Minum ‘bubble tea’ cukup membimbangkan.

MENGIKUT kajian yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah pengambilan gula yang dicadangkan kepada setiap individu adalah maksimum lima hingga 10 sudu teh gula setiap hari.

Tetapi sedarkah anda, kandungan gula di dalam minuman bubble tea yang kini menjadi fenomena dalam kalangan masyarakat sebenarnya sudah melebihi daripada saranan yang ditetapkan?

Di Malaysia sahaja, dianggarkan terdapat lebih 50 jenama yang menawarkan pelbagai jenis minuman bubble tea. Ya benar, ia sedap, tetapi bagaimana pula dari segi aspek kesihatan?

Menurut Pakar Pemakanan dan Pengurus Jabatan Dietetik dan Perkhidmatan Institut Jantung Negara (IJN), Mastari Mohamad, kandungan gula dalam segelas minuman bubble tea cukup membimbangkan.

Katanya, segelas minuman tersebut dianggarkan mengandungi antara lapan hingga 20 sudu teh gula.

“Jadi, itu memang sangat tinggi sebab kalau ikutkan dalam sehari, pengambilan gula untuk seorang yang normal tidak boleh melebihi 10 peratus daripada pengambilan kalori.

“Contohnya, seorang lelaki bersaiz badan sederhana seperti orang Asia, keperluan kalori mereka sebanyak 2,000 sehari. Jadi, ia (pengambilan gula diperlukan) lebih kurang 200 kalori sahaja, iaitu kira-kira 10 sudu teh,” katanya , pada Selasa.

Jelasnya, pengambilan gula secara berlebihan boleh mengundang kepada pelbagai jenis penyakit berbahaya seperti masalah obesiti, kencing manis dan jantung.

Ujar beliau lagi, bijian pearl atau lebih dikenali sebagai boba yang dicampurkan di dalam minuman bubble teatidak mengandungi sebarang nutrisi, melainkan kalori dan karbohidrat sahaja.

Lebih membimbangkan, kata Mastari, ia dikhuatiri mengganggu sistem penghadaman badan sekiranya pearl atau bebola hitam tersebut diambil secara berlebihan. sumber astro awani