Categories
Home Kehidupan

Lelaki kahwin dua gadis serentak diminta tampil ke Jabatan Agama Islam

LELAKI yang mengahwini dua gadis serentak di Kampung Pukas, Semporna Jumaat lalu diminta tampil ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bagi melengkapkan prosedur perkahwinan mereka.

Pegawai JHEAINS Daerah Semporna, Jamaluddin Dasi berkata, pihaknya sedia membantu pasangan poligami itu termasuk menyelesaikan isu ‘kahwin kampung’, jika pengantin terbabit menggunakan jurunikah tidak bertauliah ketika proses pernikahan.

Beliau berkata, perkahwinan itu hanya dianggap sah mengikut undang-undang syariah negeri dan didaftarkan jika ia menggunakan jurunikah bertauliah yang dilantik JHEAINS selain mematuhi prosedur ditetapkan termasuk berkaitan permohonan berpoligami.

“Kami mendapat maklumat berkaitan perkahwinan itu menerusi berita yang tersebar melalui media sosial semalam dan sejurus selepas itu kami membuat keputusan untuk menjalankan siasatan kerana sebelum ini tiada kes perkahwinan seperti ini dibawa ke JHEAINS.

“Kami sudah ke kampung pasangan pengantin terbabit seperti yang dikatakan dalam berita itu untuk menjalankan siasatan dan membantu pasangan berkenaan malangnya penduduk kampung yang ditemui tidak mengetahui perkara itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, akhbar ini memaparkan kisah lelaki yang mengahwini dua gadis serentak selepas perkahwinan itu yang disifatkan jarang berlaku tersebar dalam media sosial dan mendapat perhatian netizen.

Majlis perkahwinan itu berlangsung 27 September lalu di Kampung Pukas, Semporna dan difahamkan dibuat secara ‘kahwin kampung’.

Difahamkan, pengantin lelaki berkenaan sudah bertunang dengan seorang daripada gadis terbabit di Kota Kinabalu sebelum mengenali dan bercinta dengan seorang lagi gadis ketika berpindah kerja di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul di sini.

Gadis berkenaan kemudiannya mengajak lelaki itu untuk berkahwin tetapi pada masa sama, tunangnya di Kota Kinabalu turut menggesanya berkahwin dengannya dan kesudahannya, kedua-dua gadis itu berkahwin serentak dengan lelaki terbabit. sumber Hmetro

Categories
Home

Pulau-pulau Menarik Di Semporna Lokasi Percutian Bersama Keluarga

Keindahan gugusan pulau di Semporna, Sabah, bukan sahaja dinikmati rakyat Malaysia, tetapi juga mendapat liputan antarabangsa dan dinobat sebagai antara kawasan menyelam skuba terbaik di dunia dengan banyak anugerah pelancongan berprestij telah diraih.

Disebabkan ini, Sabah turut digelar sebagai Maldives Asia Tenggara kerana keindahan pulau-pulaunya yang tersangat memukau dipandang mata.

Tidak perlu berfikir lama-lama ke mana ingin pergi untuk percutian akan datang, pilih sahaja mana-mana pulau di Semporna, Sabah seperti yang disenaraikan ini untuk menikmati percutian yang diselaputi keindahan yang penuh keaslian.

1. Pulau Sipadan

Pulau Menarik Di Semporna

Pulau Sipadan adalah salah satu destinasi menyelam skuba terbaik di dunia sehingga pernah mendapat liputan di dalam media antarabangsa seperti Discovery Channel dan National Geographic.

“I HAVE SEEN OTHER PLACES LIKE SIPADAN 45 YEARS AGO. NOW WE HAVE FOUND AGAIN AN UNTOUCHED PIECE OF ART.” – JACQUES-YVES COUSTEAU

Selain itu, kalau anda nak tahu, ekosistem lautan sekitar Pulau Sipadan ini sangat kaya dengan pelbagai spesies batu karang dan ikan yang dianggarkan lebih daripada 3000 jenis.

Jika anda menyelam ke dasar laut Pulau Sipadan juga, mata anda akan didedahkan kepada kawasan ‘perkuburan’ penyu iaitu dasar laut yang dipenuhi dengan cengkerang penyu yang telah mati.

Pulau Sipadan adalah lokasi menarik yang setiap orang wajib lawati sekali seumur hidup.

2. Pulau Timba Timba

Pulau Menarik Di Semporna

Keindahan perairan di sekitar pulau yang diberikan nama Pulau Timba Timba, Semporna ini cukup mengujakan. Nilai estetika yang dihasilkan daripada air dengan 3 lapisan warnanya ini cukup luar biasa.

Pulau yang terletak berhampiran dengan Pulau Mataking Kecil dan Pulau Mataking ini juga menjadi tempat persinggahan penyu.

Lautannya pula, kaya dengan hidupan laut seperti moray eels, barakuda, udang kara, sotong besar dan banyak lagi.

3. Pulau Sibuan

Pulau Menarik Di Semporna

Sebahagian daripada Taman Marin Tun Sakaran, Pulau Sibuan adalah sebuah pulau di Sabah yang terindah di permukaan Laut Sulawesi.

Untuk menuju ke arah permata indah ini dari Semporna hanyalah mengambil masa 40 minit perjalanan bot.

Tiba sahaja di pulau ini, jangan buang masa lagi! Terus sahaja menyelam skuba untuk mendekati hidupan marin makro yang dikatakan antara yang terbaik di Malaysia.

Anda dapat melihat kehadiran pelbagai spesies fauna seperti kuda laut, ikan singa, ikan kala jengking dan banyak lagi.

Namun begitu, tiada sebarang penginapan ditawarkan di pulau ini dan lokasi penginapan terdekat boleh ditemui di Pulau Pom Pom dan Pulau Mataking.

4. Pulau Mataking

Pulau Menarik Di Semporna

Jika daya tarikan utama di pulau lain adalah kekayaan alam semula jadinya, Pulau Mataking pula ada nilai bonus yang tersendiri.

Kalau anda nak tahu, di Pulau Mataking ini terdapat Pejabat Pos Dalam Air yang pertama dan satu-satunya di negara ini.

Ia wujud bukanlah kerana motorsikal ‘mat despatch’ yang tenggelam di dasar lautan, tapi adalah disebabkan kapal kargo kayu lama yang sengaja ditenggelamkan pihak resort untuk mewujudkan kawasan terumbu buatan yang dalam masa yang sama menjadi pejabat pos bawah air.

Mesti anda tertanya-tanya bagaimana pula surat diposkan di dalam air? Anda boleh meletakkan surat ke dalamnya dengan melindungi surat anda menggunakan beg kalis air. Unik bukan?

Selain itu, pulau ini turut kaya dengan kawasan-kawasan menyelamnya yang dikatakan terdapat lebih daripada 30 buah.

Kesemua lokasi menyelam ini kaya dengan hidupan laut yang dapat dilihat jelas melalui air yang jernih dan sekiranya anda merancang untuk menyelam skuba, waktu yang terbaik adalah dari bulan April hingga Jun.

5. Pulau Bum Bum

Pulau Menarik Di Semporna

Terletak berdekatan dengan Pekan Semporna, Pulau Bum Bum hanyalah 1 km dari daratan Sabah.

Pulau yang dikatakan memiliki saiz yang tidak jauh bezanya daripada negara Singapura ini merupakan destinasi percutian pulau yang cukup murah jika dibandingkan dengan pulau-pulau Sabah yang lain, namun keindahannya menjadi pujaan hati pengunjungnya.

Air yang jernih menjadikan ia lokasi hebat untuk bersnorkeling dan menyelam skuba untuk menikmati aneka hidupan marin yang bergerak bebas di dalam air.

Keindahan pemandangan sekitarnya juga membuatkan ia destinasi yang menarik untuk menajamkan bakat fotografi anda.

7. Pulau Bohey Dulang

Pulau Menarik Di Semporna

Dalam bahasa Bajau, Bohey bermaksud ‘air’ dan Dulang pula bermaksud ‘kolam’. Pulau ini mungkin diberi nama berdasarkan kewujudan beberapa buah kolam berbentuk bujur di sepanjang laluan air sungai di pulau ini.

Terletak sekitar 35 minit perjalanan bot dari Semporna, Pulau Bohey Dulang dikatakan menyimpan kisah legenda tersendiri.

Bukan sahaja menyimpan kisah yang menarik, Pulau Bohey Dulang turut menjadi tarikan ramai kerana kewujudan kawasan puncak bukitnya yang menyajikan pemandangan yang sungguh menakjubkan keseluruhan pulau.

8. Pulau Pom-Pom

Pulau Menarik Di Semporna

Pulau Pom-Pom sebenarnya terbahagi kepada Pom Pom Besar dan Pom Pom Kecil, namun secara totalnya pulau ini tidaklah sebesar mana untuk dijejaki kawasan sekitarnya. Masa diambil untuk menghabiskan pusingan perjalanan hanyalah dalam 30 minit.

Untuk pengetahuan anda yang ingin ke sini untuk menyelam skuba, lautannya cukup kaya dengan hidupan marin makro ataupun fauna bersaiz kecil yang sangat seronok untuk dilihat.

Pulau ini menawarkan kepelbagaian hidupan laut yang rare atau sukar ditemui. Apa lagi? Sediakan kamera kalis air anda sebelum ke sini!

Di samping itu, pulau ini turut menjadi tempat penetasan telur pilihan penyu sisik dan penyu hijau.

Dikatakan, penyu hijau akan datang menetaskan telur di sini sepanjang tahun namun musim kemuncaknya adalah dari bulan Mei hingga September. Manakala, kehadiran penyu sisik pula agak kurang jika dibezakan dengan penyu hijau.

9. Pulau Mabul

Pulau Menarik Di Semporna

Pulau Mabul antara pulau terkenal di Sabah kerana kedudukannya yang terletak berdekatan dengan Pulau Sipadan, merupakan salah satu kawasan menyelam yang terbaik di dunia.

Tarikan lain di pulau Mabul adalah pilihan penginapannya yang cukup banyak mengikut kesesuaian bajet anda, dari penginapan dengan kemudahan asas hinggalah kepada penginapan mewah.

Namun begitu, magnet tarikan utama di Pulau Mabul ini sebenarnya adalah kerana ia merupakan salah satu destinasi yang sangat kaya dengan hidupan marin yang penuh warna-warni.

Pelbagai jenis ikan dan sotong eksotik dapat dilihat melintas di depan mata jika anda menyelam skuba di sekitar lautan pulau ini.

Apa lagi yang boleh dibuat di sini? Anda boleh memenuhkan aktiviti di sini dengan melawat perkampungan masyarakat Bajau Laut, menikmati pemandangan matahari menaik dan terbenam yang sungguh mengujakan dan apabila malam menjelma, anda boleh bersantai di tepi pantai sambil menikmati pemandangan cahaya bintang galaksi dari langit sekitar pulau ini. Cukup mengagumkan.

10. Kapalai Island

Pulau Menarik Di Semporna

Mengambil masa 30 minit perjalanan bot dari Semporna, Pulau Kapalai adalah sebuah destinasi yang cukup fotogenik dan unik.

Sebaik mendekati kawasan pulau ini, anda akan melihat kehadiran chalet-chalet terapungnya yang berdiri di atas air laut sejernih Kristal.

Menghubungkan penginapan-penginapan ini adalah jambatan papan yang boleh dilalui untuk menikmati panorama air di sekitar yang jelas memaparkan hidupan marin yang penuh dengan warna-warni.

Sedihnya, hakisan pantai di pulau ini telah meningkatkan aras laut yang memberi kesan kepada ketinggian pulau ini yang kian berkurangan. Jadi, janganlah tangguh rancangan percutian anda ya?

Sumber ssentiasapanas

Categories
Home Kesihatan

Tahap kesihatan melalui warna air kencing.

Air kencing mempunyai banyak bahan-bahan kumuhan terutama nitrogen dalam pelbagai bentuk sama ada urea, asid uric, serta creatinine dan harus dikeluarkan untuk memastikan tubuh tidak mengalami masalah kesihatan.

Warna Air Kencing

Jadi, cara terbaik membuang bahan-bahan ini dari dalam tubuh ialah dengan minum air kosong secukupnya agar dapat dikeluarkan dengan banyak dan menyebabkan tahap bahan-bahan kumuh ini dalam darah dapat diturunkan.

Bagi pesakit gout yang mempunyai tahap asid uric yang tinggi, minumlah air kosong yang mencukupi, namun pastikan mendapat nasihat doktor jika telah mengalami masalah kerosakan ginjal sebelum minum yang banyak.

Kandungan Air Kencing

Penghasilan air kencing yang terlalu sedikit atau terlalu banyak selalunya menunjukkan seseorang itu mungkin mengalami masalah kesihatan.

Jika membuang air kencing terlalu banyak (melebihi 2.5L dalam sehari), dinamakan “Polyuria ”. Jika terlalu sedikit kurang dari 400 ml sehari dinamakan “Oliguria ” dan jika kurang 100 mL sehari dinamakan “Anuria”.

Sebahagian besar iaitu antara 90-95% air kencing adalah air yang mengandungi garam (mineral) dan bahan-bahan lain seperti protein, urea, creatinine, hormon, dan bahan kumuh yang lain (bergantung pada apa yang kita makan dan minum).

Namun, begitu kandungan bahan-bahan ini sangat rendah dalam air kencing seorang individu yang sihat.

Air Kencing Terlalu Jernih

Air kencing yang terlalu jernih menunjukkan seseorang itu mengalami penghidratan yang keterlaluan (over-hydration), lebih baik dari mengalami dehidrasi.

Namun, mengeluarkan air kencing terlalu banyak dibimbangi akan mengalami masalah kekurangan mineral dalam darah terutamanya natrium sehingga menyebabkan keadaan yang dinamakan hyponatrinemia yang mengakibatkan masalah saraf.

Pengambilan Dadah

Bagi mereka yang menjalani pemeriksaan dadah dalam air kencing, selalunya sample air kencing yang diberikan jika terlalu jernih menunjukkan kemungkinan seseorang itu cuba mengelak dari dikesan mengambil bahan terlarang.

Mereka minum air dengan terlalu banyak sehinggakan air kencing menjadi terlalu cair.

Kenapa Air Kencing Keruh?

Air kencing yang keruh mungkin menunjukkan seseorang itu mengalami masalah jangkitan kuman atau sedang mengalami proses pembentukan batu karang (crystallization) dari mineral kalsium phosphate.

Apa Itu Air Kencing Kotor?

Air kencing kotor adalah istilah yang diberikan oleh doktor kepada pesakit yang mempunyai jangkitan kuman pada sistem air kencing mereka atau air kencing pesakit tidak normal.

Selalunya, doktor akan melakukan pemeriksaan air kencing yang dinamakan UFEME. Air kencing yang dikumpul akan diteliti penampilan warna air kencing ketika itu.

Tahap asiditi (pH) dan ketumpatan (specific gravity) akan dikira. Kemudian air kencing akan diletakkan di bawah mikroskop bagi mengira kehadiran protein, albumin, gula, ketone, sel-sel darah putih, nitrogen, urea dan beberapa parameter lain.

Jika bacaannya tidak normal, doktor akan mencadangkan pemeriksaan darah untuk mengetahui fungsi ginjal. Ujian ini dinamakan Kidney Function Test.

Kenapa Air Kencing Berbuih?

Air kencing yang berbuih mungkin disebabkan oleh dua perkara. Pertama, pesakit sedang mengalami dehidrasi atau terdapat kehadiran protein yang banyak dalam air kencing yang berkemungkinan menunjukkan pesakit mengalami masalah fungsi ginjal.

Secara kesimpulannya, air kencing kotor dan air kencing berbuih adalah sesuatu yang tidak normal. Dapatkan nasihat doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Punca Dan Tanda-tanda Warna Air Kencing

Secara amnya, warna dalam air kencing menunjukkan kemungkinan beberapa masalah kesihatan antaranya:

1. Kuning pekat

Dehidrasi (kekurangan air dalam tubuh).

2. Kuning/Jingga cair

Pengambilan vitamin B kompleks atau Vitamin C.

3. Jingga

Pengambilan ubat-ubatan seperti rifampin dan phenazopyridine.

4. Jingga gelap hingga perang

Mengalamai masalah Jaundice, rhabdomyolysis atau Gilbert’s syndrome. Ia adalah masalah kesihatan di mana hati tidak dapat memproses nyahtoksin bilirubin (yang terhasil dari penghuraian sel darah merah yang telah rosak dan mati).

Ia meningkatkan tahap bilirubin dalam darah yang akhirnya keluar bersama air kencing dan menjadikan air kencing berwarna jingga.

5. Merah berdarah (hematuria)

Ketumbuhan dalam ginjal atau pundi kencing.

6. Hitam (Melanuria)

Kanser kulit melanoma atau penyakit non-melanin acute intermittent porphyria.

7. Merah jambu

Kesan selepas makan ubi beet.

8. Hijau

Kesan selepas makan asparagus atau minum serta makan makanan yang mengandungi pewarna hijau.

9.Merah atau perang

Masalah penyakit porphyria atau memakan ubi beet atau buah mata naga.

10. Biru

Pengambilan methylene blue dalam beberapa jenis ubat atau minuman dan makanan yang mempunyai pewarna biru.

11. Biru

Blue Diaper Syndrome. Penyakit genetik (keturunan) yang jarang berlaku. Ia dikategorikan sebagai penyakit autosomal recessive metabolic disorder apabila seorang bayi mengeluarkan air kencing berwarna biru akibat masalah penyerapan protein tryptophan ke dalam darah.

12. Ungu

Purple Urine Bag Syndrome. Adalah keadaan di mana air kencing menjadi ungu dalam beg air kencing (selalunya pada pesakit yang dimasukkan urinary catheter dan urinary bag).

Kuman dalam air kencing menghasilkan enzim enzyme indoxyl phosphatase. Enzi mini akan menukarkan bahan yang mengandungi indoxyl sulfate (pada saluran dan beg plastik air kencing) yang ada dalam air kencing dan ditukarkan menjadi indirubin yang warna ungu.

13. Merah gelap

Dehidrasi melampau atau darah dalam air kencing atau masalah Choluria.

14. Merah jambu

Kesan selepas pengambilan ubi beetfoot.

15. Hijau

Selepas pemberian infusi ubat bius propofol dalam jangka masa yang lama.

Adakah Air Kencing Berbahaya?

Secara amnya air kencing tidak berbahaya, namun kerana ia mengandungi tahap nitrogen yang tinggi, ia mungkin merengsakan mata dan kulit.

Oleh itu bagi bayi yang menggunakan kain lampin (yang dibuat dari kain kasa atau kain lampin komersial), ia harus ditukar segera apabila lampin yang sudah basah bagi mengurangkan risiko mendapat kerengsaan (irritatation) pada kulit.

Beberapa buah negara air memproses kencing dan air kumbahan untuk mendapatkan air bersih dan selamat digunakan.

Sebelum ini saintis percaya air kencing tidak mempunyai kuman (sterile) sehinggalah ia sampai ke saluran air kencing urethra, di mana terdapat lapisan sel-sel epithelium pada urethra yang menjadi tempat pembiakan kuman anaerobic Gram negative.

Namun, kajian terbaharu menyatakan bahawa sebenarnya air kencing tidak bebas kuman kerana ia mengandungi kuman yang tinggal di sepanjang sistem perkumuhan air kencing.

Saintis percaya bahawa bau hancing sebenarnya adalah aktiviti kuman-kuman ini yang menghurai dan membebaskan molekul urea.

Sumber sentiasapanas

Categories
Home

Saya dipulaukan oleh rakan-rakan sendiri serta menerima pelbagai tohmahan sebab bercakap benar -R Narresh

“PAHIT rasanya apabila saya dipulaukan oleh rakan-rakan sendiri serta menerima pelbagai tohmahan sejak memberikan keterangan berhubung apa yang menimpa Muhammad Adib dalam insiden rusuhan itu.

“Tapi pada hari ini, semuanya bertukar menjadi manis kerana akhirnya terbukti saya tidak mereka cerita mengenai kejadian itu,” kata saksi inkues kesembilan, R Narresh, 30.

Narrresh berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Koroner hari ini, yang memutuskan punca kehilangan anggota bomba, Muhammad Adib akibat impak perbuatan jenayah disebabkan dua atau lebih lelaki yang tidak dikenali.

Menurut Narresh, bukan dia sahaja dikecam, malah keluarganya turut menerima nasib yang sama selepas dia menjadi saksi dan memberikan keterangan di Mahkamah Koroner pada 18 Februari lalu.

“Saya memberitahu perkara yang saya lihat dan membantu Muhammad Adib kerana tiada siapa mahu berbuat demikian pada malam kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, Narresh menjelaskan dia tidak pernah menuduh bangsa yang bertindak memukul Muhammad Adib dan memberikan keterangan berdasarkan apa yang dilihat pada malam itu.

Narresh berkata, sejak memberikan keterangan di mahkamah, dia menerima banyak panggilan dari nombor tidak dikenali yang mengecam keterangannya itu.

“Mereka tidak berpuas hati dengan keterangan saya sedangkan apa yang saya lakukan kepada Muhammad Adib adalah satu tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

“Sebagai sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM), saya mahu buktikan bahawa tindakan saya membantu mangsa menunjukkan rakyat negara ini tidak bersifat perkauman dan wajib membantu insan yang dalam kesusahan,” katanya.

Berdasarkan keterangan di Mahkamah Koroner, Narresh adalah individu yang membantu Muhammad Adib pada malam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, tahun lalu.

Narresh yang melihat Muhammad Adib mengalami kecederaan ketika itu membawa anggota bomba itu ke Subang Jaya Medical Centre (SJMC) untuk rawatan lanjut.

Selain itu, Narresh juga bertindak menghubungi rakan sekerja Muhammad Adib bagi memaklumkan kejadian yang berlaku.

Koroner Rofiah Mohamad pada pagi ini membacakan keputusan inkues kematian Muhmaad Adib disebabkan perbuatan jenayah dua atau lebih orang tidak dikenali.

Prosiding inkues yang dikendalikan Pengendali Faten Hadni Khairuddin itu bermula pada 11 Februari lalu dengan seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil memberi keterangan selain 137 eksibit dikemukakan.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di Institut Jantung Negara (IJN).sumber harian metro

Categories
Home

Hukum orang yang tidak bertegur sapa selama setahun

SOALAN:
Apakah terdapat hadith orang yang tidak bertegur sapa selama setahun sama seperti membunNuhnya?

JAWAPAN:
Agama Islam amat menitikberatkan pertalian persaudaraan serta kasih sayang sesama manusia. Ini kerana, Allah SWT menyatakan dengan jelas di dalam al-Quran bahawa orang yang beriman itu adalah bersaudara:

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu serta bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Al-Hujurat: 10)

Persaudaraan merupakan satu ikatan yang mana Allah SWT telah mengikatnya di antara orang-orang yang beriman. Sekiranya kita mendapati sesiapa sahaja sama ada dari timur atau barat yang beriman kepada Allah, para Malaikat, kitab-kitab, para Rasul, hari akhirat maka dia adalah saudara kepada orang yang beriman. Di samping itu juga, persaudaraan ini juga mewajibkan orang beriman untuk menyayanginya sepertimana mereka menyayangi diri mereka sendiri atau sebaliknya. [Lihat Tafsir al-Sa’di, 800]

Berdasarkan soalan di atas, memang terdapat sebuah hadith yang menceritakan hukuman bagi orang yang bertengkar atau tidak bertegur dalam tempoh yang lama iaitu daripada Abi Khirash al-Sulami bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ هَجَرَ أَخَاهُ سَنَةً فَهُوَ كَسَفْكِ دَمِهِ
“Barangsiapa yang tidak bertegur saudaranya selama setahun sama seperti dia telah menumpahkan darahnya.” [Riwayat Abu Daud (4915), Syeikh Syu’aib al-Arna’outh telah menilai sanad hadith ini sebagai sahih]

Tambahan pula, yang dimaksudkan dengan saudara di dalam hadith di atas adalah saudara seagama selama satu tahun maka ia seperti mengalirkan darahnya dalam hal bertambahnya dosa dan bukan pada kadarnya. [Lihat: Aun al-Ma’bud, 13/176]

Di dalam hadith yang lain, ada dinyatakan bahawa hukum bertengkar sesama Islam ini adalah haram sekiranya tanpa sebab yang syar’ie. Hal ini berdasarkan kepada sebuah hadith yang sahih daripada Abu Ayyub al-Ansari RA bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ
“Tidak halal bagi seorang Muslim untuk tidak bertegur saudaranya melebihi tiga hari.” [Riwayat Muslim (2560)]

Penutup

Kesimpulannya, hadith yang menceritakan bahawa orang yang tidak bertegur saudaranya selama setahun sama seperti dia telah menumpahkan darahnya adalah hadith yang sahih. Tambahan pula, orang yang memutuskan pertalian persaudaraan tidak akan masuk syurga berdasarkan kepada sebuah hadith yang sahih:

Daripada Jubair bin Mut’im RA bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَاطِعٌ
“Tidak masuk syurga orang yang memutuskan (silaturrahim).” [Riwayat al-Bukhari (5984)]

Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa menjaga pertalian persaudaraan sesama Islam serta memasukkan kita ke dalam syurga-Nya. Amin. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti 

Categories
Home Kehidupan

Cinta kami bukan cinta biasa ,tetap akan langsungkan perkahwinan walau barah tahap empat.

“SAYA akan teruskan majlis perkahwinan itu kerana persiapan sudah dilakukan dan tidak mahu menyusahkan keluarga serta mereka yang membantu,” kata Nur Atikah Hamidon.

Nur Atikah, 27, mencuri perhatian warganet selepas berkongsi kisahnya menghidap barah Synovial Sarcoma iaitu ketumbuhan pada paru-paru tahap empat sejak dua bulan lalu.

Ciapan dimuat naik di Twitter itu mengundang rasa sebak warganet kerana Nur Atikah turut menyatakan harapan untuk sembuh dan keinginannya untuk memakai persalinan pengantin pada majlis pernikahan dengan tunangnya, Muhammad Zarul Syafiq Abu Bakar, 27, pada 26 Oktober depan.

Nur Atikah berkata, dia dimaklumkan menghidap penyakit berkenaan kira-kira dua bulan lalu iaitu tidak lama selepas mengikat tali pertunangan dengan Muhammad Zarul.

Menurutnya, bukan mudah untuk menerima hakikat itu, tetapi keluarganya dan Muhammad Zarul banyak memberinya semangat untuk melawan penyakit berkenaan.

“Selepas disahkan menghidap barah, saya menangis kerana bimbang tidak dapat hidup lama memandangkan baru saja bertunang dan bakal mendirikan rumah tangga.

“Namun, tunang banyak memberi kata semangat kepada saya untuk kuat, malah dia orang pertama yang tahu mengenainya kerana menemani saya ke hospital pada waktu itu.

“Dia berjanji tidak akan meninggalkan saya dan dari situ, saya dapat kekuatan untuk mengharungi dan reda dengan ujian ini,” katanya.

Nur Atikah berkata, dia selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di bahagian paru-baru sebelah kiri di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Isnin lalu.

Menurutnya, buat masa ini, dia masih ditahan di wad dan tidak tahu bila akan dibenarkan pulang ke rumah, tetapi berharap kesihatannya beransur baik kerana nekad meneruskan majlis perkahwinan dirancang.

“Saya dan tunang berkenalan sejak 10 tahun lalu dan pada mulanya, kami hanyalah sekadar kawan karib yang mengambil berat antara satu sama lain.

“Selepas sekian selama berkawan, kami menjalin hubungan cinta lapan bulan lalu sebelum mengikat tali pertunangan dan bakal bergelar suami isteri tidak lama lagi.

“Disebabkan itu, saya tidak mahu majlis itu dibatalkan hanya kerana penyakit ini memandangkan semua persiapan sudah dibuat kedua-dua pihak dan hanya menghitung hari untuk kami diijabkabulkan,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Zarul berkata, dia reda dan menganggap apa yang berlaku itu sebahagian ujian untuk menguji kesetiaannya terhadap Nur Atikah.

Katanya, sebagai pasangan, dia akan sentiasa memberi semangat supaya Nur Atikah supaya terus kuat dan tidak sesekali berputus asa untuk meneruskan hidup.

“Apa yang berlaku tidak akan menyebabkan saya berubah hati, jauh sekali meninggalkannya (Nur Atikah) kerana kami sudah lama berkenalan dan sayangkan satu sama lain.

“Buat masa ini, fokus saya adalah menjaga serta memantau kesihatannya dengan harapan dia dan sembuh seperti sedia kala,” katanya. sumber hmetro

Categories
Home ilmu seram

Wanita terkejut lihat Wajah Misteri Dalam X-ray Kandungan!

Pasangan suami isteri, Britainy Clark dan James Grouvel, sama sekali tidak menyangka mereka akan menerima cahaya mata, selepas doktor memaklumkan bahawa mustahil untuk mereka mendapat zuriat.

Wajah misteri dalam perut

Wanita itu disahkan menghidap endometriosis yang mana sel endometrium dari rahim berkembang di kawasan lain dalam tubuhnya.

Setelah berjaya hamil, mereka telah membuat imbasan bayi sebelum dikejutkan dengan satu wajah misteri.

“Saya hantar gambar itu kepada ibu dan emak saudara kerana rasa ada sesuatu yang pelik.

“Mereka berdua pun nampak ada wajah lain,” ujar Britainy.

Kata ibunya pula, ia merupakan petanda selepas dia mengalami nasib malang dalam hidup.

Menakutkan.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Categories
Home islam

Selepas dapat mimpi,Bekas CEO Rayani Air peluk Islam

PASIR MAS – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air, Ravi Alagendran, 52, memeluk Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah di Balai Islam Lundang, di sini kelmarin.

Keputusan Ravi Alagendran Abdullah itu didedahkan oleh rakan baiknya iaitu Syed Mohd. Amirrudin Syed Alwi.

Syed Mohd. Amirrudin mendedahkan, Ravi memperoleh hidayah untuk memeluk Islam menerusi mimpi.

“Sebelum itu dia banyak berkawan dan bergaul dengan orang Islam. Dari situlah timbul perasaan untuk mendekati Islam selain diberikan hidayah oleh Allah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Syed Mohd. Amirrudin turut mengakui tindakan Ravi memperkenalkan penerbangan patuh syariah merupakan salah satu usahanya selepas tertarik dengan ajaran Islam.

Katanya, Ravi kemudian banyak membaca dan belajar berkaitan dengan Islam selain mendengar ceramah-ceramah pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik.

“Sejurus memeluk Islam, hari ini Ravi Alagendran berkahwin dengan warga Indonesia Uci Indah Sari, 23,” ujarnya.

Rayani Air merupakan sebuah syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia dan memulakan operasi pada Disember 2015.

Bagaimanapun, pada 9 April 2016, Ravi membuat pengumuman menggantung operasi Rayani Air berkuat kuasa serta-merta.

Pada Jun tahun yang sama, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air kerana didapati melanggar syarat-syarat ASL dan kurang keupayaan dari segi kewangan serta pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial. – K! ONLINE

Categories
Home islam Wanita

Hukum Nafkah Bagi Wanita Bekerjaya

SOALAN:
Isteri mempunyai pekerjaan dan pendapatan sendiri. Adakah masih wajib suaminya memberi nafkah kepadanya?

JAWAPAN:
Wajib atas suaminya memberi nafkah kepada isteri sama ada isterinya itu miskin atau kaya dan sama ada isterinya ada pendapatan sendiri atau tiada.

Tersebut dalam himpunan fatwa negeri Mesir:

نفقة الزوجة واجبة على زوجها وإن كانت تعمل؛ فقد ثبت وجوب نفقة الزوجة بالكتاب والسنة والإجماع
وأما الإجماع: فقد اتفق أهل العلم على وجوب نفقات الزوجات على أزواجهن إذا مكنت المرأة زوجها منها، وكانت مطيقة للوطء، ولم تمتنع عنه لغير عذر شرعي.
“Bermula nafkah isteri itu wajib ia atas suaminya sekalipun isteri itu bekerja. Maka sungguh telah tetaplah wajib memberi nafkah akan isteri itu dengan nas al-Quran, sunnah dan ijma’. Dan adapun ijma’ maka telah sepakat sekalian ulama’ atas wajib nafkah isteri itu atas suami apabila isteri itu telah tinggal bersama suaminya dan layak untuk dijimak dan tiada terhalang darinya tanpa sebarang uzur syarak.”

Berkata Imam Ibnu Qudamah:

وعلى الزوج نفقة زوجته، ما لا غناء بها عنه، وكسوتها، وجملة الأمر أن المرأة إذا سلمت نفسها إلى الزوج، على الوجه الواجب عليها، فلها عليه جميع حاجتها؛ من مأكول ومشروب وملبوس ومسكن
“Dan atas suami membayar nafkah isterinya iaitu perkara yang tidak dapat tidak dari keperluan dan pakaian. Dan apabila isteri telah menyerah dirinya bagi suaminya atas jalan yang wajib maka suami wajib memberi nafkh isterinya itu daripada makanan dan minuman dan pakaian dan tempat tinggal.” (Kitab Al-Mughni)

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus

Categories
Home Makanan

DATUK Jawahar Ali Presiden Presma yang baru

DATUK Jawahar Ali Taib Khan atau dikenali sebagai Datuk Ali Maju.

TUMPU kepada program kebajikan dan harga patut. Itu fokus Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) yang baru, Datuk Jawahar Ali Taib Khan apabila diumumkan menang tanpa bertanding pada pemilihan hari ini.

Pemilik Rangkaian Restoran Ali Maju itu berkata, beliau akan menggalas tanggungjawab sebaik mungkin untuk menjaga komuniti peniaga dan pengusaha restoran muslim di seluruh negara dan menggunakan platform itu untuk kerja amal seperti sebelum ini.

Katanya, beberapa isu seperti kebersihan dan harga berpatutan selain program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama beberapa agensi kerajaan akan diberi perhatian dalam usaha membantu masyarakat di negara ini.

“PRESMA akan bekerjasama dengan beberapa kementerian seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDNHEP), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia dalam memastikan bukan saja aspek perniagaan, tetapi perkara lain turut diambil kira.

“Kami akan memberikan cadangan kepada kerajaan berhubung isu pekerja asing khususnya di restoran kerana tidak mahu ada isu timbul selain membantu pekerja tempatan. Saya harap dapat berkhidmat dengan baik,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau yang juga menjadi rakan strategik Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam program foodbank berkata, ia akan diteruskan dan diperkemas memandangkan ahli PRESMA ada di seluruh negara.

Menurutnya, ketika ini PRESMA mempunyai lebih 4,000 ahli terdiri daripada pengusaha restoran muslim dan mereka komited untuk mewujudkan situasi menang-menang dalam perniagaan.

“Saya tegaskan, kita bukan saja bercakap soal wang ringgit, tetapi mencari keberkatan. Kami mahu pelanggan sokong dan doakan agar kami semua berjaya di dunia mahu pun akhirat.

“PRESMA akan menjadi mata dan telinga kepada kerajaan, memainkan peranan bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bagi memastikan isu kepenggunaan ditangani dengan baik,” katanya.sumber hmetro