Categories
Home Kehidupan

Redah hujan bersama 3 anak waktu malam dengan motosikal untuk sekampit beras

Perkongsian gambar oleh seorang guru yang memaparkan seorang ibu bersama tiga orang anaknya yang meredah hujan pada waktu malam dengan menunggang motosikal mengundang kesedihan netizen.

Gambar yang dikongsi oleh Mohd Fadli Salleh di laman Facebooknya menceritakan empat beranak tersebut bertemu dengannya untuk mendapatkan bantuan barangan dapur.

Menurut Mohd Fadli, empat beranak itu hanya mahu mendapatkan sekampit beras dan barang dapur namun ketika beratur membuat bayaran wanita itu meminta izin untuk menambah barangan yang dibeli.

Selepas membeli keperluan yang dimahukan, Mohd Fadli membawa keluarga tersebut makan.

“Kali ini, aku serah troli kat dia. Kakak pergi ambil apa keperluan kakak. Nanti dah siap panggil saya. Saya bayarkan. Masa beratur, dia bertanya?.

“Cikgu. Boleh tak nak ambil ni? Kalau tak boleh saya letak semula,” katanya seraya menunjukkan tuala wanita. Ambillah. Keperluan tu kan,” jawab Mohd Fadli sebelum wanita tersebut mengucapkan terima kasih.

Mohd Fadli kemudiannya mempelawa empat beranak tersebut makan di sebuah restoran selepas mereka selesai membeli keperluan yang mereka mahukan.

“Meh makan dulu. Dah makan, pulanglah,” katanya.

Antara reaksi netizen yang tersentuh dan kagum dengan tindakan yang diambil oleh Mohd Fadli untuk membantu empat beranak tersebut.
Pelawaan itu disambut dengan keriangan anak-anak wanita tersebut yang gembira seperti memenangi cabutan bertuah

“Makan. 5 huruf sahaja. Hampir setiap kita tidak pernah terfikir ia sesuatu yang sangat menggembirakan sebahagian kanak-kanak dan keluarga,” katanya.

Mohd Fadli berkata, dia kemudiannya memberikan anak-anak tersebut beg sekolah dan pensel warna.

Katanya, anak-anak itu nampak terlalu seronok sehinggakan mereka meminta izin ibu mereka untuk membawanya ke sekolah.

“Mereka pulang dengan naik motosikal. Pulang dengan kekenyangan dan barang yang sarat. Si kecil memeluk erat beg sekolah baharu. Petanda seronok menerima hadiah, petanda sayang akan begnya.

“Belajar la elok-elok dik. Semoga kiriman beg dan pensel warna baharu ini menaikkan semangatmu untuk belajar bersungguh-sungguh seterusnya mengubah nasib keluargamu ini,” katanya.

Keluarga tersebut sedang beratur untuk membuat bayaran.
Perkongsian Mohd Fadli di Facebooknya kini tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi daripada netizen dan mengagumi tindakan yang dilakukan oleh cikgu tersebut kerana banyak membantu masyarakat yang memerlukan pertolongan.

Sherie Al Yahya menulis “ALLAHU, tak tahu nak komen apa dah…Moga cikgu dan keluarga diberikan sebaik-baik ganjaran di dunia mahu pun di akhirat, Amin.”

“Saya kagum dengan semangat cikgu untuk bantu orang-orang yang lebih memerlukan. Teruskan niat suci cikgu ni, semoga ALLAH permudahkan urusan cikgu untuk bantu mereka-mereka ini…semoga cikgu sentiasa di bawah lindungan rahmat ALLAH,” kata Amira Shahrom di Facebook.

sumber sinar harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *