Categories
Home ilmu pendidikan

Penjara-penjara Paling Pelik Di Dunia

Penjara. Sesiapa pun gerun mendengarnya. Seolah-olah burung yang terbang bebas, terkurung di dalam sangkar tanpa boleh terbang ke mana-mana. Begitulah gambaran kehidupan di balik tirai besi, namun ironinya, jangan tak tahu masih wujud juga penjara yang menggunakan pendekatan ihsan dalam menyantuni penghuninya.

Penjara Pelik

Berikut adalah perkongsian mengenai lima penjara unik dalam artikel ini memberi dimensi baru buat anda, mengenai kisah pelik lima tirai besi di dunia.

1. Penjara San Pedro, Bolivia

Penjara San Pedro, Bolivia

Penjara paling unik, kerana bukan sahaja banduan malah keluarga pun boleh turut serta dan menginap di dalam sel tahanan. Aneh bukan?

Setiap banduan yang baru pertama kali melangkah masuk ke dalam penjara ini, perlu membayar wang pendaftaran kepada ketua penjara tersebut, bagi membayar kos penginapan mereka di sel penjara.

Bagi banduan yang membawa anak dan isteri mereka menetap bersama, mereka terpaksa menanggung risiko berdepan dengan penjenayah seksual berhati kering yang dipenjarakan atas kesalahan rogol, bunuh dan jenayah seksual lain.

Untuk menampung kos penginapan dan hidup selama di penjara, banduan perlu bekerja.

Antara pekerjaan yang ditawarkan adalah tukang kebun, tukang kasut serta bekerja di unit pembuatan dadah yang sah; iaitu salah satu punca penjana ekonomi penjara tersebut.

Sel di penjara itu terbahagi kepada kategori paling daif, sederhana dan berkelas mewah.

2. Penjara Halden, Norway

Penjara Halden, Norway

Bak hotel lima bintang! Penjara ini amat menitik beratkan keselesaan penghuninya. Dikenali sebagai penjara paling ‘manusiawi’ di dunia dilihat menawarkan servis berkelas lima bintang kepada tahanannya.

Reka bentuk penjara yang moden, dimana penghuninya tidak mempunyai pakaian seragam banduan sepertimana di penjara lain.

Tahanan bebas melakukan aktiviti bersukan, bermain muzik di studio khas, bersenam di dalam gimnasium yang lengkap dengan fasiliti terkini, bilik sel yang selesa persis bilik asrama dan diberi kebenaran menggunakan dapur untuk memasak makanan sendiri.

Tujuan tahanan ini diberi layanan sebaiknya agar mereka menghargai kebebasan dan berazam untuk menjalani hidup yang lebih positif dan bebas jenayah sebaik melangkah keluar dari penjara.

Hasilnya, bilangan pesalah yang direkodkan kembali semula ke penjara hampir tiada.

3. Penjara Aranjuez, Sepanyol

Penjara Aranjuez, Sepanyol

Mendapat jolokan penjara mesra keluarga, banduan yang mempunyai anak mendapat keistimewaan untuk membawa anak dan isteri sama-sama menetap di dalam sel dikhususkan untuk keluarga yang mempunyai 36 unit kesemuanya.

Di dalam bilik tersebut katil khusus untuk bayi yang dihiasi dengan permainan comel menjadi penyeri buat anak-anak mereka.

Sebaik anak mereka berusia tiga tahun, ibu bapa tersebut perlu berpindah ke sel lain dan anak-anak di serahkan kepada penjaga atau keluarga.

Lazimnya, sebelum anak-anak kecil tersebut berusia tiga tahun, ramai banduan wanita ataupun isteri si pesalah lelaki, akan berusaha untuk hamil dan melahirkan anak lagi.

Dengan harapan mereka boleh sama-sama tinggal dalam sel yang sama seperti keluarga normal lain.

4. Apac, Association for Protection & Assistance to Convict, Brazil

Apac, Brazil

Sekali lagi elemen kekeluargaan menjadi sebahagian dari identiti pusat pemulihan di Brazil ini.

Adalah normal, keluarga pesalah akan hadir menziarahi pesalah terutamanya apabila melibatkan hari-hari perayaan tertentu.

Sebaliknya di pusat pemulihan ini, mereka menggunakan pendekatan berbeza, di mana pesalah dibenarkan pulang menziarahi keluarga mereka untuk beberapa hari.

Tujuannya bagi mencambahkan rasa ingin berubah dikalangan banduan dan mereka boleh kembali kepangkuan keluarga dan masyarakat dengan semangat positif.

Apac juga menggalakan pesalah ini bekerja di dalam penjara dengan melakukan aktiviti pertanian, pertukangan, menjahit dan pelbagai ilmu kemahiran lain yang mana boleh dimanfaatkan sebaik mereka melangkah keluar dari pusat ini.

5. Penjara Bastoy, Norway

Penjara Bastoy, Norway

Penjara yang mendapat gelaran ‘penjara paling baik’ di dunia kerana layanannya terhadap tahanan.

Keselesaan penghuni penjara menjadi fokus utama penjara ini, setiap seorang tahanan layak menghuni sel selesa sendirian. Mereka perlu berkongsi penggunaan dapur untuk memasak makanan mereka sendiri.

Setiap hari, tahanan akan diberi makan hanya sekali sahaja dan sekiranya rasa lapar, mereka diberi kebenaran membeli bekalan makanan di pasar raya tertentu dengan menggunakan wang elaun yang diberi oleh pihak penjara berjumlah $90 sebulan.

Selain itu, untuk mendapatkan duit tambahan, tahanan ditugaskan menguruskan tanaman, menjaga kuda, membaiki basikal, melakukan kerja-kerja pertukangan dan pemuliharaan kemudahan yang terdapat di Pulau Bastoy.

Penjara yang terletak di pulau itu mempunyai hanya 69 kakitangan penjara yang mengawal hamper 115 tahanan. Hanya lima pegawai ditugaskan bagi menjaga tahanan ketika sesi malam.

Tahanan diberi kelonggaran untuk pergi ke gereja, perpustakaan dan melibatkan diri dengan aktiviti riadah seperti memancing, menunggang kuda dan bersukan.

Sumber sentiasa panas

Categories
Home Kehidupan Kesihatan pendidikan

Tidak perlu bernafas untuk terus hidup-saintis

Jika lebih daripada tiga minit tanpa oksigen, sel-sel otak akan mula rosak dan mati namun, akhirnya saintis telah berjaya menemui partikel mikro yang membolehkan manusia mampu hidup tanpa perlu bernafas!

Mati Otak

Gambar hiasan.
Bunyinya seperti adegan di dalam filem sains fiksyen, tetapi babak yang tidak masuk akal ini benar-benar telah berjaya direalisasikan menjadi realiti.

Science Translation Medicine melaporkan, sekumpulan saintis dari Jabatan Kardiologi, di Boston Children’s Hospital, telah berjaya membangunkan partikel mikro berisi oksigen.

Partikel ini dikatakan sebagai antara penemuan terbaik dalam perubatan kerana ia mampu memberikan oksigen kepada seseorang untuk terus hidup walaupun sudah tidak bernafas.

Ketua penyelidiknya, John Kheir, berkata partikel mikro tersebut boleh membekalkan oksigen dengan pantas dengan menyuntiknya terus ke dalam saluran darah.

Zarah mikro itu berupa kapsul bersaiz kecil kira-kira dua hingga empat mikro meter dan tidak mampu dilihat tanpa menggunakan mikroskop.

Ia direka dengan saiz yang sangat kecil supaya mudah dibawa dan digunakan oleh paramedik serta krew kecemasan dan kakitangan hospital.

Partikel ini telah dihasilkan daripada satu lapisan lipid, molekul semulajadi yang biasanya menyimpan tenaga atau berfungsi sebagai komponen membran sel.

Apabila digunakan, kapsul tersebut akan digantung ke dalam cecair supaya tidak membentuk gelombang lebih besar, yang mungkin boleh membunuh pesakit jika sampai ke jantung dan otak.

Setelah cecair berisi kapsul disuntik ke dalam salur darah, zarah-zarah mikro akan berlanggar dengan sel-sel darah merah.

Perlanggaran itu kemudiannya akan memindahkan oksigen ke dalam darah dengan kadar yang sangat pantas pada kadar 70 peratus daripada suntikan, hanya dalam masa empat saat.

Kaedah ini merupakan pengganti oksigen jangka pendek, satu cara untuk menyokong dan menstabilkan pesakit yang mengalami kesukaran bernafas dalam keadaan kritikal.

Penyelesaian seperti ini sebenarnya sudah dikaji sejak awal 1990an lagi, namun oksigen gagal dibekalkan ke dalam darah disebabkan kehadiran gelembung gas berbahaya.

Sehinggalah John Kheir dan pasukannya berjaya mengatasi masalah itu dengan menggunakan partikel yang boleh berubah bentuk dan bukannya menggelembung.

Penemuan hebat ini diramal mampu menyelamatkan berjuta-juta nyawa di seluruh dunia.

Sumber Sentiasa panas

Categories
Home pendidikan

Jack Ma letak jawatan Alibaba

SHANGHAI – Pengasas dan pengerusi firma perdagangan elektronik terbesar, Alibaba Group Holding Ltd, Jack Ma, secara rasminya meletak jawatan hari ini.

Hasrat meninggalkan rangkaian syarikat e-dagang gergasi tersebut dizahirkan sejak setahun lalu.

Daniel Zhang, akan menggantikan beliau sebagai pengerusi.

Beliau akan melengkapkan penggalnya dalam lembaga pengarah Alibaba susulan mesyuarat agung tahunan syarikat berkenaan pada 2020.

Ma melepaskan jawatan ketua eksekutif pada 2013.

Zhang, 46, memegang jawatan itu sejak 2015 selepas berkhidmat sebagai ketua pegawai operasi syarikat terbabit.

Ma sebelum ini dilaporkan mahu kembali ke bidang pendidikan sebaik sahaja meninggalkan Alibaba.

Beliau merupakan seorang guru Bahasa Inggeris sebelum menubuhkan Alibaba pada 1999.

Dalam temu bual bersama akhbar The New York Times, Ma memberitahu bahawa persaraannya daripada syarikat tersebut disifatkan sebagai ‘permulaan satu era baharu’ dan bukannya pengakhiran kepada Alibaba.

Menjelang persaraannya, majalah Forbes menyenaraikan Ma merupakan antara rakyat China paling kaya dengan nilai kekayaannya mencecah sehingga AS$36.6 bilion (RM152 bilion).

Ma memulakan perniagaannya selepas berhenti menjadi guru dan beliau melihat terdapat banyak peluang untuk meraih keuntungan menerusi perniagaan secara dalam talian.

Pada mulanya, Ma menjalankan operasi perniagaannya di kediamannya di timur bandar Hangzhou.

Usahawan tersohor itu merupakan graduan Kolej Guru Hangzhou dalam bidang pendidikan Bahasa Inggeris dan pernah menjadi pensyarah di sebuah universiti di bandar berkenaan.

Media China sebelum ini pernah melaporkan tentang kehidupan Ma yang berasal daripada keluarga miskin, selain kejayaannya menguruskan Alibaba menyaksikan medium perniagaan lelong Amerika Syarikat (AS) iaitu eBay terpaksa berundur dari pasaran China pada 2006. – Agensi
sumber sinar harian

Categories
Home ilmu pendidikan

Pakar boleh tahu anda mental atau tidak melalui media sosial

Peranan Facebook nampaknya bukan lagi sekadar untuk bersosial bersama rakan, kerana siapa sangka kini ia boleh dijadikan medium oleh pakar kesihatan untuk menjalankan kaji selidik tentang tahap kesihatan seseorang.

Kesihatan melalui Facebook

Menerusi kajian dilakukan oleh sekumpulan penyelidik di Universiti Pennsylvania dan Universiti Stony Brook, mereka mengkaji lebih 20 juta perkataan yang digunakan oleh 999 responden menerusi sejarah catatan (posting) di laman sosial itu bagi mengetahui penyakit dihidapi mereka.

Kesemua responden itu juga turut membuat pautan data rekod perubatan elektronik dengan Facebook masing-masing namun informasi mengenainya tidak dapat diakses secara terbuka oleh kenalan mereka.

Menerusi Facebook, pengkaji boleh mengetahui sama ada anda mempunyai masalah mental atau pun tidak.

Para pengkaji membina tiga model untuk menganalisa sama ada posting yang dibuat mampu memberi maklumat mengenai masalah kesihatan yang dialami mereka menerusi 21 kategori penyakit.

Salah satu model itu menganalisa penggunaan bahasa digunakan pemilik profil menerusi status yang ditulis, manakala yang lain bagi mengasingkan demografi serta umur dan jantina mereka.

Hasilnya yang diterbitkan menerusi jurnal Plos One menunjukkan semua 21 masalah kesihatan yang disenaraikan boleh dijangka hanya menggunakan Facebook.

Malah, data Facebook adalah lebih baik dalam menganalisis 10 jenis penyakit mengikut informasi demografi seperti darah tinggi, diabetes termasuk kesihatan mental.

Penggunaan perkataan oleh pengguna di status juga sudah cukup untuk menggambarkan masalah kesihatan tertentu seperti contoh apabila kerap menggunakan perkataan ‘minum’ dan ‘botol’ – ia adalah tanda jelas seseorang itu mempunyai masalah alkohol.

Facebook bukan sahaja medium untuk bersosial tetapi tempat ‘permainan’ penyelidik.

Bagi yang sering menggunakan perkataan bersifat keagamaan seperti ‘tuhan’ dan ‘doa’ ia menunjukkan mereka mempunyai masalah diabetes.

Penggunaan perkataan kasar seperti ‘bodoh’ atau ayat mencarut yang lain di laman sosial, memberi gambaran bahawa pemilik profil itu seorang penagih dadah atau mempunyai masalah mental.

Bagaimanapun, menurut Dr Andrew Schwartz, kajian itu masih di peringkat awal namun kaitan di antara penggunaan bahasa dan penyakit tertentu sangat berkait rapat.

Dari sudut positif, kajian ini diharap dapat membantu sesiapa sahaja yang mungkin tidak menyedari mereka sedang berdepan dengan masalah atau penyakit berbahaya. 

Semoga memberi manfaat.

Sumber sentiasapanas

Categories
Home pendidikan

Bakal menjelajah planet Marikh

Misi ke planet Marikh bukanlah sesuatu yang baru sebaliknya telah dimulakan sejak tahun 1965, apabila Mariner 4, kapal angkasa tanpa pemandu NASA berjaya menghampiri planet ini dan menghantar gambar planet Marikh secara dekat yang pertama.

Alyssa Carson manusia pertama ke Marikh

Kemudian, pada tahun 1971, Mars 3, kapal angkasa milik Soviet Union berjaya berada di orbit planet Marikh dan berjaya mengumpul data-data penting seperti topografi, atmosfera, cuaca dan geologi planet Marikh.

Malangnya, hanya data selama 20 saat berjaya dihantar ke bumi sebelum ianya terputus hubungan.

Kajian demi kajian mengenai planet Marikh yang dilakukan oleh pelbagai organisasi ini menjadikan misi menjejakkan kaki dan menghantar manusia ke planet Marikh semakin menarik.

Adakah ianya bakal menjadi realiti dalam beberapa tahun akan datang?

Alyssa Carson Bakal Menjadi Manusia Pertama Menjelajah Planet Marikh

Bukan sahaja pembangunan teknologi canggih diperlukan bagi merealisasikan cita-cita besar ini malah, NASA juga telah mempunyai calon sesuai sebagai manusia pertama yang bakal dihantar ke planet Marikh.

Manusia istimewa yang menjadi calon manusia pertama bakal ke planet Marikh ini bernama Alyssa Carson, seorang remaja perempuan yang baru berusia 17 tahun.

Wanita Genius

Menggunakan nama panggilan Blueberry di NASA, Alyssa Carson sememangnya mempunyai cita-cita besar menjejakkan kaki ke planet Marikh sejak dari kecil lagi.

Keinginan tersebut timbul selepas beliau menonton siaran The Backyardigans di kaca televisyen ketika berumur 3 tahun lagi.

Terpilih

Terdapat banyak sebab utama mengapa beliau dipilih sebagai calon utama untuk dihantar ke planet Marikh.

Alyssa Carson merupakan seorang genius dan pelajar termuda yang berjaya menamatkan pengajian di Advanced Space Academy.

Pada tahun 2008, bapanya Bert Carson telah mendaftarkan beliau untuk mengikuti program United States Space Camp.

5 tahun kemudian, Alyssa berjaya menamatkan program tersebut, menjadikan beliau manusia pertama di dunia yang berjaya menamatkan kesemua 3 program khas NASA dikenali sebagai NASA Space Camps di Amerika Syarikat, Kanada dan Turki.

Selain itu, beliau merupakan satu-satunya manusia yang berjaya menamatkan program NASA Passport Program, iaitu lawatan ke kesemua 14 pusat penyelidikan NASA di seluruh Amerika Syarikat.

Pada Januari 2013, beliau telah dijemput sebagai panel dalam satu program televisyen NASA yang diadakan di Washington D.C. bagi membincangkan tentang rancangan misi menjejakkan kaki ke planet Marikh.

Tidak lama kemudian, beliau dipilih sebagai salah seorang daripada 7 orang duta Mars One, iaitu misi untuk membina penempatan manusia di planet Marikh menjelang 2033.

Pada Oktober 2016, beliau berjaya menamatkan pengajian di Advanced Possum Academy seterusnya menjadikan beliau sebagai manusia termuda di dunia mempunyai kelayakan untuk pergi ke angkasa lepas.

Pengorbanan Besar

Alyssa Carson Mars

Alyssa Carson.
Kini, Alyssa sedang mengikuti pelbagai latihan intensif bersama NASA untuk menjadi sebahagian daripada misi manusia pertama menjejakkan kaki ke planet Marikh pada tahun 2033.

Walau bagaimanapun, kesibukannya ini tidak menghalangnya untuk melanjutkan pengajian seperti remaja seusianya.

Alyssa yang berasal dari Louisiana juga turut mempelajari 4 bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Mandarin, French dan Spanish.

Selain itu, Alyssa turut sibuk memberikan ceramah terutamanya kepada golongan muda dalam usaha memberi mereka galakan untuk mengejar cita-cita.

Alyssa juga telah menubuhkan organisasi yang diberi nama Blueberry Foundation untuk memupuk golongan muda untuk mengejar cita-cita mereka secara serius.

Sebagai manusia pertama yang bakal dihantar ke Marikh, Alyssa Carson sedar beberapa pengorbanan besar yang terpaksa dilakukannya.

Antaranya, tidak boleh berkahwin bagi membolehkan cita-citanya sebagai manusia pertama menjejakkan kaki ke planet Marikh tercapai.

Semoga memberi manfaat.

sumber sentiasa panas

Categories
Home ilmu pendidikan

komando dalam sejarah purba

Pada masa kini, hampir semua negara berdaulat mempunyai unit tentera elit (komando) mereka sendiri seperti unit elit SWAD commando (tentera elit Bangladesh), Irish Army Ranger (tentera elit Ireland), GROM (tentera elit Poland) dan lain-lain.

Pada zaman dahulu, tentera elit berjuang dalam perang konvensional (peperangan secara terbuka) akan tetapi, pada masa sekarang, tentera elit ditugaskan untuk mensabotaj, mengintip dan membuat propaganda di bahagian sempadan musuh.

Peperangan ini dinamakan Perang tidak konvensional (unconventional warfare).

1. Hoplites: Tentera elit Yunani

Komando Terbaik Dalam Sejarah Purba

Hoplites.
Tentera Yunani Purba ini adalah tentera pertama yang lengkap dengan perisai dan senjata-senjata efisien.

Pada awal penubuhannya, Hoplite dianggotai secara sukarela oleh masyarakat kelas pertengahan di Yunani, yang dianggotai oleh golongan petani.

Hoplite dilengkapi dengan perisai Hoplon, Cuirass (penutup bahagian dada), Kopis (penutup kepala), pelindung kaki, perisai dan pedang.

Berat keseluruhan kelengkapan Hoplite boleh menyamai separuh daripada berat purata tentera-tentera Hoplite iaitu sekitar 60 pound hingga 70 pound.

Strategi yang kerap digunakan oleh tentera-tentera Hoplite adalah Phalanx, sejenis strategi peperangan yang melibatkan barisan tentera dengan perisai dijadikan pelindung.

Selepas itu, barisan tentera Hoplite akan bergerak perlahan-lahan ke arah musuh sebelum berlakunya close combat.

Pada zaman itu, peperangan lebih berteraskan close combat sepertimana yang berlaku ketika Battle of Thermopylae dan Battle of Marathon.

Tentera berkuda Yunani (calvary) pula ditugaskan untuk melindungi formasi Phalanx di bahagian sisi (flank) dan peranan mereka hanya terhad di situ sahaja sehinggalah pada zaman Alexander the Great yang mana beliau menggunakan sepenuhnya kelebihan tentera berkuda.

Kejayaan Hoplite yang terbesar adalah ketika Battle of Marathon dan Battle of Plataea.

Berbekalkan taktik Phalanx, Hoplite berjaya menyekat serangan anak panah tentera Parsi yang mana ia hanya sesuai bagi peperangan jarak jauh.

Diriwayatkan bahawa, barisan Phalanx Hoplite hanya mempunyai tiga barisan sahaja dengan jarak sejauh 1 kilometer.

2. Persian Immortal: Tentera elit Empayar Parsi

Komando Terbaik Dalam Sejarah Purba

Persian Immortal.
Tentera elit ini berkhidmat di bawah empayar Achaemenid yang memerintah Parsi (Iran sekarang) daripada 550BC hingga 330BC, yang berkhidmat secara dual-task iaitu sebagai pengawal diraja semasa aman dan standing army ketika berlakunya peperangan.

Nama Immortal ini diberikan oleh Bapa Sejarah, Herodotus ketika Battle of Thermopylae (480BC).

Tentera elit Parsi ini diberi nama sedemikian rupa kerana menurut Herodotus, ketika Battle of Thermopylae, tentera elit Parsi ini berjumlah 10,000 orang, akan tetapi setiap tentera yang mati dan mengalami luka sehingga tidak boleh berperang akan diganti dengan tentera elit yang baru sehinggakan ia tidak berkurang walau seorangpun daripada 10,000 orang.

Oleh sebab itu, kekuatan tentera Immortal sering dikaitkan dengan misteri.

Kemasukan ke dalam tentera elit Immortal ini hanya terhad kepada bangsa Median, Elamite dan Parsi sahaja.

Menurut Herodotus, Immortal dilengkapi dengan perisai rotan yang ringan, pedang besar, lembing pendek dan peralatan panah. Kepala mereka ditutupi dengan kain bagi melindungi daripada debu dan ribut pasir.

Antara kejayaan terbesar Immortal adalah ketika dibawah pemerintahan Cyrus the Great dan Darius the Great yang mana Cyrus the Great telah menggunakan kekuatan Immortal untuk meluaskan empayar Achaemenid dengan menawan Babylon pada 547BC.

Darius the Great pula berjaya menawan India dan Scythia sekitar tahun 520BC dan 513BC.

3. Hetairoi: Tentera elit berkuda Alexander the Great

Komando Terbaik Dalam Sejarah Purba

Hetairoi.
Hetairoi adalah tentera elit berkuda yang dipercayai ditubuhkan pada era King Phillip II, raja Mecadonia. Kemudian, Hetairoi digunakan oleh anak kepada King Phillip II, Alexander the Great dalam misi peluasaan empayarnya.

Pada era Alexander, Hetairoi amat digeruni oleh musuh-musuhnya dan diakui sebagai tentera elit berkuda yang terhebat dalam eranya.

Tentera Hetairoi yang terpilih akan menjadi Somatophylax, iaitu pengawal peribadi raja Mecadonia.

Dipercayai, pada era Alexander, terdapat hanya kira-kira tujuh orang Somatophylax yang bertugas sebagai pengawal peribadinya dan mengepalai tentera-tentera Hetairoi selaku jeneral bagi setiap batalion.

Hetairoi dikatakan memiliki senjata dan kuda terhebat ketika eranya. Bagi setiap tentera Hetairoi, mereka akan dibekalkan dengan Xyston (lembing yang sepanjang 3 meter), Cuirass (baju zirah yang diperbuat daripada gangsa), pelindung bahu dan Boeotian helmet.

Selain itu, tentera elit Mecadonia ini juga dilengkapi dengan sejenis pedang pendek yang dikenali Kopis, yang hanya akan digunakan apabila Xyston patah dan peperangan jarak dekat (close combat).

Dengan kelengkapan ketenteraan ini, maka tidak hairanlah bagaimana Alexander the Great mampu meluaskan empayarnya sejauh ke India.

Ketika zaman Alexander the Great, Hetairoi selalu berada di posisi paling kanan atau paling kiri bagi melaksanakan strategi Hammer and Anvil.

Hammer and Anvil adalah strategi kegemaran Alexander bagi menghapuskan musuh yang mempunyai askar infantri (pejalan kaki) yang kuat seperti ketika menghadapi tentera Parsi pimpinan Darius di Battle of Isus yang mempunyai infantri bertaraf komando iaitu Immortal.

Strategi Hammer and Anvil ini bermula dengan tentera infantri Alexander yang dikenali Hypaspists mula mengorak langkah dengan menyerang barisan depan infantri musuh.

Tentera berkuda Hetairoi akan berpisah jauh ke tepi bagi memusatkan tenaga untuk menyerang musuh dengan mengejut daripada tepi.

Strategi Hammer and Anvil amat berkesan sehinggakan kebanyakan kempen ketenteraan Alexander menggunakan strategi ini.

Kebiasaannya, Alexander akan mengetuai sendiri Hetairoi yang melakukan serangan mengejut ini.

4. Roman Legion: Tentera Elit Empayar Rom

Komando Terbaik Dalam Sejarah Purba

Roman Legion.
Roman Legion adalah adaptasi daripada tentera elit Yunani, Hoplites, tertubuh seawal empayar Rom ditubuhkan iaitu 500BC.

Empayar Byzantine (Rom Timur) turut menggunakan khidmat Roman Legion bagi perluasan empayar.

Ketika di awal Roman Legion sekitar 400BC, Roman Legion mempunyai formasi tiga baris. Hastati di hadapan, principes membentuk barisan ketiga, triarii, rorarii dan accensi berada di belakang.

Hastati:

Terdiri daripada pejuang muda dengan baju zirah gangsa dan scutum (perisai tradisional Roman Legion). Setiap mereka akan membawa pedang dan lembing.

Tugas Hastati adalah untuk menyerang barisan hadapan musuh dan jikalau diserang, mereka adalah barisan pertahanan pertama.

Principes:

Terdiri daripada pejuang berpengalaman yang lengkap dengan pelbagai alatan ketenteraan. Tugas mereka adalah untuk menyerang selepas divisyen Hastati memulakan serangan.

Triarii:

Berada di barisan ketiga bersama-sama roraii dan accensi. Terdiri daripada pejuang veteran namun masih lagi boleh berperang.

Roraii dan Accensil:

Terdiri daripada barisan muda yang tidak mempunyai pengalaman. Barisan pertahanan terakhir. Tidak digunakan untuk melakukan serangan ke atas pihak musuh.

Kegemilangan Roman Legion adalah ketika di bawah pemerintahan Caesar (88BC-30BC).

Ketika itu, Roman Legion sentiasa berjaya dalam setiap kempennya, yang ketika itu diketuai oleh komander hebat seperti Caesar, Mark Anthony dan Gnaeus Pompeius Magnus (Pompey the Great).

Kejayaan terbesar Julius Caesar adalah ketika pengepungan Gaul sekitar tahun 58BC-51BC.

Kejayaan menawan Gaul membolehkan Julius Caesar kekal sebagai satu-satunya pemerintahan dalam Republik Rom.

5. Janissari: Tentera elit Empayar Othmaniyyah

Komando Terbaik Dalam Sejarah Purba

Janissari.
Tentera elit Empayar Othamaniyyah ini telah banyak membantu dalam peluasan kuasa dinasti Othmaniyyah.

Janissari yang membawa maksud pasukan baru ini ditubuhkan pada 1365 oleh Sultan Murad I.

Namun begitu, terdapat teori lain yang mendakwa bahawa Janissari telah ditubuhkan lebih awal daripada itu yang didakwa ditubuhkan oleh bapa Sultan Murad I, Sultan Orhan I.

Tentera Janissari adalah perintis kepada tentera moden pertama di dunia.

Apa yang perlu diketahui adalah, tentera elit Turki Othmaniyyah ini adalah tentera pertama yang dibayar gaji secara tetap mengikut ranking dalam tentera.

Pada waktu itu, semua negara termasuk di Eropah hanya membayar gaji tentera mereka ketika perang sahaja.

Ini bermaksud, Turki Othmaniyyah adalah perintis pertama dalam pengenalan tentera profesional pertama di dunia.

Tentera Janissari terbahagi kepada TIGA divisyen iaitu;

  • Cemaat atau jemaat (Tentera barisan depan), dengan kekuatan 101 orta (batallion).
  • Beyliks atau beuluks (Pengawal peribadi Sultan), dengan kekuatan 61 orta (batallion).
  • Sekban atau seirnen, dengan kekuatan 34 orta (batallion).

*Pada zaman moden sekarang, satu batalion mengandungi seramai 720 orang tentera.

Pada zaman kegemilangan Turki Othmaniyyah atau lebih dikenali Pax Ottoman, Tentera elit Janissari sangat ditakuti oleh musuh kerajaan Turki Othmaniyyah.

Ini kerana tentera Janissari terkenal dengan semangat Ghazi (berani mati), taat setia pada Sultan dan empayar dan disiplin tentera yang tersusun.

Malah, tentera ini memiliki skuad pancaragam tentera yang pertama di dunia, yang merupakan sub-divisyen bagi Janissari yang ditugaskan untuk menaikkan semangat ketika di medan peperangan.

Skuad pancaragam Janissari kemudian ditiru oleh pelbagai pasukan ketenteraan lain di Eropah termasuklah di Asia.

Ketika di medan perang, tentera Janissari mempunyai beberapa sub-divisyen yang khusus dalam bidangnya seperti sub-divisyen kejuruteraan bagi membina jalan atau jambatan, sub-divisyen bagi skuad perubatan yang dianggotai doktor Muslim dan Yahudi (dilengkapi dengan hospital mudah alih), sub-divisyen bagi skuad membina khemah-khemah tentera, sub-divisyen bagi skuad kulinari (terdiri daripada chef-chef tentera).

Ketersusunan tentera Janissari menyebabkan ia berada di tahap yang tersendiri.

Tentera Janissari adalah pelopor awal penggunaan senjata api dalam pasukannya. Penggunaan bermula sejak awal abad ke-15 lagi. Jauh lebih awal daripada Eropah.

Pada awal abad ke-16, tentara Janissari mula menggunakan senapang lantak (muskeet), bom tangan dan meriam tangan (hand cannon).

Pengaruh tentera Janissari cukup kuat dalam Empayar Turki Othmaniyyah sehinggakan pembubaran tentera Janissari pada Jun 1826 akibat Insiden Auspicious menyebabkan dinasti Othmaniyyah sebagai kuasa besar di dunia runtuh.

Sungguh menyedihkan apabila warisan kegagahan tentera Janissari hanya boleh dilihat di muzium-muzium dan gambar-gambar antik sahaja.

Semoga memberi manfaat.

Sumber sentiasapanas

Categories
Home Kehidupan pendidikan

Apa Sebenarnya Shinto, Agama Rasmi Negara Jepun

Shinto merupakan ajaran agama di Jepun yang sangat sukar dikelaskan kerana pada satu pihak, ia boleh dianggap sebagai satu bentuk animisme yang lebih sofistikated dan boleh dianggap sebagai agama awal, manakala yang lain pula, kepercayaan dan cara pemikiran Shinto terbenam jauh ke dalam minda luar sedar masyarakat Jepun moden.

Amaterasu, Dewi Matahari

Amaterasu, Dewi Matahari.
Shintō membabitkan penyembahan Kami, yang boleh diterjemahkan sebagai Dewa, penunggu (nature spirits), atau kehadiran semangat.

Sesetengah Kami terbatas di suatu tempat dan boleh dianggap sebagai penunggu atau asal sesuatu tempat, tetapi sesetengah yang lain melambangkan objek semula jadi yang penting atau kejadian, sebagai contoh, Amaterasu, Dewi Matahari.

Shen Dao

Perkataan Shinto dicipta daripada gabungan dua huruf bahasa Cina (神道, dibaca shen dao menurut bacaan Cina moden).

Perkataan pertama bererti “ketuhanan” atau “Tuhan” dan boleh juga dibaca sebagai “kami” dalam bahasa Jepun.

Huruf kedua bererti “jalan” atau “arah,” ialah perkataan yang digunakan bagi perkataan “Taoisme” dan dengan itu, Shinto secara harafiahnya bererti, laluan ke arah ketuhanan ‘kami’.

Selepas Perang Dunia II, Shinto kehilangan statusnya sebagai agama kebangsaan; kebanyakan amalan dan ajaran Shinto, yang dititikberatkan sebelum perang, tidak lagi diajar atau diamalkan walaupun sesetengahnya kekal sebagai aktiviti harian seperti omikuji.

Sejarah Shinto

Asal usul Shinto lenyap dalam lipatan sejarah, tetapi kemungkinan ia bertapak pada akhir tempoh Jomon.

Terdapat beberapa teori mengenai leluhur penduduk Jepun masa kini, tambahan kepada teori yang diterima umum mengenai perpindahan dari Asia Tengah atau Indonesia, teori yang kurang dikenali mencadangkan hubungan antara amalan Shinto moden dan tradisi Yahudi silam.

Kemungkinan, selepas ketibaan leluhur Jepun kini, setiap puak dan kawasan mempunyai Dewa-dewa dan upacara mereka sendiri tanpa sebarang kaitan rasmi antara sesebuah kawasan.

Dengan kebangkitan kuasa leluhur keluarga Imperial mengatasi kumpulan lain, berhala leluhur mereka mengatasi dewa kumpulan yang lain, walaupun sistem berlainan masih wujud.

Buddha

Pengenalan penulisan pada abad ke-5 dan Buddha pada abad ke-6 memberikan kesan besar terhadap perkembangan sistem kepercayaan Shinto tunggal.

Dalam tempoh yang singkat, Kojiki (RekodPm, 712) dan Nihonshoki (Sejarah Jepun, 720) ditulis dengan mengumpul mitos dan legenda yang ada menjadi penceritaan bergabung (unified account).

Gambaran ditulis dengan dua matlamat

Pertama, penceritaan sofistikated dan pengenalan tema Taois, Konfusian dan Buddha dalam penceritaan bertujuan bagi mengagumkan negara Cina dengan kemajuan Jepun.

Orang-orang Jepun yang berasa terancam dengan budaya Cina yang lebih maju dan berharap untuk menghasilkan hasil kerja yang setanding.

Kedua, penceritaan tersebut bertujuan bagi mengukuhkan sokongan bagi pengesahan Maharaja, berasaskan leluhur keturunan daripada Dewi Matahari (Sun Goddess) Amaterasu.

Kebanyakan kawasan Jepun moden berada di bawah kawalan keluarga Maharaja dan kumpulan etnik saingan (kemungkinan termasuk, leluhur Ainu) terus menentang pencerobohan Jepun.

Mitos

Analogi mitos (mythological anthologies), bersama dengan anologi puisi lain seperti Manyoshu dan yang lain, kesemuanya bertujuan menekankan kepada yang lain mengenai kewibawaan keluarga Maharaja dan amanah para dewa untuk memerintah Jepun.

Pandangan selaras (syncretic) Kukai diterima ramai sehingga akhir tempoh Edo yang pada masa itu, terdapat kebangkitan kembali minat mengenai “pengajian Jepun,” kemungkinan disebabkan polisi negara tertutup.

Pemulihan Meiji

Pada abad ke-18, ramai golongan terpelajar Jepun, terutamanya Motoori Norinaga (1730 – 1801), cuba untuk mengenali Shinto “sebenar” daripada pengaruh asing.

Cubaan itu tidak berjaya, kerana seawal Nihonshoki, sebahagian daripada mitos jelas diserap daripada doktrin Cina.

Sebagai contoh, pasangan dewa pencipta Izanami dan Izanagi jelas setanding dengan Yin dan Yang bagaimanapun, cubaan tersebut menjadi pelantar bagi kebangkitan Shinto negara, selepas pemulihan Meiji.

Berikutan pemulihan Meiji, Shinto dijadikan agama rasmi Jepun dan gabungannya dengan Buddha diharamkan.

Semasa tempoh ini, dirasakan bahawa Shinto diperlukan bagi menyatukan negara di bawah Maharaja sebagai proses memodenkan dengan seberapa cepat yang mungkin.

Ketibaan kapal perang Barat dan keruntuhan kesyogunan menyakinkan orang ramai bahawa negara perlu bersatu sekiranya tidak ingin dijajah oleh kuasa asing.

Dengan itu, Shinto digunakan sebagai alat bagi menggalakkan penyembahan Maharaja (Empayar) dan Shinto dieksport ke jajahan yang ditawan seperti Hokkaido dan Korea.

Era Shinto sebagai agama kebangsaan berakhir secara tiba-tiba dengan tamatnya Perang Dunia II.

Jelas bahawa Kami telah gagal untuk mendatangkan Angin Tuhan (Divine Wind) (kamikaze) untuk mematahkan penjajah asing.

Pegangan Agama Merosot

Sejurus selepas perang, Maharaja turut mengeluarkan kenyataan yang membatalkan tuntutannya sebagai status “dewa hidup”.

Selepas perang, kebanyakan orang Jepun telah mempercayai bahawa “hubris” Empayar mendorong kepada kejatuhan mereka.

Keghairahan menjajah negara asing telah membutakan pemimpin mereka mengenai kepentingan tanah air sendiri.

Ketika tempoh selepas perang, pelbagai “agama baru” muncul, kebanyakan mereka kononnya berasaskan Shinto, tetapi secara keseluruhan ketaatan penduduk Jepun kepada agama merosot.

Selepas perang, Shinto kebanyakkannya kekal tanpa menumpu kepada mitos atau kebenaran oleh dewa (divine mandate) kepada keluarga Maharaja.

Sebaliknya, kuil lebih cenderung membantu orang miskin biasa mendapatkan nasib yang lebih baik dengan cara mengekalkan hubungan baik dengan nenek moyang mereka dan Kami yang lain.

Cara pemikiran Shinto kekal menjadi cara pemikiran penduduk Jepun yang penting, walaupun jumlah penduduk yang mengaku diri mereka taat beragama merosot dengan teruk.

Kehidupan Duniawi

Hidup selepas mati bukannya matlamat utama dalam kepercayaan Shinto dan lebih banyak tekanan diberikan kepada kehidupan duniawi, bukannya persediaan untuk dunia selepasnya.

Shinto tidak mempunyai set dogma tertentu, tiada tempat suci untuk disembah, tiada orang atau kami dianggap lebih suci dan tiada cara menyembah yang khusus.

Sebaliknya, Shinto merupakan himpunan kaedah dan upacara bertujuan untuk menyelaraskan hubungan manusia hidup dengan kami.

Perlakuan ini bermula secara organik di Jepun melangkau beberapa abad dan dipengaruhi oleh hubungan Jepun dengan agama negara lain, terutamanya China.

Sebagai contoh, perkataan Shinto sendiri berasal daripada bahasa Cina dan kebanyakan pengukuhan pengkodifikasian mitos Shinto dilakukan dengan matlamat khas bagi menjawab pengaruh budaya Cina.

Contohnya, Shinto secara berterusan memberi kesan pada pelaksanaan agama lain di Jepun terutamanya, seseorang dapat membina kes untuk berbincang mengenainya di bawah tajuk Buddha Jepun, kerana kedua-dua agama telah mempunyai kesan yang mendalam sesama sendiri sepanjang sejarah negara ini.

Tambahan lagi, kepercayaan Jepun moden yang muncul semenjak akhir Perang Dunia II telah menunjukkan pengaruh Shinto yang jelas.

Semoga memberi manfaat.

sumber sentiasapanas

Categories
Home pendidikan

Sebuah asteroid sebesar Piramid Giza menuju ke bumi

WASHINGTON – Sebuah asteroid berukuran lebih besar daripada bangunan Empire State dikatakan sedang bergerak menuju ke arah bumi.

Saintis di Makmal Propulsi Jet NASA (JPL) berkata, batu angkasa digelar 2019 OU1 dijangka menghampiri bumi pada 28 Ogos depan pada jarak dekat hanya 0.00687 unit astronomi (au) atau lebih sejuta kilometer.

“Asteroid Berpotensi Bahaya (PHAs) dalam kelas Apollo (kelompok dekat dengan bumi) yang dianggarkan berukuran kira-kira 150 meter lebar dan melintasi bumi pada kelajuan 13 kilometer per saat,” ujar JPL dalam satu kenyataan.

Asteroid itu dikatakan berukuran sama seperti saiz Piramid Besar Giza.

Menurut NASA, PHAs ditakrifkan berdasarkan parameter tertentu yang mengukur potensi ancaman asteroid menghampiri bumi terutamanya batuan angkasa dengan jarak persilangan orbit minimum 0.05 au dan magnitud mutlak 22.0.

Beberapa minggu lalu, asteroid ‘pembunuh bandar’ digelar 2019 OK dengan diameter 129 meter yang boleh menyebabkan kemusnahan ke atas bandar seperti impak bom atom turut dikesan menghampiri bumi pada jarak lebih dekat berbanding kedudukan bulan. – Agensi

Asteroid ialah objek kecil dalam sistem suria yang mengelilingi matahari yang mempunyai saiz yang lebih kecil daripada planet. Oleh sebab itu, asteroid tergolong dalam kumpulan planet kecil (minor planet) atau dikenali sebagai planetoid. Asteroid dipercayai merupakan lebihan cakera proto planet yang tidak membentuk planet ketika pembentukan sistem suria dahulu.

Sesetengah asteroid mempunyai bulan. Kebanyakan asteroid berada di gelang asteroid dalam orbit bujur antara marikh dan musytari. Definisi Definisi sebenar asteroid masih dalam perbincangan. Istilah planet minor tidak membawa cadangan mengenai komposisi objek atau kedudukan umumnya dalam sistem suria. Sesetengah berpendapat tidak semua planet minor boleh digelar asteroid.

Salah satu cara untuk mengelaskannya ialah melalui saiz objek. Pada masa ini, asteroid didefinisikan sebagai objek yang mempunyai saiz melebihi 50m diameter yang membezakan mereka dengan meteoroid yang selalunya bersaiz lebih kecil. Perbezaan ini dibuat kerana saiz besar asteroid membolehkannya selamat melalui atmosfera Bumi dan menghentam Bumi. Meteoroid pula selalunya berkecai di atmosfera Bumi.

Kesimpulannya, asteroid ialah objek berbatu (bukan ais) yang bersaiz lebih besar daripada meteoroid, tetapi kecil daripada planet. Klasifikasi asteroid Asteroid selalunya dibahagi kepada kumpulan berdasarkan sifat sifat orbit dan spektrum cahaya yang dipantulkan.  sumber agensi

Categories
islam pendidikan

Awal ke solat jumaat ada ganjaran

“SUDAH hendak masuk waktu solat Jumaat ini. Kejap lagilah aku ke masjid. Hendak siapkan kerja lagi sikit. Lagipun, kalau tak sempat dengar khutbah pun sah lagi solat aku.

“Barangkali, ada yang memandang remeh waktu solat Jumaat kerana alasan klise iaitu mahu melunaskan kerja.Hanya empunya badan sahaja yang ada jawapannya.

Namun, sebenarnya, ada banyak ganjaran yang ALLAH SWT tawarkan kepada kaum Adam ini tatkala tibanya hari Jumaat iaitu penghulu segala hari.Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa mandi pada hari Jumaat, berangkat lebih awal (ke masjid), berjalan kaki dan tidak berkenderaan,

berdekatan imam dan mendengar khutbahnya serta tidak berbuat ‘lagha’ (sia-sia), maka setiap dari langkah yang ditempuhnya dia akan mendapatkan pahala puasa dan qiamullail setahun.” (Riwayat Abu Dawud)Lihat betapa

besarnya ganjaran yang ditawarkan ALLAH SWT.Malangnya, ramai yang membiarkan tawaran itu berlalu begitu sahaja.Namun, jangan kita lupa. ALLAH SWT tahu niat sebenar kita yang melambat-lambatkan perjalanan untuk solat Jumaat.

Sebenarnya, datang awal ke masjid akan membuatkan kita tenang untuk memilih mana-mana saf, selain dapat meluangkan masa untuk berzikir, membaca al-Quran dan berpeluang mendengar khutbah dengan jelas.

Apa pun, pilihan terletak pada diri masing-masing.Tanya pada diri kita, mahu pahala penuh ke pahala separuh?Jika mahu pahala penuh, marilah sama-sama kita ubah sikap kita dan datang awal ke masjid untuk solat Jumaat.Mudah-mudahan kita terus istiqamah.(Sumber: Muhd Nasruddin

Categories
Home pendidikan

Tidak wajar letak jalur gemilang warna hitam

Tangkap layar tokoh perniagaan bergelar Tan Sri yang menukar warna bendera Malaysia kepada jalur hitam di laman Facebooknya mengundang reaksi negatif. – Foto sumber internet
A A
SHAH ALAM – Seorang tokoh perniagaan bergelar Tan Sri mendapat reaksi negatif daripada netizen apabila bertindak menukar warna bendera Malaysia kepada jalur hitam berhubung isu pengenalan tulisan khat.

Lelaki yang terlibat dengan perniagaan industri pembinaan itu telah menaikkan sekeping foto yang menunjukkan jalur warna putih pada Jalur Gemilang ditukarkan kepada warna hitam di laman Facebooknya semalam.

Perbuatan tersebut kononnya mahu menyindir Kementerian Pendidikan yang mungkin akan menukarkan warna bendera itu sama seperti menukar warna kasut sekolah daripada putih kepada hitam.

Bagaimanapun, berdasarkan carian yang dibuat oleh Sinar Harian mendapati hantaran tersebut telah dipadamkan namun tulisan berhubung isu tersebut masih boleh dibaca di laman webnya.

Menerusi tulisan tersebut, lelaki berkenaan turut memuat naik semula gambar Jalur Gemilang yang asal.

Menurut tulisan tersebut, individu berkenaan telah menolak supaya tulisan khat tidak diwajibkan bagi di sekolah vernakular.

“Saya akan belajar khat sebagai hobi dan mengalu-alukan khat sebagai satu seni tetapi tidak menjadikannya wajib!

“Jangan perkenalkan jawi sebagai mata pelajaran wajib. Sebarang bentuk seni tidak seharusnya jadi wajib, wajib bererti satu arahan dan peraturan.

“Ini bukan pendekatan yang betul terhadap sesuatu yang sudah baik. Sesuatu yang baik tidak perlu kewajipan dan peraturan.

“Jika pendekatan salah maka keputusan akhirnya nanti akan jadi berbeza, ini sesuatu yang ahli politik perlu belajar,” katanya.sumber sinar harian