Categories
hiburan Home islam

PU Amin minta maaf pada rakan Kristian ,sepatutnya perkara ini tidak berlaku

Mazhab mana pulak bergambar pakai baju pengantin dekat kubur Kristian ni.” Demikian kata-kata pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Amin ketika menyentuh isu tular foto pengantin bergambar di tapak perkuburan yang mengundang kritikan ramai.

Amin, 29, atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim meluahkan rasa kesal itu di Instagram rasminya.

Beliau turut mendedahkan rakannya yang beragama Kristian turut tersinggung kerana tanah perkuburan adalah tanda hormat mereka kepada si mati selain mengenakan pakaian yang sesuai ketika menziarah kubur sanak saudara.

“Untuk makluman semua lepas saya tanya dengan rakan-rakan saya yang beragama Kristian, mereka sendiri ada pakaian khas untuk mereka ke kubur sebagai tanda hormat mereka…

“Mereka juga kecewa bila ada orang ambil gambar macam ini. Orang Kristian pun tahu adab dan cara bila di kubur.

“Mereka datang dan balik, sambil fikir hal kematian tetapi kita boleh pula bergambar, aneh tuan-tuan, aneh…” tulisnya.
Netizen troll wajah model pengantin tular di laman sosial.
Netizen troll wajah model pengantin tular di laman sosial.

Beliau juga mengingatkan kepada masyarakat agar menghormati agama bangsa lain demi keharmonian.

“Hormatlah agama orang lain. Kalau mereka buat dekat kubur kita macam mana ? Pada kawan-kawan Kristian saya minta maaf atas ketelanjuran ini…

“Ya ALLAH, apa sudah jadi dengan dunia. Macam macam cara ‘marketing’ orang sekarang. Ikutlah sabda nabi ‘tinggalkan benda pelik- pelik’…” katanya.

Ekoran daripada kecaman yang bertubi-tubi, pemilik butik bertindak menutup akaun Facebook buat sementara waktu sehingga keadaan kembali reda.

Dalam pada itu netizen menyuarakan kemarahan dengan melakukan troll foto model pengantin digantikan dengan muka tengkorak selain meletakkan gambar hantu di sisi model tersebut.

View this post on Instagram

DEMI NAK VIRAL | Adoi pelik pelik lah zaman sekarang ni. Mazhab mana pulak bergambar pakai baju pengantin dekat kubur kristian ni… Mungkin nak promot baju, mekap artis atau pakej kahwin, atau sebagainya tapi macam mana boleh sampai ke kubur ? Tak tahu nak gelak ke nak marah ke atau camne… Untuk makluman semua lepas saya tanya dengan rakan rakan saya yang beragama kristian, mereka orang kristian sendiri ada pakaian khas untuk mereka ke kubur tanda hormat mereka… Mereka juga kecewa bila ada orang ambil gambar macam ni. Orang kristian pun tahu adab dan cara bila di kubur. Dorang datang dan balik. Sambil fikir hal kematian. Kita pula boleh posing bergamba. Aneh tuan tuan. Aneh… Hormatlah agama orang lain. Kalau dorang buat dekat kubur kita macam mana ? Pada kawan kawan kristian saya minta maaf atas ketelanjuran ini… Ya Allah, apa sudah jadi dengan dunia. Macam macam cara marketing orang sekarang. Ikut lah sabda nabi ‘tinggalkan benda pelik pelik’… Bak kata shuib sepahtu “peninggg arrrrr”..

A post shared by PU Amin (@pencetusummah_amin) on Nov 5, 2019 at 7:15am PST

Perbuatan mengambil gambar di tanah perkuburan Islam atau bukan Islam untuk tujuan komersial atau sekadar suka-suka adalah dilarang dalam Islam.

Pendakwah yang juga Imam Jemputan Masjid Asy-Syakirin Kuala Lumpur City Center (KLCC), Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan, Ustaz Shahrizan Daud At-Turabi berkata, mengambil gambar di kawasan perkuburan untuk dijadikan sebagai kenangan supaya boleh mengenal pasti kedudukan kubur atau sebagai kenangan keinsafan untuk diri atau keluarga adalah diharuskan dengan syarat bukan untuk bersuka ria apatah lagi jika diiringi dengan senyuman atau tidak menjaga adab menziarahi kubur.

Menurutnya, aktiviti mengambil gambar di tanah perkuburan turut menjadi perbahasan dalam kalangan ulama iaitu tentang keharusan bergambar dinilai berdasarkan tujuan yang dibenarkan sahaja.

“Kita kena ingat mana-mana kawasan perkuburan sama ada perkuburan Islam atau bukan Islam bukan sekadar untuk menyimpan mayat tetapi supaya orang yang masih hidup ini boleh mengingati pemergian si mati atau kematiannya sendiri suatu hari nanti.

“Bukanlah salah nak pergi kawasan perkuburan bukan Islam hukumnya harus untuk menjaga keharmonian dan menjaga hubungan tetapi jika untuk tujuan komersial ia dilarang sebab perkuburan bukan kawasan komersial apatah lagi yang melanggar etika di kawasan perkuburan,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Mengulas mengenai tindakan pemilik butik pengantin yang menjadikan kawasan tanah perkuburan Kristian sebagai lokasi untuk memperagakan baju pengantin supaya kelihatan ‘rare’, beliau berkata, tindakan sedemikian jelas memberi fitnah kepada agama Islam.

Ini kerana katanya, perbuatan sebegitu mencemar ‘kesucian’ atau mencemar etika kawasan perkuburan bagi orang Kristian kerana orang Kristian pun mempercayai bahawa kawasan perkuburan adalah suci dan perlu menjaga batas-batas tertentu.

“Malah orang Kristian pun ada pakaian khas untuk pergi ke kawasan perkuburan, mereka pakai baju hitam. Kita pula sebaliknya siap pakai baju kahwin”.

“Faham tujuan adalah untuk pemasaran supaya tular tapi kenalah jaga adab kerana ia boleh memberikan fitnah kepada agama Islam sendiri” katanya.

Jelasnya, antara hadis yang agak sesuai untuk dikaitkan dengan situasi ini adalah sabda Nabi Muhamad SAW yang bermaksud: “Tinggalkan perkara yang meragukan kamu dengan perkara yang tidak meragukan kamu,” atau hadis lain Nabi menyatakan “Di antara tanda kebaikan seseorang Muslim ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak patut dan tidak perlu dia dilakukan.”

“Maknanya hadis itu adalah sebagai umat Islam, kita tidak perlu melakukan perkara yang tidak sesuai dan tidak penting lebih-lebih lagi perbuatan seperti ini.

“Kerana ia bukan hanya memberi kesan daripada sudut agama malah dalam keharmonian kaum pun ia akan mencetuskan salah faham malah sikap benci membenci kerana tidak menjaga adab dan kehormatan,” katanya.

Sementara itu Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor turut berpandangan bahawa perbuatan mengambil gambar di mana-mana tempat termasuk di kawasan perkuburan orang Islam atau bukan Islam jika tiada unsur pemujaan atau syirik kepada ALLAH SWT dibolehkan.

Jelasnya, tetapi adalah lebih baik dielakkan kerana dibimbangi akan membawa kepada persepsi yang salah oleh masyarakat.

“Banyak lagi tempat-tempat lain yang menarik, buat apa cari tempat yang boleh menyebabkan orang menyangka yang bukan-bukan!,” katanya.

Terdahulu pemilik butik pengantin, Nur Amirah Mohd Amiruddin, 26, mengakui kesilapan itu daripada diri sendiri dan memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung mengenai gambar seorang model wanita bergambar di tepi kubur bukan Islam yang dimuat naik di Facebook miliknya baru-baru ini.

Gambar itu kemudiannya tular di media sosial hingga mengundang kemarahan warganet yang kurang senang dengan tindakan jurugambar seolah-olah tidak peka dengan sensitiviti umat Islam.

sumber sinar harian

Categories
Home islam

Doktor Kantoi menyamar pakar sakit puan

Perkongsian seorang wanita yang menceritakan tentang seorang lelaki yang mengedit wajahnya sebagai doktor demi mencari cinta menerima pelbagai reaksi daripada netizen.Kisah tersebut telah dikongsi Aryana Ren di akaun Facebooknya yang memberitahu bahawa doktor palsu yang dikenali sebagai Aizat Hamdan mengaku pakar sakit puan yang bertugas di Hospital Raja Permaisuri Bainon, Ipoh.

Aryan Ren berkata, namun taktik penyamaran lelaki berkenaan terbongkar apabila nama individu tersebut tiada dalam Malaysian Medical Council (MMC) yang hanya boleh disemak secara online di laman web rasmi MMC.”Modus operandi dia boleh diibaratkan seperti love scam yang hanya untuk memanipulsi dan menipu wanita dengan mengatakan dia adalah Pegawai Perubatan (MO) sakit puan yang merupakan satu jenayah.

“Dia juga telah melakukan jenayah lain dengan mengedit mukanya menggunakan gambar seorang seorang doktor dari Indonesia yang terkenal dengan pembedahan laparoskopi, Dr Rudiman,” tulisnya di Facebook miliknya.Dalam pada itu Aryan Ren berkata, satu laporan polis telah dibuat dan pihaknya telah menghubungi dan bekerjasama dengan Dr Rudiman berkenaan gambarnya telah digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, Dr Rudiman tidak pernah memberikan sebarang kebenaran untuk menggunakan gambarnya dan pihaknya percaya ramai yang telah menjadi mangsa kepada Aizat yang dipercayai ditipu dari segi kewangan.Aryan telah menghubungi Dr Rudiman dan beliau tidak pernah memberikan sebarang kebenaran untuk menggunakan gambarnya Aryan telah menghubungi Dr Rudiman dan beliau tidak pernah memberikan sebarang kebenaran untuk menggunakan gambarnya

“Kami harap dia akan ditangkap dan diambil tindakan undang-undang dan kami akan bersyukur jika maklumat ini tersebar supaya tiada di antara kita akan menjadi mangsanya lagi. Sila laporkan akaun Facebooknya.”Jika ada sesiapa yang menemui atau pernah menjadi mangsa kepada Aizat, sila laporkan kepada salah seorang kepada kami kerana kami kini sedang memberi kerjasama penuh dengan pihak polis supaya siasatan dapat dijalankan dengan lebih teliti

Perkongsian Aryan kini tular di media sosial yang kini meraih 1,200 tanda suka, 2400 telah berkongsi maklumat tersebut rata-rata netizen memberi sokongan bahawa lelaki ini akan mudah dikesan.Antara reaksi netizen yang mengecam tindakan yang dilakukan oleh individu terbabit

Antara reaksi netizen yang mengecam tindakan yang dilakukan oleh individu terbabit

Ada di antara mereka yang mempunyai pengalaman dan menjadi mangsa yang hampir digoda oleh doktor palsu tersebut.

“Akhirnya, orang yang paling aku syak tak betul ini tertangkap dengan helah dia..Suka mesej perempuan, ajak jumpa dan ayat manis. Sangat menjengkelkan..Cakap dia doktor tapi bila aku semak dengan kawan kawan aku kerja hospital itu, tiada pun makhluk itu,” luah Amira Syahida di Facebook.

Ahmad Fathi berkata: “Editing dia sampah wey, nampak sangat kantoinya. pihak polis segara ambil tindakan supaya tiada lagi yang akan menjadi mangsa penipuannya,”.

sumber sinar harian

Categories
hiburan Home islam

Berhijab tetapi bersihkan kubur Kristian

“Beza agama tidak halang kasih terhadap ibu yang telah tiada,” demikian kata seorang guru melalui akaun Facebook ‘Bila Cikgu Emmet Menulis’, meminta orang ramai walaupun berbeza kaum perlu saling mengenali dalam kepercayaan agama untuk membimbing rohani agar berupaya menjadikan kita manusia yang baik dan pekerti tinggi.

Cerita Cikgu Emmet, pada 2 November lalu ketika melalui kawasan perkuburan Kristian, beliau ternampak kelibat beberapa orang yang memakai baju kurung dan bertudung.Mereka turut membersihkan perkuburan dan salah seorang daripadanya ialah guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padawan iaitu cikgu Dayang Rafidah Awang Osman.

Foto: Facebook ‘Bila Cikgu Emmet Menulis’

Katanya, beliau bersama ibu dan ibu saudaranya yang beragama Islam membersihkan kubur mendiang neneknya.Meskipun kelihatan agak janggal kerana mereka adalah keluarga Muslim tetapi kehadiran mereka disambut sapaan dan senyuman dari pengunjung lain.

Menurut cikgu Emmet, cikgu Dayang Rafidah tidak sekali memutuskan rasa kasih dan sayang kepada keluarga sebelah ibunya walaupun berbeza agama.Rasa sayang terhadap neneknya terus diterjemahkan dengan menyantuni pusara mereka.

Dalam pada itu Cikgu Emmat mendedahkan pada 2 November adalah hari All Soul Day iaitu hari di mana ramai sanak saudara menziarahi pusara orang tersayang yang telah pergi.Penganut Kristian terutamanya akan membersihkan pusara ibu atau bapa serta saudara mara yang telah tiada di samping menukar bunga di jambangan.
sumber Facebook ‘Bila Cikgu Emmet Menulis

Categories
Home islam

[VIDEO] Semangat Pemuda OKU solat sentuh hati masyarakat

Orang yang sihat dengan serba lengkap pun akan berikan berbagai alasan untuk tidak solat.Walau surau atau masjid dekat dengan rumah tidak pernah sampai atau tidak ambik tahu.Bagi berbagai alasan tidak sihatlah,sangat sibuklah dan penat.

 

Di saat orang yang sihat pun bagi berbagai alasan untuk solat,Seorang pemuda yang kurang upaya membuktikan untuk solat dan tidak perlu ada sebarang alasan.Solat tetap wajib walau di mana dan bila-bila pun.Sehubungan dengan itu seorang pemuda menepikan kekurangan yang ada untuk solat.

Tidak berapa pasti di mana video ini di rakam tetapi dari pakaian orang di sekelilingnya kita boleh rumuskan di rakam di negara Arab.Seorang yang bernama ibrahim Yusof telah post video ini untuk tatapan umum dengan kata-kata SubhanAllah May Allah give him good health Ameen.

 

Video tersebut membuatkan ramai yang tersentuh hati dan rasa insaf dalam diri.Rata-ratanya yang melihat video ini memuji kesungguhan pemuda ini dan mendoakan agar dia sihat dan di rahmati Allah.

 

Antara komen dari seorang bernama Arie – ya allah..,yg sehat pun blm tentu selalu inget engkau(allah)..akan tetapi fisik yg kurang pun sllu mendekatkan diri dengan engkau ya allah..,mari kita belajar dari video ini untuk selalu ingat allah..amin ya robballalamin

 

Seorang lagi yang berikan komen setelah melihat video ini bernama iaa hannat dalam bahasa inggeris Just imagine.. And some of us with good health and legs won’t even pray!!! Oh Allah forgive us .(bayangkan kita di berikan kaki dan kesihatan yang sihat tetapi tidak solat)

 

seorang lagi Saa memberi komen- Malu bgt yak kalo sholat masi sering ditunda, diakhirkan, gerakan ama bacaannya dicepet2in, dzikir doa ga pernah lama, kalo ada maunya baru dilama2in, caper gtu, dasar aku. Beliau berkata malu bila kita lewatkan solat dan lihatlah pemuda ini.

 

Solat merupakan ibadah yang penting dan wajib dilakukan di samping membentuk peribadi manusia kerana ianya mampu menghalang seorang Muslim daripada melakukan perkara mungkar, iaitu perkara salah dan terlarang

 

Bukan itu sahaja, solat juga dapat memberi ketenangan jiwa, tidak kira sama ada ketika seseorang itu dalam kesusahan atau dalam kegembiraan. Solat dari sudut bahasa beerti doa atau memohon kebajikan dan pujian manakala dari sudut syarak pula, solat diertikan “beberapa ucapan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir disudahi dengan salam, dilakukan dengan keadaan beribadah kepada Allah S.W.T dengan menurut segala syarat yang telah ditentukan.” 

 

Solat diwajibkan kepada seluruh umat islam yang telah baligh, berakal, dan suci daripada hadas kecil dan besar. Boleh jadi seseorang itu tertinggal solat atau tidak menunaikan solat fardhu kerana masih jahil agama, lagha, leka dengan dunia, kesibukkan bekerja, malas dan sebagainya tetapi walau apa pun alasan hutang solat fardhu wajib diganti kerana hukum meninggalkan solat fardhu adalah berdosa besar.

 

sesiapa yang meninggalkan solat fardhu secara sengaja wajib bertaubat dan sekiranya dia mengingkari, dia akan dihukum bunuh sebagai seorang murtad dan mayatnya tidak boleh dimandikan, dikafankan, disembahyangkan serta dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam kerana dia bukan lagi di kalangan mereka.

Sementara itu, sekiranya dia telah berubah ke arah yang lebih baik dan ingin kembali ke pangkal jalan, dia wajib mengqadha semula kesemua solat fardhu yang telah ditinggalkannya sejak akil baligh.

 

Bagi mereka yang ingin ganti atau qadha solat fardhu yang sudah bertahun lamanya ditinggalkan boleh melakukannya dengan menunaikan qadha solat fardhu bermula dari sekarang semampu yang mungkin walaupun secara beransur-ansur sehingga selesai di samping perlu bertaubat kepada Allah SWT.

 

Mereka hendaklah menghitung solat yang ditinggalkan dengan ghalib zan atau yakin supaya dapat diqadhakan semua solat yang pernah ditinggalkan.Tapi bagaimana ingin mengetahui selama mana perlu diganti solat fardhu? Menurut Ustaz Azhar Idrus andai kita telah qadha solat fardhu melebihi solat fardhu yang pernah ditinggalkan, kita akan merasa satu perasaan di dalam hati yang meyakinkan kita bahawa solat qada kita telah cukup. InsyaAllah.

 

Untuk memudahkan qadha solat fardhu, seseorang itu boleh melakukan solat qadha selepas solat fardhu misalnya selepas melakukan solat fardhu zohor disambung terus dengan solat qadha zohor dan begitulah untuk waktu-waktu solat fardhu yang lain.

 

Solat qadha juga boleh dilakukan 5 waktu solat qadha sekali gus sebelum tidur atau ketika tengah malam semampu yang mungkin.

 

Sebagai infomasi, solat qadha fardhu boleh dilakukan pada bila-bila masa kecuali ulama’ kata haram untuk qadha solat fardhu semasa khatib sedang naik di atas mimbar untuk membaca khutbah. Wallahualam.

 

Informasi dipetik daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

 

Categories
Home islam

Nama-Nama Bagi Surah Al-Fatihah

SOALAN:
Apakah terdapat hadith yang sahih berkaitan nama-nama bagi surah al-Fatihah?

JAWAPAN:
Al-Quran merupakan sebuah kitab mukjizat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril AS. Di samping itu, di dalamnya terkandung sebanyak 114 surah. Surah yang pertama di dalam al-Quran adalah surah al-Fatihah dan membacanya merupakan salah satu daripada rukun solat.

Berdasarkan soalan di atas, sememangnya terdapat hadith yang menceritakan berkaitan di antara nama-nama bagi surah al-Fatihah. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ أُمُّ الْقُرْآنِ، وَأُمُّ الْكِتَابِ، وَالسَّبْعُ الْمَثَانِي
“Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam (surah al-Fatihah), adalah ummul-Quran, ummul-Kitab dan al-Sab’ al-Mathani.” [Riwayat Abu Daud (1457), Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah sahih]

Tambahan pula, Allah SWT menamakan surah al-Fatihah sebagai al-Sab’ al-Mathani sebagaimana yang terdapat di dalam kitab-Nya.

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ آتَيْنَاكَ سَبْعًا مِّنَ الْمَثَانِي وَالْقُرْآنَ الْعَظِيمَ
“Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya.” (Al-Hijr: 87)

Di dalam hadith yang lain menurut riwayat Imam al-Bukhari ada juga disebutkan bahawa nama lain bagi surah al-Fatihah adalah al-Sab’ al-Mathani:

Daripada Abu Said bin al-Mu’alla berkata: “Rasulullah SAW telah memanggilku ketika aku sedang solat, maka aku tidak menyahutnya.” Aku berkata kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku sedang bersolat.” Rasulullah SAW bersabda: “Tidakkah kamu pernah mendengar firman Allah berkaitan tuntutan menyahut panggilan Allah dan juga Rasulnya apabila kamu dipanggil.” Kemudian Nabi SAW bersabda lagi: “Tidakkah kamu menginginkan supaya aku mengajarkan kepada kamu surah yang paling agung di dalam al-Quran sebelum kamu keluar dari masjid ini?” Setelah itu, Nabi SAW memegang tanganku. Apabila kami ingin keluar, aku berkata: “Wahai Rasulullah! Sebentar tadi kamu katakan yang kamu akan mengajarkan kepadaku surah yang paling agung di dalam al-Quran.” Maka Nabi SAW bersabda:
الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ، هِيَ السَّبْعُ المَثَانِي، وَالقُرْآنُ العَظِيمُ الَّذِي أُوتِيتُهُ
“Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam (surah al-Fatihah), adalah tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh al-Quran yang amat besar kemuliaannya yang telah diberikan kepadaku.” [Riwayat al-Bukhari (5006)]

Adapun berkaitan maksud al-Sab’ al-Mathani menjadi khilaf dalam kalangan para ulama’. Imam Mulla Ali al-Qari menyatakan maksud al-Sab’ (tujuh) adalah disebabkan surah ini mempunyai 7 ayat mengikut kesepakatan (para ulama’) walaupun di sana terdapat khilaf di antara ahli Kufah dan ahli Basrah pada beberapa ayat (melihat kepada ilmu fawasil). Dikatakan pula al-Mathani (berulang-ulang) adalah ia (al-Fatihah) sama seperti satu surah yang lain (di dalam al-Quran) atau disebabkan ayat-ayat di dalam ada yang turun di Makkah dan juga yang turun di Madinah sebagai tanda kebesarannya dan kepentingannya. Selain itu, dikatakan juga bahawa surah hanya diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW dan tidak diturunkan kepada umat yang sebelum daripadanya. [Lihat: ‘Aun al-Ma’bud, 4/232]

Antara nama lain yang disebutkan berkaitan surah al-Fatihah ini adalah Fatihah al-Kitab:

Daripada Ubadah bin al-Somit R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الكِتَابِ
“Tidak ada (sah) solat bagi sesiapa yang tidak membaca Fatihah al-Kitab (surah al-Fatihah).” [Riwayat al-Bukhari (756)]

Melihat kepada beberapa hadith dan ayat al-Quran di atas, maka dapat disimpulkan bahawa surah al-Fatihah mempunyai lebih daripada satu nama. Antaranya:

  • Al-Sab’ al-Mathani
  • Ummul-Quran
  • Ummul-Kitab
  • Al-Azhim
  • Fatihah al-Kitab

Penutup

Kesimpulannya, surah al-Fatihah merupakan salah satu surah yang amat penting sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith al-Bukhari di atas menurut riwayat Abu Said. Tambahan pula, surah al-Fatihah juga mempunyai lebih daripada satu nama sebagaimana yang diberikan oleh Allah dan juga rasul-Nya. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama. Amin.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Categories
Home islam

Kecemburuan Aisyah Apabila Ramai Wanita Ingin Mengahwini Rasulullah SAW

SOALAN:
Saya pernah mendengar satu hadith dimana Sayyidatina Aisyah R.Anha cemburu kerana ramainya wanita yang menawarkan diri mereka untuk dikahwini oleh Nabi Muhammad SAW. Boleh disyarahkan hadith tersebut?

JAWAPAN:
Firman Allah SWT:

وَامْرَأَةً مُّؤْمِنَةً إِن وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلنَّبِيِّ إِنْ أَرَادَ النَّبِيُّ أَن يَسْتَنكِحَهَا خَالِصَةً لَّكَ مِن دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۗ قَدْ عَلِمْنَا مَا فَرَضْنَا عَلَيْهِمْ فِي أَزْوَاجِهِمْ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ لِكَيْلَا يَكُونَ عَلَيْكَ حَرَجٌ ۗ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا
ترْجِي مَن تَشَاءُ مِنْهُنَّ وَتُؤْوِي إِلَيْكَ مَن تَشَاءُ ۖ وَمَنِ ابْتَغَيْتَ مِمَّنْ عَزَلْتَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكَ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَن تَقَرَّ أَعْيُنُهُنَّ وَلَا يَحْزَنَّ وَيَرْضَيْنَ بِمَا آتَيْتَهُنَّ كُلُّهُنَّ ۚ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ مَا فِي قُلُوبِكُمْ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ عَلِيمًا حَلِيمًا
“..Dan (Kami telah halalkan bagimu) mana-mana perempuan yang beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak membayar mas kahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya; perkahwinan yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, bukan bagi orang-orang yang beriman umumnya; sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada orang-orang Mukmin mengenai isteri-isteri mereka dan hamba-hamba perempuan yang mereka miliki; -supaya tidak menjadi keberatan bagimu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Kamu boleh menangguhkan sesiapa yang engkau kehendaki dari mereka dan engkau boleh mendamping sesiapa yang engkau kehendaki; dan sesiapa yang engkau hendak mendampinginya kembali dari mereka yang telah engkau jauhi itu, maka tidaklah menjadi salah bagimu melakukannya; kebebasan yang diberikan kepadamu itu (bila diketahui oleh mereka) adalah lebih dekat untuk mententeramkan hati mereka, dan menjadikan mereka tidak berdukacita, serta menjadikan mereka pula redha akan apa yang engkau lakukan kepada mereka semuanya. Dan (ingatlah) Allah sedia mengetahui apa yang ada dalam hati kamu; dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.” [Surah al-Ahzab (50-51)]

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili, ayat ini menyatakan salah satu kategori wanita yang halal dinikahi oleh Rasulullah SAW, iaitu wanita Mukminah yang menawarkan diri untuk dinikahi oleh Baginda SAW. Terdapat dua syarat sah pernikahan secara hibah (wanita menawarkan diri untuk dikahwini) iaitu: (i) wanita itu menghibahkan diri mereka kepada Nabi SAW dan (ii) memang Nabi SAW mahu menikahinya. Pernikahan melalui kaedah tanpa mahar, wali dan saksi ini hanya khusus kepada Baginda Nabi SAW sahaja.

Namun menurut Ibnu ‘Abbas R.A dan Mujahid, Nabi SAW tidak pernah menerima tawaran mana-mana wanita yang menghibahkan diri mereka untuk dikahwini Baginda. Hal ini sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa bahawa Rasulullah SAW bernikah dengan ramai isteri atas dorongan nafsu. Jika dakwaan tersebut benar, nescaya Nabi SAW akan menikahi mana-mana wanita yang menghibahkan diri mereka kepada Baginda, apatah lagi pernikahan tersebut boleh berlangsung tanpa wali, saksi dan mahar. (Rujuk Tafsir al-Munir 22/65)

Sebab penurunan ayat ini ialah kerana ramainya wanita pada masa itu yang menawarkan diri mereka untuk dikahwini oleh Rasulullah SAW. Daripada Abu Hisyam R.A:

كَانَتْ خَوْلَةُ بِنْتُ حَكِيمٍ مِنَ اللاَّئِي وَهَبْنَ أَنْفُسَهُنَّ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَتْ عَائِشَةُ أَمَا تَسْتَحِي الْمَرْأَةُ أَنْ تَهَبَ نَفْسَهَا لِلرَّجُلِ فَلَمَّا نَزَلَتْ ‏{‏تُرْجِئُ مَنْ تَشَاءُ مِنْهُنَّ‏}‏ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا أَرَى رَبَّكَ إِلاَّ يُسَارِعُ فِي هَوَاكَ‏
Khaulah binti Hakim merupakan antara wanita yang menawarkan diri untuk dikahwini oleh Nabi Muhammad SAW, melihatkan keadaan itu maka Aisyah R.Anha pun berkata: “Adakah wanita-wanita ini tidak berasa malu dalam menawarkan diri kepada lelaki untuk dikahwini?” Maka apabila turunnya ayat al-Quran تُرْجِي مَنْ تَشَاءُ مِنْهُنَّ وَتُؤْوِي إِلَيْكَ مَنْ تَشَاءُ, Aisyah pun berkata: “Wahai Rasulullah, aku melihat Tuhanmu (Allah SWT) begitu cepat sekali memenuhi kehendak dan keinginanmu.” [Sahih al-Bukhari (4823)]

Lafaz yang lain pula diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha sendiri:

كُنْتُ أَغَارُ عَلَى اللاَّتِي وَهَبْنَ أَنْفُسَهُنَّ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَأَقُولُ وَتَهَبُ الْمَرْأَةُ نَفْسَهَا فَلَمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ ‏{‏ تُرْجِي مَنْ تَشَاءُ مِنْهُنَّ وَتُؤْوِي إِلَيْكَ مَنْ تَشَاءُ وَمَنِ ابْتَغَيْتَ مِمَّنْ عَزَلْتَ‏}‏ قَالَتْ قُلْتُ وَاللَّهِ مَا أَرَى رَبَّكَ إِلاَّ يُسَارِعُ لَكَ فِي هَوَاكَ.
“Aku merasa cemburu kepada wanita-wanita yang menawarkan diri untuk dikahwini oleh Nabi Muhammad SAW, dan aku berkata: “Patutkah seorang wanita menawarkan dirinya kepada lelaki untuk dikahwini?” Tatkala Allah SWT menurunkan ayat تُرْجِي مَنْ تَشَاءُ مِنْهُنَّ وَتُؤْوِي إِلَيْكَ مَنْ تَشَاءُ, aku berkata: “Demi Allah, aku melihat Tuhanmu (Allah SWT) begitu cepat sekali memenuhi kehendak dan keinginanmu.” [Sahih Muslim (1464)]

Kata-kata yang diucapkan oleh Sayyidatina Aisyah R.Anha dalam hadith di atas perlu difahami dengan baik, agar kita tidak berburuk sangka terhadap keperibadian Nabi SAW dan Sayyidatina Aisyah sendiri.

Menurut Imam al-Nawawi, kata-kata Aisyah itu bermaksud Allah SWT memberi keringanan, keluasan dan pilihan kepada Baginda Nabi SAW dalam banyak perkara. (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim 10/50)

Menurut Imam al-Qurtubi pula, ucapan Aisyah ini muncul disebabkan oleh rasa cemburu (al-ghirah) dan rasa ingin bermanja dan dipujuk oleh Nabi SAW (al-dallal), dan hal ini dapat dilihat dalam dua keadaan lain yang melibatkan Baginda SAW dan Aisyah R.Anha.

Daripada Aisyah R.Anha:

قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ إِنِّي لأَعْلَمُ إِذَا كُنْتِ عَنِّي رَاضِيَةً وَإِذَا كُنْتِ عَلَىَّ غَضْبَى ‏”‏ ‏.‏ قَالَتْ فَقُلْتُ وَمِنْ أَيْنَ تَعْرِفُ ذَلِكَ قَالَ ‏”‏ أَمَّا إِذَا كُنْتِ عَنِّي رَاضِيَةً فَإِنَّكِ تَقُولِينَ لاَ وَرَبِّ مُحَمَّدٍ وَإِذَا كُنْتِ غَضْبَى قُلْتِ لاَ وَرَبِّ إِبْرَاهِيمَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَتْ قُلْتُ أَجَلْ وَاللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا أَهْجُرُ إِلاَّ اسْمَكَ
Rasulullah SAW berkata kepadaku: “Aku tahu apabila kamu gembira denganku, dan apabila kamu marah padaku.” Aku bertanya: “Bagaimana kamu mengetahuinya?” Baginda SAW menjawab: “Apabila kamu gembira, kamu akan berkata: ‘Tidak, demi Tuhan Muhammad’, dan apabila kamu marah, kamu akan berkata: ‘Tidak, demi Tuhan Ibrahim’.” Lalu aku berkata: “Benar, wahai Rasulullah, aku tidak menyebut namamu sewaktu aku marah padamu.” [Sahih Muslim (2439)]

Begitu juga sewaktu peristiwa fitnah (hadith al-Ifki), dimana Aisyah R.Anha dituduh melakukan perbuatan haram oleh golongan Munafik, sewaktu Baginda SAW membawa khabar gembira daripada Allah SWT:

يَا عَائِشَةُ، أَمَّا اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ فَقَدْ بَرَّأَكِ ‏”‏‏.‏ فَقَالَتْ أُمِّي قُومِي إِلَيْهِ‏.‏ قَالَتْ فَقُلْتُ وَاللَّهِ، لاَ أَقُومُ إِلَيْهِ، وَلاَ أَحْمَدُ إِلاَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ‏
“Wahai Aisyah, Allah SWT telah mengisytiharkan bahawa kamu tidak bersalah.” Ibuku berkata padaku: “Bangun dan pergi kepada Nabi SAW.” Aku berkata: “Demi Allah, aku tidak akan memuji sesiapapun kecuali Allah ‘Azza wa Jalla.” [Sahih al-Bukhari (4750)]

Menisbahkan sifat hawa nafsu kepada Nabi SAW juga perlu dijauhi sebagai satu bentuk memuliakan Baginda SAW. Tambah Imam al-Qurtubi lagi, alangkah baiknya jika Aisyah menggantikan perkataan ‘hawa’ dengan ‘keredhaan’, dan nescaya ia lebih baik dan sesuai. (Rujuk Al-Mufhim lima Asykala min Talkhis Kitab Muslim 4/211)

Kata-kata Imam al-Qurtubi ini juga diriwayatkan oleh Imam Ibn Hajar dalam kitabnya Fath al-Bari, dan ini mengisyaratkan bahawa beliau turut bersetuju dengan pandangan Imam al-Qurtubi. (Rujuk Fath al-Bari 9/165)

Menurut Syeikh Nuruddin al-Sindi pula, Aisyah R.Anha memandang perbuatan para wanita yang menawarkan diri mereka untuk dikahwini itu sebagai suatu yang tidak sopan, dan beliau ingin menjauhkan mereka daripada Baginda Nabi SAW. Adapun kata-kata “aku melihat Tuhanmu (Allah SWT) begitu cepat sekali memenuhi kehendak dan keinginanmu” merupakan satu bentuk kinayah (kiasan) oleh Aisyah yang menunjukkan beliau tidak lagi memandang buruk terhadap wanita-wanita tersebut, setelah datangnya firman Allah SWT yang memberi pilihan kepada Nabi SAW untuk mengahwini wanita-wanita tersebut atau tidak.

Dengan kata lain, seolah-oleh Aisyah cuba menyatakan: “Dahulu aku mencegah para wanita daripada menawarkan diri untuk dikahwini oleh Nabi, namun setelah aku dapati Allah SWT pun memenuhi kehendak Nabi SAW, maka aku pun redha dengan keadaan tersebut.” (Rujuk Hasyiyah al-Sindi ‘ala Sunan al-Nasa’ie 6/54)

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa ucapan Sayyidatina Aisyah R.Anha tersebut muncul kerana sifat cemburu yang merupakan satu sifat yang tabi’e dalam diri setiap manusia, dan ucapan tersebut adalah dimaafkan dari sudut syarak.

Sayyidatina Aisyah R.Anha selaku seorang yang bergelar Ummul Mukminin, seorang yang bertaqwa dan tinggi keimanannya juga tidaklah berniat untuk mengingkari perintah Allah SWT dan Rasul-Nya, namun sebagai seorang manusia, beliau mempunyai sifat manusiawi yang sudah dijadikan oleh Allah SWT dalam diri setiap manusia.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Categories
Home islam

Buta bukan kekurangan untuk menjadi bilal Masjid Negeri Selangor

SHAH ALAM – Seorang orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan sejak lahir tidak menyangka akan dilantik menjadi bilal bagi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pertama kali dalam sejarah buat masjid tersebut.

Mohammad Syafiizwan Mohd Suhaini, 19, yang berasal dari Kampung Bukit Kerayong Klang itu dilantik pada 1 Ogos lalu selepas berjaya melalui pemilihan Akademi Muazzin.

Menurutnya, dia tidak menyangka dan tidak pernah terdetik untuk menjawat jawatan sebagai seorang bilal ekoran tugas beratnya adalah mewakili masjid utama di Selangor.

“Ini semua rezeki daripada ALLAH dan menganggap pelantikan saya ini sebagai kejayaan serta penaik semangat buat golongan yang senasib dengan saya di mana insan istimewa seperti kita boleh berjaya

“Sekiranya kita bersemangat dan mahu keluar dari kepompong sedia ada sudah tentu ALLAH bersedia untuk menunjukkan jalan-Nya.

“Kejayaan ini juga sudah tentunya atas sokongan keluarga terutamanya ayah saya yang sejak awal menemani ketika menyertai Akademi Muazzin,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dalam pada itu Siak Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Mohd Halim Mashor berkata, kehadiran insan istimewa itu menjadi buah mulut petugas-petugas dan imam sejak beliau menyertai Akademi Muazzin Ogos lalu.

“Imam ada kata dengan dengan saya lelaki itu tidak seperti kita namun tidak mahu bercerita lebih lanjut kepada saya dan meminta saya supaya pergi melihatnya sendiri. Setelah melihat di depan mata serta berpeluang melihat bakat yang ada padanya, betapa dirasakan ALLAH itu Maha Berkuasa.

“Beliau tidak nampak sama seperti manusia normal tetapi cukup hebat bertaranum, qasidah dan sebagainya. Insan sebegini kita patut sanjungi kerana dia juga berupaya mengubah nasib individu yang senasib dengannya satu hari nanti,” katanya.
sumber sinar harian

Categories
Home islam

Seperti di cetak tapi ini hasil tangan

Perubahan ketara dunia digital pada masa kini menyaksikan pen atau pensel jarang digunakan untuk menulis sesuatu kerana masyarakat kini lebih gemar mencetak untuk mendapat hasil tulisan yang cantik.

Perkara tersebut sekaligus menjadikan kebanyakan individu sukar menghasilkan tulisan tangan yang kelihatan kemas dan cantik.

Namun kekemasan tulisan tangan oleh seorang jemaah di Masjid Bandar Seri Putra seolah-olah tulisan tersebut dicetak menggunakan mesin pencetak mengagumkan sehingga tular di media sosial.

Antara koleksi tulisan tangan Anwar yang dikagumi oleh netizen dan pengunjung yang hadir ke masjid tersebut.

Perkongsian yang dimuat naik oleh Ummi Nurul di Facebooknya membuatkan netizen tidak percaya dengan kenyataan bahawa ianya ditulis dengan menggunakan tulisan tangan.

Tulisan firman ALLAH, hadis-hadis Rasulullah dan dan kata-kata pedoman yang sering dibaca pengunjung setiap kali hadir di masjid tersebut sentiasa menimbulkan perasaan ingin tahu mengenai pemilik tulisan berkenaan.

Antara koleksi tulisan tangan Anwar yang dikagumi oleh netizen dan pengunjung yang hadir ke masjid tersebut.
Akhirnya pemilik tulisan kemas berkenaan diketahui umum menerusi perkongsian dimuat naik Info Penduduk Bandar Seri Putra di Facebook.

“Memperkenalkan Haji Anwar mantan Setiausaha Masjid Bandar Seri Putra, Bangi, yang telah berusaha menulis firman, hadis dan kata kata pedoman untuk amalan harian bagi mencapai kesempurnaan kehidupan dunia dan akhirat,”.

Perkongsian tersebut menjawab persoalan netizen dan rata-rata mereka ingin Anwar memperbanyakkan lagi menulis.

Nora Ahmad menulis ” Ya ALLAH, tuan haji..cantiknya tulisan, ini merupakan bakat yang jarang kita nak tengok kerana kesempurnaan tulisannya seperti dicetak pula. Teruskan menulis tuan haji kerana ramai yang berminat untuk melihat tulisan tuan haji.

“Subhanallah, sempurna sungguh tulisan tuan, saya tergamam sekejap melihat tulisan ini kerana tidak percaya ianya ditulis dengan tangan. Saya berharap sangat agar Tuan memperbanyakkan lagi tulisan seperti ini,” kata Muhammad Qayum di Facebook.

Antara reaksi netizen terhadap tulisan Anwar yang kini tular di media sosial.


sumber sinar Harian

Categories
Home islam

KAMBING AQIQAH hanya RM 1 (termasuk sembelih dan proses)

PROGRAM TAHUNAN OSMAN GOAT FARM “KAMBING AQIQAH RM 1 KALI KE-8”

Bersempena dengan Maulidurrasul S.A.W, bayi yang akan dilahirkan pada 09 November 2019 bersamaan 12 Rabiulawwal 1441H ini layak menerima seekor kambing dengan harga RM 1 sahaja (termasuk sembelih dan proses) dan Caruman Tabung Haji untuk bayi sebanyak RM50.

Sebarang pertanyaan, boleh menghubungi :

Call/Whatspp
En Osman : 019-756 3000
En Shukri : 016-718 0857

Pejabat : 07-354 2828

Osman Goat Farm
No. 38 , Jalan Enau,
Kangkar Tebrau,
81100 Johor Bahru.

www.osmangoatfarm.com
#osmangoatfarm

OSMAN GOAT FARM telah memulakan operasinya pada tahun 1990 di Kangkar Tebrau, Johor Bahru. Bermula sebagai hobi di masa lapang, Osman Bin Cheya Kutty telah bermula dengan 2 ekor kambing kampung diternak di tanah belakang kediamannya. Namun gesaan kerajaan untuk membangunkan sektor pertanian dan penternakan ketika itu telah menimbulkan minat yang mendalam untuk menjadi penternak kambing sepenuh masa.

Pada tahun 1993, dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor, beliau telah membawa masuk 5 ekor kambing tenusu dari jenis “British Alpine” dari New Zealand

Beliau juga merupakan penternak pertama di Johor yang menyahut seruan kerajaan di dalam penternakan kambing tenusu. Hasil kerjasama dan bimbingan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor, OSMAN GOAT FARM telah memasarkan hasil tenusu dan daging kambing secara komersial pada tahun 1995.

Bermula dari itu, hasil keluaran syarikat telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat setempat. Bantuan kerajaan dalam mempromosikan susu kambing telah membuka minda masyarakat untuk beralih kepada susu kambing yang jauh lebih berkualiti dan berkhasiat dari susu lembu.

Pada hari ini, OSMAN GOAT FARM mempunyai lebih 3,000 ekor kambing tenusu dan pedaging dari jenis “British Alpine”, “Anglo Nubian” , “Saneen”, “Jamnapari”. “Farel” dan biri-biri

Kegigihan dan Kejayaan OSMAN GOAT FARM juga telah mendapat penganugerahan dari Kementerian Pertanian Malaysia dengan Anugerah “USAHAWAN PENTERNAK RUMINANJAYA” bagi peringkat negeri bagi tahun 2001.

Atas kejaayaan OSMAN GOAT FARM, kerajaan Malaysia telah memberikan kelulusan AP bagi OSMAN GOAT FARM untuk mengimport kambing dari luar negara.

OSMAN GOAT FARM kini mempunyai 2 buah ladang ternakan iaitu di Kangkar Tebrau (keluasan 1 ekar) dan di Kulaijaya (keluasan 14 ekar).

Sumber Nor Lizah

Categories
Home islam Wanita

Larian Noor di maraton dibatalkan gara-gara berhijab.

OHIO – Seorang gadis terkejut apabila penyertaanya dalam larian maraton dibatalkan gara-gara berhijab.

Noor Alexandria Abukaram, 16, memasuki acara maraton di sekolah tinggi Sylvania Northview dan berjaya tiba di garisan penamat, namun penyertaannya dibatalkan kerana dia tidak menghantar borang kebenaran untuk berhijab kepada pihak penganjur iaitu Persatuan Atlet Sekolah Tinggi Ohio (OHSAA).

Menurut gadis itu, dia tidak menyedari namanya telah digugurkan daripada acara maraton.

“Saya tidak tahu nama digugurkan, malah berjaya melepasi garisan penamat sejauh 5 kilometer dengan rekod 22 minit 22 saat. Apa yang berlaku ini sungguh mengecewakan,” katanya sebak.

Dia juga sukar untuk menerima alasan pihak penganjur kerana memakai hijab adalah satu kewajipan buatnya.

“Tudung adalah sebahagian daripada hidup saya dan jika mereka meminta saya membuka tudung jika mahu menyertai maraton, ia adalah satu tindakan yang sangat memalukan,” katanya.

Noor Alexandria memasuki acara maraton di Sekolah Tinggi Sylvania Northview dan berjaya tiba di garisan penamat namun penyertaannya dibatalkan.
Sementara itu, wakil OHSAA dalam satu kenyataan berkata, peserta berhijab perlu mengemukakan borang kebenaran untuk berhijab ketika menyertai pertandingan.

Bagaimanapun, amat malang buat Noor Alexandria apabila dia tidak menyerahkan apa-apa borang, sekali gus melanggar tatacara pemakaian pertandingan. – Agensi
sumber sinar harian