

Mengikut pertuduhan, Seikh Fakira didakwa mencuri 1,451 peket tembakau shisha jenis Molasses yang tersimpan di dalam kontena kepunyaan syarikat Al Muhra Sdn. Bhd. bernilai RM323,000. 

Kesalahan itu dilakukan di belakang sebuah rumah di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang di sini pada 27 Mei lalu di antara pukul 1 pagi hingga 4 pagi. 

Justeru, tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan. 

Kosmo! difahamkan tertuduh yang merupakan adik kepada salah seorang ahli politik di daerah ini dan tembakau shisha itu merupakan milik seorang kenamaan di Malaysia Timur. 

Timbalan Pendakwa Raya Ermadieyani Ismadi menawarkan jaminan RM25, 000 bersama seorang penjamin dengan syarat jaminan tertuduh tidak boleh menganggu atau mendekati enam saksi pendakwaan dikenali tertuduh. 

Peguam Gerard Lazarus mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM3, 000 menanggung seorang isteri dan tiga anaknya. 

“Selain itu, anak guam saya turut menanggung bapa mertuanya yang memerlukan rawatan akibat penyakit diabetis yang kronik. 

“Tertuduh juga tidak mempunyai akses kepada mana-mana pelabuhan (sehingga tembakau itu berjaya dibawa keluar),” katanya. 

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM10, 000 beserta seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan. 

Kosmo! sebelum ini melaporkan polis berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri tembakau shisha dalam kontena bernilai RM323,000 yang diimport dari Jordan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang dan Melaka baru-baru ini. – K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *