Categories
Home Makanan

Walau dah 10 tahun tapi burger tak reput

REYKJAVIK – Hampir 400,000 orang setiap hari tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri burger dan kentang goreng tidak mereput selepas hampir sedekad yang kini dipamerkan di selatan Iceland.

Burger tersebut merupakan pesanan terakhir yang dibeli oleh seorang pelanggan di restoran makanan segera McDonald’s sebelum restoran itu ditutup di Iceland.

Rangkaian makanan popular berpusat di Amerika Syarikat (AS) itu menutup tiga cawangan mereka di Iceland ketika negara kepulauan subartik itu berdepan krisis kewangan pada 2009, sekali gus menjadikan ia sebagai satu-satunya negara Barat yang tidak mempunyai McDonald’s.

Pada 31 Oktober 2009, Hjortur Smarason membeli burger bersama kentang goreng untuk satu eksperimen.

“Saya membuat keputusan untuk membeli menu terakhir itu sebagai kenangan. Saya juga mahu melihat sendiri sama ada menu McDonald’s tidak boleh mereput seperti diperkatakan ramai orang,” kata Smarason yang bekerja sebagai pengurus komunikasi untuk sebuah syarikat dalam pengkhususan pelancongan angkasa.

Menurutnya, dia menyimpan burger dan kentang goreng tersebut di dalam garaj sebelum menyerahkannya kepada Muzium Negara Iceland ketika berpindah ke sebuah hotel di Reykjavik secara sementara.

Kini, burger tersebut dipamerkan seperti hasil seni di dalam kotak kaca di Snotra House, sebuah hostel di Thykkvibaer, selatan Iceland.

“Orang dari seluruh dunia datang ke sini hanya untuk melihat burger tersebut,” kata pemiliknya, Sigurdur Gylfason yang mendakwa mereka menerima kunjungan sehingga 400,000 orang pada setiap hari.

Sementara itu, pensyarah kanan di Fakulti Sains Makanan di Universiti Iceland, Bjorn Adalbjornsson memaklumkan tanpa kelembapan, makanan boleh menjadi kering tanpa mereput.

Pada 2013, McDonald’s pernah memberi penjelasan bahawa burger mereka juga boleh mereput seperti makanan lain dalam persekitaran dengan ‘kelembapan khusus’. – Sumber sinar harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *