Belanjawan 2020: 12 perkara yang perlu tahu

Home Wanita

Pembentangan Belanjawan 2020 selamat dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng bermula 4 petang hari ini. Bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’, Belanjawan 2020 ini merupakan belanjawan kedua dibawah kerajaan Pakatan Harapan.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, pembentangan belanjawan sentiasa dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia bagi mengetahui inti pati dan manfaat yang bakal diperoleh mereka sepanjang tahun hadapan. Ini 12 highlight Belanjawan 2020 yang mesti korang kena tahu!

1. GST tidak akan dilaksanakan

Kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan semula sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dihapuskan sepenuhnya Jun tahun lalu. Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pendirian ini dibuat bagi menghormati mandat yang diberi rakyat pada Pilihan Raya Umum tahun lalu. Pelaksanaan GST yang dilaksanakan sejak April 2015 oleh kerajaan terdahulu ditamatkan dan digantikan dengan SST selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU-14.

2. Gaji minimum RM1.2k

Menerusi Sinar Harian, kerajaan mencadangkan gaji minimum ditingkatkan dari RM1100 sebulan kepada RM1200 sebulan bagi mengimbangi keperluan pekerja dan majikan. Walau bagaimanapun, kenaikan ini adalah hanya untuk di wilayah bandar-bandar utama sahaja.

3. Elaun sara hidup nelayan ditingkatkan

Kerajaan akan meningkatkan kadar elaun sara hidup nelayan dari RM200 kepada RM250 sebulan menjadikan peruntukan keseluruhan sebanyak RM152 juta pada tahun 2020.

4. Diskaun tol 18 peratus

Menerusi laporan Astro Awani, rakyat boleh menikmati diskaun tol sebanyak 18 peratus secara purata di semua lebuh raya milik PLUS Malaysia Berhad mulai tahun 2020. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, diskaun tol itu akan memberikan penjimatan kepada pengguna lebuh raya tersebut sehingga RM1,130 juta pada tahun 2020 dan RM43 bilion sepanjang baki tempoh konsesi sehingga 2038.

5. Bantuan Khas Kewangan

Kerajaan umumkan Bantuan Khas Kewangan RM500 untuk kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah. Bagi pesara kerajaan, Bantuan Khas Kewangan RM250 akan diberikan, turut dipanjangkan kepada veteran tidak berpencen. Kedua-dua bantuan dibayar sebelum akhir 2019.

6. Bantuan Sara Hidup (BSH)

Kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 bilion bagi Bantuan Sara Hidup (BSH) dan memperluaskan skim itu meliputi 1.1 juta individu bujang berumur melebihi 40 tahun yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.

7. Cuti bersalin dipanjangkan

Berita gembira buat golongan wanita apabila tempoh cuti bersalin dipanjangkan daripada 60 hari ke 90 hari mulai 2021. Menurut Lim Guan Eng, kerajaan akan meneliti semula Akta Kerja 1955 meliputi empat perkara termasuk tempoh cuti bersalin, bagi memastikan akta tersebut kekal relevan dengan keperluan pasaran tenaga kerja semasa

8. #MalaysiaKerja (Malaysians@work)

Kerajaan bercadang untuk melancarkan inisiatif #MalaysiaKerja bagi meningkatkan peluang pekerjaan yang lebih baik kepada belia dan wanita dalam lima tahun akan datang serta bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing. Menurut Menteri Kewangan, melalui inisiatif ini dijangka peluang pekerjaan akan bertambah sebanyak 350, 000 untuk rakyat Malaysia. Inisiatif ini juga terbahagi kepada empat program iaitu Graduan@Kerja, Wanita@Kerja, Watan@Kerja dan Perantis@Kerja.

9. #GraduanKerja (Graduates@Work)

GraduanKerja (Graduates@Work) yang menganggur melebihi 12 bulan akan diberikan peluang pekerjaan melalui program ini. Graduan yang menerima tawaran kerja akan menerima insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan sebagai tambahan kepada gaji yang diterima. Manakala majikan pula akan menerima insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan juga bagi tempoh yang sama.

10. #WanitaKerja (Women@Work)

Seterusnya ialah program #WanitaKerja dimana bertujuan untuk mewujudkan 33, 000 peluang pekerjaan buat wanita yang berumur di antara 30 hingga 50 tahun yang telah berhenti kerja selama setahun atau lebih. Selain itu, wanita yang kembali bekerja akan diberi insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan dan pengecualian cukai pendapatan dilanjutkan sehingga tahun 2023.

11. #WatanKerja (Locals@Work)

#WatanKerja pula adalah program kesamarataan kos pengambilan pekerja yang bertujuan mengalihkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah. Tambah Lim Guan Eng lagi, kepada warganegara yang menggantikan pekerja asing akan mendapat insentif gaji dua tahun RM350 atau RM500 sebulan mengikut sektor.

12. #PerantisKerja (Apprentice@Work)

Tambahan elaun sebanyak RM100 sebulan diberikan kepada pelajar Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional  (TVET). Pendirian ini bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai belia menyertai kursus ini.

Sumber: Free Malaysia TodayAstro AwaniSinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *