Categories
Home islam

[VIDEO] Semangat Pemuda OKU solat sentuh hati masyarakat

Orang yang sihat dengan serba lengkap pun akan berikan berbagai alasan untuk tidak solat.Walau surau atau masjid dekat dengan rumah tidak pernah sampai atau tidak ambik tahu.Bagi berbagai alasan tidak sihatlah,sangat sibuklah dan penat.

 

Di saat orang yang sihat pun bagi berbagai alasan untuk solat,Seorang pemuda yang kurang upaya membuktikan untuk solat dan tidak perlu ada sebarang alasan.Solat tetap wajib walau di mana dan bila-bila pun.Sehubungan dengan itu seorang pemuda menepikan kekurangan yang ada untuk solat.

Tidak berapa pasti di mana video ini di rakam tetapi dari pakaian orang di sekelilingnya kita boleh rumuskan di rakam di negara Arab.Seorang yang bernama ibrahim Yusof telah post video ini untuk tatapan umum dengan kata-kata SubhanAllah May Allah give him good health Ameen.

 

Video tersebut membuatkan ramai yang tersentuh hati dan rasa insaf dalam diri.Rata-ratanya yang melihat video ini memuji kesungguhan pemuda ini dan mendoakan agar dia sihat dan di rahmati Allah.

 

Antara komen dari seorang bernama Arie – ya allah..,yg sehat pun blm tentu selalu inget engkau(allah)..akan tetapi fisik yg kurang pun sllu mendekatkan diri dengan engkau ya allah..,mari kita belajar dari video ini untuk selalu ingat allah..amin ya robballalamin

 

Seorang lagi yang berikan komen setelah melihat video ini bernama iaa hannat dalam bahasa inggeris Just imagine.. And some of us with good health and legs won’t even pray!!! Oh Allah forgive us .(bayangkan kita di berikan kaki dan kesihatan yang sihat tetapi tidak solat)

 

seorang lagi Saa memberi komen- Malu bgt yak kalo sholat masi sering ditunda, diakhirkan, gerakan ama bacaannya dicepet2in, dzikir doa ga pernah lama, kalo ada maunya baru dilama2in, caper gtu, dasar aku. Beliau berkata malu bila kita lewatkan solat dan lihatlah pemuda ini.

 

Solat merupakan ibadah yang penting dan wajib dilakukan di samping membentuk peribadi manusia kerana ianya mampu menghalang seorang Muslim daripada melakukan perkara mungkar, iaitu perkara salah dan terlarang

 

Bukan itu sahaja, solat juga dapat memberi ketenangan jiwa, tidak kira sama ada ketika seseorang itu dalam kesusahan atau dalam kegembiraan. Solat dari sudut bahasa beerti doa atau memohon kebajikan dan pujian manakala dari sudut syarak pula, solat diertikan “beberapa ucapan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir disudahi dengan salam, dilakukan dengan keadaan beribadah kepada Allah S.W.T dengan menurut segala syarat yang telah ditentukan.” 

 

Solat diwajibkan kepada seluruh umat islam yang telah baligh, berakal, dan suci daripada hadas kecil dan besar. Boleh jadi seseorang itu tertinggal solat atau tidak menunaikan solat fardhu kerana masih jahil agama, lagha, leka dengan dunia, kesibukkan bekerja, malas dan sebagainya tetapi walau apa pun alasan hutang solat fardhu wajib diganti kerana hukum meninggalkan solat fardhu adalah berdosa besar.

 

sesiapa yang meninggalkan solat fardhu secara sengaja wajib bertaubat dan sekiranya dia mengingkari, dia akan dihukum bunuh sebagai seorang murtad dan mayatnya tidak boleh dimandikan, dikafankan, disembahyangkan serta dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam kerana dia bukan lagi di kalangan mereka.

Sementara itu, sekiranya dia telah berubah ke arah yang lebih baik dan ingin kembali ke pangkal jalan, dia wajib mengqadha semula kesemua solat fardhu yang telah ditinggalkannya sejak akil baligh.

 

Bagi mereka yang ingin ganti atau qadha solat fardhu yang sudah bertahun lamanya ditinggalkan boleh melakukannya dengan menunaikan qadha solat fardhu bermula dari sekarang semampu yang mungkin walaupun secara beransur-ansur sehingga selesai di samping perlu bertaubat kepada Allah SWT.

 

Mereka hendaklah menghitung solat yang ditinggalkan dengan ghalib zan atau yakin supaya dapat diqadhakan semua solat yang pernah ditinggalkan.Tapi bagaimana ingin mengetahui selama mana perlu diganti solat fardhu? Menurut Ustaz Azhar Idrus andai kita telah qadha solat fardhu melebihi solat fardhu yang pernah ditinggalkan, kita akan merasa satu perasaan di dalam hati yang meyakinkan kita bahawa solat qada kita telah cukup. InsyaAllah.

 

Untuk memudahkan qadha solat fardhu, seseorang itu boleh melakukan solat qadha selepas solat fardhu misalnya selepas melakukan solat fardhu zohor disambung terus dengan solat qadha zohor dan begitulah untuk waktu-waktu solat fardhu yang lain.

 

Solat qadha juga boleh dilakukan 5 waktu solat qadha sekali gus sebelum tidur atau ketika tengah malam semampu yang mungkin.

 

Sebagai infomasi, solat qadha fardhu boleh dilakukan pada bila-bila masa kecuali ulama’ kata haram untuk qadha solat fardhu semasa khatib sedang naik di atas mimbar untuk membaca khutbah. Wallahualam.

 

Informasi dipetik daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

 

Categories
Home islam

Nama-Nama Bagi Surah Al-Fatihah

SOALAN:
Apakah terdapat hadith yang sahih berkaitan nama-nama bagi surah al-Fatihah?

JAWAPAN:
Al-Quran merupakan sebuah kitab mukjizat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril AS. Di samping itu, di dalamnya terkandung sebanyak 114 surah. Surah yang pertama di dalam al-Quran adalah surah al-Fatihah dan membacanya merupakan salah satu daripada rukun solat.

Berdasarkan soalan di atas, sememangnya terdapat hadith yang menceritakan berkaitan di antara nama-nama bagi surah al-Fatihah. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ أُمُّ الْقُرْآنِ، وَأُمُّ الْكِتَابِ، وَالسَّبْعُ الْمَثَانِي
“Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam (surah al-Fatihah), adalah ummul-Quran, ummul-Kitab dan al-Sab’ al-Mathani.” [Riwayat Abu Daud (1457), Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah sahih]

Tambahan pula, Allah SWT menamakan surah al-Fatihah sebagai al-Sab’ al-Mathani sebagaimana yang terdapat di dalam kitab-Nya.

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ آتَيْنَاكَ سَبْعًا مِّنَ الْمَثَانِي وَالْقُرْآنَ الْعَظِيمَ
“Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya.” (Al-Hijr: 87)

Di dalam hadith yang lain menurut riwayat Imam al-Bukhari ada juga disebutkan bahawa nama lain bagi surah al-Fatihah adalah al-Sab’ al-Mathani:

Daripada Abu Said bin al-Mu’alla berkata: “Rasulullah SAW telah memanggilku ketika aku sedang solat, maka aku tidak menyahutnya.” Aku berkata kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku sedang bersolat.” Rasulullah SAW bersabda: “Tidakkah kamu pernah mendengar firman Allah berkaitan tuntutan menyahut panggilan Allah dan juga Rasulnya apabila kamu dipanggil.” Kemudian Nabi SAW bersabda lagi: “Tidakkah kamu menginginkan supaya aku mengajarkan kepada kamu surah yang paling agung di dalam al-Quran sebelum kamu keluar dari masjid ini?” Setelah itu, Nabi SAW memegang tanganku. Apabila kami ingin keluar, aku berkata: “Wahai Rasulullah! Sebentar tadi kamu katakan yang kamu akan mengajarkan kepadaku surah yang paling agung di dalam al-Quran.” Maka Nabi SAW bersabda:
الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ، هِيَ السَّبْعُ المَثَانِي، وَالقُرْآنُ العَظِيمُ الَّذِي أُوتِيتُهُ
“Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam (surah al-Fatihah), adalah tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh al-Quran yang amat besar kemuliaannya yang telah diberikan kepadaku.” [Riwayat al-Bukhari (5006)]

Adapun berkaitan maksud al-Sab’ al-Mathani menjadi khilaf dalam kalangan para ulama’. Imam Mulla Ali al-Qari menyatakan maksud al-Sab’ (tujuh) adalah disebabkan surah ini mempunyai 7 ayat mengikut kesepakatan (para ulama’) walaupun di sana terdapat khilaf di antara ahli Kufah dan ahli Basrah pada beberapa ayat (melihat kepada ilmu fawasil). Dikatakan pula al-Mathani (berulang-ulang) adalah ia (al-Fatihah) sama seperti satu surah yang lain (di dalam al-Quran) atau disebabkan ayat-ayat di dalam ada yang turun di Makkah dan juga yang turun di Madinah sebagai tanda kebesarannya dan kepentingannya. Selain itu, dikatakan juga bahawa surah hanya diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW dan tidak diturunkan kepada umat yang sebelum daripadanya. [Lihat: ‘Aun al-Ma’bud, 4/232]

Antara nama lain yang disebutkan berkaitan surah al-Fatihah ini adalah Fatihah al-Kitab:

Daripada Ubadah bin al-Somit R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الكِتَابِ
“Tidak ada (sah) solat bagi sesiapa yang tidak membaca Fatihah al-Kitab (surah al-Fatihah).” [Riwayat al-Bukhari (756)]

Melihat kepada beberapa hadith dan ayat al-Quran di atas, maka dapat disimpulkan bahawa surah al-Fatihah mempunyai lebih daripada satu nama. Antaranya:

  • Al-Sab’ al-Mathani
  • Ummul-Quran
  • Ummul-Kitab
  • Al-Azhim
  • Fatihah al-Kitab

Penutup

Kesimpulannya, surah al-Fatihah merupakan salah satu surah yang amat penting sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith al-Bukhari di atas menurut riwayat Abu Said. Tambahan pula, surah al-Fatihah juga mempunyai lebih daripada satu nama sebagaimana yang diberikan oleh Allah dan juga rasul-Nya. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama. Amin.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Categories
Home islam

Kecemburuan Aisyah Apabila Ramai Wanita Ingin Mengahwini Rasulullah SAW

SOALAN:
Saya pernah mendengar satu hadith dimana Sayyidatina Aisyah R.Anha cemburu kerana ramainya wanita yang menawarkan diri mereka untuk dikahwini oleh Nabi Muhammad SAW. Boleh disyarahkan hadith tersebut?

JAWAPAN:
Firman Allah SWT:

وَامْرَأَةً مُّؤْمِنَةً إِن وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلنَّبِيِّ إِنْ أَرَادَ النَّبِيُّ أَن يَسْتَنكِحَهَا خَالِصَةً لَّكَ مِن دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۗ قَدْ عَلِمْنَا مَا فَرَضْنَا عَلَيْهِمْ فِي أَزْوَاجِهِمْ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ لِكَيْلَا يَكُونَ عَلَيْكَ حَرَجٌ ۗ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا
ترْجِي مَن تَشَاءُ مِنْهُنَّ وَتُؤْوِي إِلَيْكَ مَن تَشَاءُ ۖ وَمَنِ ابْتَغَيْتَ مِمَّنْ عَزَلْتَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكَ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَن تَقَرَّ أَعْيُنُهُنَّ وَلَا يَحْزَنَّ وَيَرْضَيْنَ بِمَا آتَيْتَهُنَّ كُلُّهُنَّ ۚ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ مَا فِي قُلُوبِكُمْ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ عَلِيمًا حَلِيمًا
“..Dan (Kami telah halalkan bagimu) mana-mana perempuan yang beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak membayar mas kahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya; perkahwinan yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, bukan bagi orang-orang yang beriman umumnya; sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada orang-orang Mukmin mengenai isteri-isteri mereka dan hamba-hamba perempuan yang mereka miliki; -supaya tidak menjadi keberatan bagimu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Kamu boleh menangguhkan sesiapa yang engkau kehendaki dari mereka dan engkau boleh mendamping sesiapa yang engkau kehendaki; dan sesiapa yang engkau hendak mendampinginya kembali dari mereka yang telah engkau jauhi itu, maka tidaklah menjadi salah bagimu melakukannya; kebebasan yang diberikan kepadamu itu (bila diketahui oleh mereka) adalah lebih dekat untuk mententeramkan hati mereka, dan menjadikan mereka tidak berdukacita, serta menjadikan mereka pula redha akan apa yang engkau lakukan kepada mereka semuanya. Dan (ingatlah) Allah sedia mengetahui apa yang ada dalam hati kamu; dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.” [Surah al-Ahzab (50-51)]

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili, ayat ini menyatakan salah satu kategori wanita yang halal dinikahi oleh Rasulullah SAW, iaitu wanita Mukminah yang menawarkan diri untuk dinikahi oleh Baginda SAW. Terdapat dua syarat sah pernikahan secara hibah (wanita menawarkan diri untuk dikahwini) iaitu: (i) wanita itu menghibahkan diri mereka kepada Nabi SAW dan (ii) memang Nabi SAW mahu menikahinya. Pernikahan melalui kaedah tanpa mahar, wali dan saksi ini hanya khusus kepada Baginda Nabi SAW sahaja.

Namun menurut Ibnu ‘Abbas R.A dan Mujahid, Nabi SAW tidak pernah menerima tawaran mana-mana wanita yang menghibahkan diri mereka untuk dikahwini Baginda. Hal ini sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa bahawa Rasulullah SAW bernikah dengan ramai isteri atas dorongan nafsu. Jika dakwaan tersebut benar, nescaya Nabi SAW akan menikahi mana-mana wanita yang menghibahkan diri mereka kepada Baginda, apatah lagi pernikahan tersebut boleh berlangsung tanpa wali, saksi dan mahar. (Rujuk Tafsir al-Munir 22/65)

Sebab penurunan ayat ini ialah kerana ramainya wanita pada masa itu yang menawarkan diri mereka untuk dikahwini oleh Rasulullah SAW. Daripada Abu Hisyam R.A:

كَانَتْ خَوْلَةُ بِنْتُ حَكِيمٍ مِنَ اللاَّئِي وَهَبْنَ أَنْفُسَهُنَّ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَتْ عَائِشَةُ أَمَا تَسْتَحِي الْمَرْأَةُ أَنْ تَهَبَ نَفْسَهَا لِلرَّجُلِ فَلَمَّا نَزَلَتْ ‏{‏تُرْجِئُ مَنْ تَشَاءُ مِنْهُنَّ‏}‏ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا أَرَى رَبَّكَ إِلاَّ يُسَارِعُ فِي هَوَاكَ‏
Khaulah binti Hakim merupakan antara wanita yang menawarkan diri untuk dikahwini oleh Nabi Muhammad SAW, melihatkan keadaan itu maka Aisyah R.Anha pun berkata: “Adakah wanita-wanita ini tidak berasa malu dalam menawarkan diri kepada lelaki untuk dikahwini?” Maka apabila turunnya ayat al-Quran تُرْجِي مَنْ تَشَاءُ مِنْهُنَّ وَتُؤْوِي إِلَيْكَ مَنْ تَشَاءُ, Aisyah pun berkata: “Wahai Rasulullah, aku melihat Tuhanmu (Allah SWT) begitu cepat sekali memenuhi kehendak dan keinginanmu.” [Sahih al-Bukhari (4823)]

Lafaz yang lain pula diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha sendiri:

كُنْتُ أَغَارُ عَلَى اللاَّتِي وَهَبْنَ أَنْفُسَهُنَّ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَأَقُولُ وَتَهَبُ الْمَرْأَةُ نَفْسَهَا فَلَمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ ‏{‏ تُرْجِي مَنْ تَشَاءُ مِنْهُنَّ وَتُؤْوِي إِلَيْكَ مَنْ تَشَاءُ وَمَنِ ابْتَغَيْتَ مِمَّنْ عَزَلْتَ‏}‏ قَالَتْ قُلْتُ وَاللَّهِ مَا أَرَى رَبَّكَ إِلاَّ يُسَارِعُ لَكَ فِي هَوَاكَ.
“Aku merasa cemburu kepada wanita-wanita yang menawarkan diri untuk dikahwini oleh Nabi Muhammad SAW, dan aku berkata: “Patutkah seorang wanita menawarkan dirinya kepada lelaki untuk dikahwini?” Tatkala Allah SWT menurunkan ayat تُرْجِي مَنْ تَشَاءُ مِنْهُنَّ وَتُؤْوِي إِلَيْكَ مَنْ تَشَاءُ, aku berkata: “Demi Allah, aku melihat Tuhanmu (Allah SWT) begitu cepat sekali memenuhi kehendak dan keinginanmu.” [Sahih Muslim (1464)]

Kata-kata yang diucapkan oleh Sayyidatina Aisyah R.Anha dalam hadith di atas perlu difahami dengan baik, agar kita tidak berburuk sangka terhadap keperibadian Nabi SAW dan Sayyidatina Aisyah sendiri.

Menurut Imam al-Nawawi, kata-kata Aisyah itu bermaksud Allah SWT memberi keringanan, keluasan dan pilihan kepada Baginda Nabi SAW dalam banyak perkara. (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim 10/50)

Menurut Imam al-Qurtubi pula, ucapan Aisyah ini muncul disebabkan oleh rasa cemburu (al-ghirah) dan rasa ingin bermanja dan dipujuk oleh Nabi SAW (al-dallal), dan hal ini dapat dilihat dalam dua keadaan lain yang melibatkan Baginda SAW dan Aisyah R.Anha.

Daripada Aisyah R.Anha:

قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ إِنِّي لأَعْلَمُ إِذَا كُنْتِ عَنِّي رَاضِيَةً وَإِذَا كُنْتِ عَلَىَّ غَضْبَى ‏”‏ ‏.‏ قَالَتْ فَقُلْتُ وَمِنْ أَيْنَ تَعْرِفُ ذَلِكَ قَالَ ‏”‏ أَمَّا إِذَا كُنْتِ عَنِّي رَاضِيَةً فَإِنَّكِ تَقُولِينَ لاَ وَرَبِّ مُحَمَّدٍ وَإِذَا كُنْتِ غَضْبَى قُلْتِ لاَ وَرَبِّ إِبْرَاهِيمَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَتْ قُلْتُ أَجَلْ وَاللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا أَهْجُرُ إِلاَّ اسْمَكَ
Rasulullah SAW berkata kepadaku: “Aku tahu apabila kamu gembira denganku, dan apabila kamu marah padaku.” Aku bertanya: “Bagaimana kamu mengetahuinya?” Baginda SAW menjawab: “Apabila kamu gembira, kamu akan berkata: ‘Tidak, demi Tuhan Muhammad’, dan apabila kamu marah, kamu akan berkata: ‘Tidak, demi Tuhan Ibrahim’.” Lalu aku berkata: “Benar, wahai Rasulullah, aku tidak menyebut namamu sewaktu aku marah padamu.” [Sahih Muslim (2439)]

Begitu juga sewaktu peristiwa fitnah (hadith al-Ifki), dimana Aisyah R.Anha dituduh melakukan perbuatan haram oleh golongan Munafik, sewaktu Baginda SAW membawa khabar gembira daripada Allah SWT:

يَا عَائِشَةُ، أَمَّا اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ فَقَدْ بَرَّأَكِ ‏”‏‏.‏ فَقَالَتْ أُمِّي قُومِي إِلَيْهِ‏.‏ قَالَتْ فَقُلْتُ وَاللَّهِ، لاَ أَقُومُ إِلَيْهِ، وَلاَ أَحْمَدُ إِلاَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ‏
“Wahai Aisyah, Allah SWT telah mengisytiharkan bahawa kamu tidak bersalah.” Ibuku berkata padaku: “Bangun dan pergi kepada Nabi SAW.” Aku berkata: “Demi Allah, aku tidak akan memuji sesiapapun kecuali Allah ‘Azza wa Jalla.” [Sahih al-Bukhari (4750)]

Menisbahkan sifat hawa nafsu kepada Nabi SAW juga perlu dijauhi sebagai satu bentuk memuliakan Baginda SAW. Tambah Imam al-Qurtubi lagi, alangkah baiknya jika Aisyah menggantikan perkataan ‘hawa’ dengan ‘keredhaan’, dan nescaya ia lebih baik dan sesuai. (Rujuk Al-Mufhim lima Asykala min Talkhis Kitab Muslim 4/211)

Kata-kata Imam al-Qurtubi ini juga diriwayatkan oleh Imam Ibn Hajar dalam kitabnya Fath al-Bari, dan ini mengisyaratkan bahawa beliau turut bersetuju dengan pandangan Imam al-Qurtubi. (Rujuk Fath al-Bari 9/165)

Menurut Syeikh Nuruddin al-Sindi pula, Aisyah R.Anha memandang perbuatan para wanita yang menawarkan diri mereka untuk dikahwini itu sebagai suatu yang tidak sopan, dan beliau ingin menjauhkan mereka daripada Baginda Nabi SAW. Adapun kata-kata “aku melihat Tuhanmu (Allah SWT) begitu cepat sekali memenuhi kehendak dan keinginanmu” merupakan satu bentuk kinayah (kiasan) oleh Aisyah yang menunjukkan beliau tidak lagi memandang buruk terhadap wanita-wanita tersebut, setelah datangnya firman Allah SWT yang memberi pilihan kepada Nabi SAW untuk mengahwini wanita-wanita tersebut atau tidak.

Dengan kata lain, seolah-oleh Aisyah cuba menyatakan: “Dahulu aku mencegah para wanita daripada menawarkan diri untuk dikahwini oleh Nabi, namun setelah aku dapati Allah SWT pun memenuhi kehendak Nabi SAW, maka aku pun redha dengan keadaan tersebut.” (Rujuk Hasyiyah al-Sindi ‘ala Sunan al-Nasa’ie 6/54)

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa ucapan Sayyidatina Aisyah R.Anha tersebut muncul kerana sifat cemburu yang merupakan satu sifat yang tabi’e dalam diri setiap manusia, dan ucapan tersebut adalah dimaafkan dari sudut syarak.

Sayyidatina Aisyah R.Anha selaku seorang yang bergelar Ummul Mukminin, seorang yang bertaqwa dan tinggi keimanannya juga tidaklah berniat untuk mengingkari perintah Allah SWT dan Rasul-Nya, namun sebagai seorang manusia, beliau mempunyai sifat manusiawi yang sudah dijadikan oleh Allah SWT dalam diri setiap manusia.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Categories
Home islam

Saya cina bukan islam tetapi saya suka pakai hijab

“SAYA Cina tapi saya suka berhijab”. Ciapan pemilik Twitter @jiaqing28512216 tular di media sosial apabila dia mencuri perhatian netizen kerana memakai hijab walaupun berketurunan Cina.

Katanya, dia, terbuka untuk memakai hijab kerana dikelilingi rakan-rakan Melayu dan mengenali mereka dalam tempoh lama.

“Mungkin kerana saya sudah berkawan dengan orang Melayu.

“Bila saya tengok kawan saya bertudung nampak ayu ja semua, saya tertarik dengan Melayu sebab bila tutup aurat, saya rasa tenang ja,” tulisnya.

Menurut gadis ini, pertama kali dia memakai tudung pada tahun 2018.

Foto Twitter @jiaqing28512216
Rata-rata netizen memuji kecantikan jiaqing apabila berhijab dan menutup aurat.

Malah ada mereka mendoakan agar suatu hari kelak, remaja ini terbuka hati untuk terus memeluk Islam.

“Cantiknya, macam tak percaya je awak Cina. Tuhan bukakan hati awak untuk pakai tudung, mungkin satu hari nanti, Tuhan akan membuka hati awak untuk cintakan kepada Islam pula. InsyaALLAH,” ciapnya.

Pada hantaran yang sama, beberapa rakan kaum Cina juga tampil memuat naik gambar mereka memakai hijab meskipun tidak memeluk Islam.

Kata @fierababyb00, “bila awak bertudung muka memang Melayu betul, cantik,”

Ada dalam kalangan netizen terus memberi kata-kata semangat untuk gadis berketurunan Cina ini terus berhijab dan mendoakan menerima hidayah.
sumber sinar harian

Categories
Home islam

Selepas dapat mimpi,Bekas CEO Rayani Air peluk Islam

PASIR MAS – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air, Ravi Alagendran, 52, memeluk Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah di Balai Islam Lundang, di sini kelmarin.

Keputusan Ravi Alagendran Abdullah itu didedahkan oleh rakan baiknya iaitu Syed Mohd. Amirrudin Syed Alwi.

Syed Mohd. Amirrudin mendedahkan, Ravi memperoleh hidayah untuk memeluk Islam menerusi mimpi.

“Sebelum itu dia banyak berkawan dan bergaul dengan orang Islam. Dari situlah timbul perasaan untuk mendekati Islam selain diberikan hidayah oleh Allah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Syed Mohd. Amirrudin turut mengakui tindakan Ravi memperkenalkan penerbangan patuh syariah merupakan salah satu usahanya selepas tertarik dengan ajaran Islam.

Katanya, Ravi kemudian banyak membaca dan belajar berkaitan dengan Islam selain mendengar ceramah-ceramah pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik.

“Sejurus memeluk Islam, hari ini Ravi Alagendran berkahwin dengan warga Indonesia Uci Indah Sari, 23,” ujarnya.

Rayani Air merupakan sebuah syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia dan memulakan operasi pada Disember 2015.

Bagaimanapun, pada 9 April 2016, Ravi membuat pengumuman menggantung operasi Rayani Air berkuat kuasa serta-merta.

Pada Jun tahun yang sama, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air kerana didapati melanggar syarat-syarat ASL dan kurang keupayaan dari segi kewangan serta pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial. – K! ONLINE

Categories
Home islam

Mufti mengulas seorang pensyarah universiti yang mengatakan duit kertas kita diperbuat dari lemak Khinzir.

agak terkejut dengar pasal cerita ni, duit kertas kita diperbuat dari bahan haram. Tahu tak bahan apa? bahan berkenaan adalah lemak khinzir. Ini berikutan sebuah ucapan seorang pensyarah universiti yang mengatakan duit kertas kita diperbuat dari lemak khinzir.

Berikuta dari cerita berkenaan, Mufti Wilayah Persekutuan,Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri terpanggil untuk mengulas isu berkenaan. Beliau menegur, dipetik dari Sinar Harian, kenyataan yang dikeluarkan itu perlu disertakan dengan bukti dan dalil yang kukuh selain disahkan oleh pihak berkuasa.

 “Kalau kamu mengukirkan satu-satu berita maka hendaklah kamu mentafsirkan berita tersebut dan sekiranya kamu membuat sebarang dakwaan maka datangkanlah dalil. Jadi hak untuk menyemak dan meneliti isu ini sudah tentu melibatkan makmal dan kita ada makmal yang baik untuk kita benar-benar memahami apakah dakwaan itu benar atau tidak sebab satu kenyataan perlu kepada penelitian yang kukuh,” kata Mufti Wilayah Persekutuan.

Beliau berharap agar rakyat Malaysia tidak mengeluarkan kenyataan yang mampu mengundang isu sensitif sehingga boleh merosakkan keharmonian negara.

Sumber: Sinar Harian

Categories
Home

Surah Palsu Yang Di Tambah Dalam Cetakan Al-Quran



Ramai rakyat Malaysia gemar membeli buku-buku rujukan Islam dari Indonesia berikutan penerbitan di sana yang nampak lebih rancak bagi memenuhi permintaan masyarakat Indonesia, selaku komuniti terbesar masyarakat Islam di dunia.

Surah Palsu

Bagaimanapun, berlaku satu penyebaran versi al-Quran yang dikatakan ada berlaku penambahan dengan wujudnya kemasukan 6 surah tambahan dalam versi al-Quran tersebut.

Menurut penyiasatan, terdapat hampir 12 surah palsu yang dicipta untuk ditambah dalam beberapa cetakan Al-Quran, namun ada 6 yang cukup terkenal dan dkenalpasti paling banyak disebar.

  1. Al-Iman (Kepercayaan)

‘Surah al-Iman’ menceritakan berkenaan kisah pengikut Nabi Isa a.s. yang sedang belayar di atas lautan dengan ombak besar melanda mereka.

Dalam kepayahan, mereka ternampak kelibat Nabi Isa sedang berjalan air, yang membuatkan mereka mempersoalkan keadilan Tuhan.

Mendengar keluhan itu, Tuhan pun menegur mereka dan mengingatkan mereka tentang kekuasaan-Nya.

Berkat daripada itu, mereka pun diberikan kebolehan untuk berjalan di atas air yang membuatkan mereka terselamat dan mengucapkan syukur.

Isu ‘surah’ ini

Manusia biasa boleh berkomunikasi dengan Tuhan secara terus. Jika anda membaca surah ini, sukar untuk dikenalpasti sama ada mereka itu sedang memohon kepada Tuhan ataupun kepada anak Tuhan.

Yang paling jelas, pembohongan paling besar adalah apabila manusia biasa diberikan mukjizat.

  1. Al-Muslimun

Surah Al-Muslimun ini berkisar kepada ‘peringatan’ yang diberikan kepada kaum Muslimin berikutan ketidak percayaan mereka kepada Allah dan Nabi Isa a.s., serta diperingatkan apa balasannya jika Muslimin tidak mempercayai kebenaran Nabi Isa a.s.

Kemudian, Tuhan dalam surah ini menegur Nabi Muhammad SAW kerana telah menyesatkan kaum Muslimin dengan meninggalkan amalan yang dibawa oleh Nabi Isa a.s.

Pada peringkat akhir surah ini, Nabi Muhammad SAW dikatakan memohon maaf kepada Allah SWT atas kesilapannya menyesatkan orang Islam dan menyesal kerana berjaya dihasut godaan syaitan.

Isu ‘surah’ ini

Rasanya sudah jelas di mana pembohongan surah ini dilakukan. Rasulullah SAW adalah seorang yang terpelihara daripada dosa dan tidak mungkin berjaya diperdayakan syaitan, begitulah juga para Rasul yang lain.

  1. Al-Tasajjud (Penjelmaan)

Kisah yang dipaparkan dalam ‘surah’ ini pula lebih kepada memperingatkan umat Islam berkenaan kekuasaan Allah SWT menjadikan apa saja yang dirasakan mustahil dilakukan.

‘Surah’ ini cuba mengajak umat Islam untuk menerima konsep Nabi Isa a.s. bukanlah seorang anak kepada Tuhan, tetapi sebenarnya telah pun menjadi sebahagian daripada Allah itu sendiri sejak mula lagi.

Kemudian Nabi Isa a.s. dikatakan dihantar kepada kalangan manusia untuk bercampur gaul dan hidup di kalangan manusia, lalu meninggal di kalangan manusia juga sebelum diangkat 3 hari selepas kematiannya.

Isi surah ini cuba memujuk umat Islam untuk menerima konsep Nabi Isa a.s. itu adalah anak Tuhan dan sesiapa yang tidak mempercayai konsep ini, bersedialah untuk berdepan kemurkaan Allah SWT.

Isu ‘surah’ ini

Konsep Nabi Isa a.s. sebagai anak Tuhan dan juga sebahagian daripada Tuhan merupakan satu kesalahan akidah yang jelas dalam Islam.

  1. Al-Wasaya (Perintah)

Salah satu surah palsu paling pelik yang ada. Kandungannya berkisar kepada perintah-perintah yang dikatakan datang daripada Allah SWT yang bersifat sangat spesifik.

Dalam ‘surah’ ini diletakkan panduan untuk menguap dan larangan meletak gambar anjing di dinding, sebelum mula mengarut dengan larangan keras terhadap dosa besar memakai kasut dengan kaki kiri terlebih dahulu.

Selain itu, dalam surah ini juga terkandung suruhan orang Muslimin untuk menyerang dan membunuh sesiapa saja kaum yang dikatakan golongan munafik. Selain itu, bersumpah dengan nama Allah digalakkan.

Isu ‘surah’ ini

Banyak perintah yang disebut dalam ‘surah’ ini sebenarnya adalah perkara-perkara yang perlu dielakkan.

  1. ‘Surah’ Al-Nurayn dan Al-Wilaya

Dua surah ini sudah lama wujud sejak kurun ke 17 lagi, dengan kedua-duanya dikatakan datang daripada seorang penulis tidak diketahui dari India.

Setakat yang diketahui, belum ada lagi mana-mana versi al-Quran yang mempunyai dua surah ini di dalamnya.

Dikatakan ditulis oleh pengikut fahaman Syiah yang mengagungkan khalifah ke empat selepas kewafatan Baginda Rasulullah SAW berikutan nama Ali bin Abi Talib disebut dalam kedua-dua surah ini.

Surah Al-Nurayn yang membawa maksud ‘cahaya’ menceritakan tentang dua cahaya yang akan melindungi orang Islam dan menjadi penunjuk kepada jalan yang benar.

Dalam ‘surah’ tersebut, nama Saidina Ali disebut sebagai seorang alim yang sentiasa berdoa setiap malam agar Allah mengampunkan dosa-dosa orang Muslim.

Kandungan dalam surah Al-Wilaya pula hampir serupa dengan kandungan surah Al-Nurayn dari segi temanya; beberapa peringatan terhadap hari Akhirat dan peringatan kepada mereka yang tidak mempercayai kandungan al-Quran.

Surah tersebut diakhiri dengan pujian kepada Allah dan juga Ali sebagai saksi yang golongan Muslim haruslah tunduk pada Allah SWT.

4 surah pertama yang kami kongsikan di atas dikatakan disebarkan dalam salah satu cetakan Qur’an di Indonesia, namun tidak dapat dipastikan kesahihan kisah ini, sama ada benar-benar telah diedarkan atau tidak.

Surah Al-Nurayn dan surah Al-Wilaya pula telah pun diperdebatkan semenjak kemunculannya dan diakui adalah surah-surah palsu.

Tujuan kami berkongsikan isu ini hanyalah untuk kita bersama-sama mempunyai sedikit pengetahuan untuk mengenal pasti surah-surah palsu yang ada dan dikatakan kerap diletakkan di dalam sumber-sumber rujukan al-Quran dalam internet, yang amat mudah dipergunakan oleh sesiapa saja.

Beberapa pautan laman rujukan al-Quran yang ada dan pernah memaparkan surah-surah ini sudahpun tidak lagi beroperasi, tetapi adalah lebih baik kita mengetahui sendiri nama-nama ‘surah’ ini agar kita tidak leka dan terpedaya membacanya, tanpa sedar surah yang kita baca itu sebenarnya hasil ciptaan manusia belaka.

Selain enam ini, terdapat beberapa lagi surah palsu yang ada dinamakan Al-Hayat, Al-Afdal, Al-Mukataa, Al-Kitab, Al-Usfoor, An-Nabi dan Ad-Du’a, yang dikatakan berlegar-legar di internet.

Berhati-hatilah ketika membeli dari sumber rujukan dan tidak dikenali penerbitannya.

Sukar untuk dibendung dalam dunia yang bersifat tanpa sempadan, jadi kita perlulah lebih bijak dalam meneliti masalah ini.

Wallahu a’lam.

Sumber sentiasapanas



Categories
Home islam

Hukum Bukan Mahram Tumpang Tidur Di Rumah

SOALAN:
Saya ada seorang sahabat baik (perempuan) yang masih bujang, dia terlalu rapat dengan saya sehinggakan saya sediakan baginya bilik khas di rumah. Saya dan suami bekerja sebagai penjawat awam dan selalu pulang lewat, jadi dia membantu untuk menguruskan anak-anak saya. Soalan saya, apakah suami dan sahabat saya dikira bersekedudukan jika saya tiada di rumah? Dan apa yang perlu saya lakukan untuk minta sahabat saya tidak terlalu kerap menumpang tidur di rumah?

JAWAPAN:
Islam meletakkan batas-batas pergaulan yang perlu dijaga antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT di dalam surah al-Nur, ayat 30:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ﴿٣٠﴾ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.” (Surah al-Nur: 30-31)

Antara batasan pergaulan yang perlu dijaga ialah tidak boleh berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi tanpa ditemani oleh mahram bagi lelaki atau perempuan tersebut. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ ‏
“Janganlah bersunyi-sunyian seorang lelaki dan perempuan (yang ajnabi) melainkan yang bersama-sama perempuan tersebut mahramnya.” [Riwayat Muslim (1341)]

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini menyebutkan bahawa apabila seorang lelaki dan perempuan yang ajnabi duduk bersama dan tiada orang yang ketiga bersama-sama mereka, maka perbuatan tersebut adalah haram dengan ijma’ para ulama’. (Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih al-Muslim Lin Nawawi, 9:109)

Begitu juga dalam satu hadith yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

أَلَا لَا يَخْلُوَنَّ رجلٌ بامْرَأَةٍ إِلَّا كَانَ ثاَلثهُمَا الشَيْطَان
“Ketahuilah bahawa tidak sesekali bersunyi-sunyian seorang lelaki ajnabi dengan seorang wanita ajnabiyah kecuali datang yang ketiga di antara mereka berdua iaitu syaitan.” [Riwayat al-Tirmidzi (2165)]

Justeru itu, perbuatan berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi tanpa ditemani orang ketiga adalah haram dan dikira sebagai khalwat.

Begitu juga, tafsiran undang-undang mengenai khalwat merujuk kepada Akta 559, Bahagian IV, Kesalahan Yang Berhubung Dengan Kesusilaan, Seksyen 27 (Khalwat) menyebutkan bahawa: “Mana-mana orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya; atau orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya, di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.”

Berbalik kepada soalan yang ditanya, situasi dalam soalan tersebut hampir sama seperti perbahasan hukum suami tinggal bersama isteri dalam tempoh iddah. Ini kerana hubungan suami dengan isteri yang telah ditalak sama hukumnya dengan seorang wanita ajnabi dan bukan mahram baginya, yang haram dilihat auratnya dan haram bersentuhan.

Dalam isu ini mengikut kepada pandangan mazhab al-Syafie, suami tidak boleh tinggal bersama isteri yang telah ditalaknya dalam tempoh ‘iddah di rumah yang sama kecuali jika hilangnya kemungkinan (ihtimal) khalwat dengan:

  • terdapat mahram isteri atau perempuan yang lain bersama mereka,
  • atau terdapat penghadang yang menghalang antara mereka seperti bilik dan sebagainya,
  • atau diasingkan mengikut tingkat seperti tingkat bawah dan tingkat atas dan sebagainya.

Ini seperti yang disebutkan di dalam kitab al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafi’e:

فَإِنْ كَانَ فِي الدَّارِ مَحْرَمٌ لَهَا ذَكَرٌ أَوْ أُنْثَى أَوْ مَحْرَمٌ لَهُ وَلَوْ زَوْجَةٌ أُخْرَى أَوْ وُجِدَ امْرَأَةٌ أَجْنَبِيَّةٌ جَازَ لَهُ الدُخُولُ وَ المُسَاكَنَةُ لانْتِفَاءِ المَحْذُور. لَكِن مَعَ الكَرَاهَةِ لاحْتِمَالِ النَظَرُ. أَوْ كَانَ فِي الدَّارِ حَاجِزٌ بَيْنَهُمَا أَوْ عُلُوٌّ أَوْ سُفْلٌ
“Jika sekiranya di dalam rumah tersebut terdapat mahram bagi isteri sama ada lelaki atau perempuan, atau mahram bagi suami walaupun isterinya yang lain, atau wujud perempuan ajnabiyah, maka harus bagi suami untuk masuk dan tinggal (di rumah isteri yang ber’iddah) kerana hilang pengharamannya tersebut, namun ia berserta dengan hukum makruh kerana dikhuatiri terlihat kepada aurat. Begitu juga, harus jika sekiranya di dalam rumah tersebut terdapat penghadang yang menghalang antara kedua-duanya atau rumah yang mempunyai tingkat atas dan tingkat bawah.” (Rujuk al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 4:268)

Oleh yang demikian, dalam situasi yang disebutkan di dalam soalan, jika disertai dengan orang ketiga seperti mahram bagi lelaki atau perempuan tersebut atau perempuan ajnabi yang lain atau yang seumpamanya atau sekiranya di rumah tersebut mempunyai penghadang seperti bilik atau tingkat bawah dan atas seterusnya hilangnya kemungkinan khalwat, maka hal yang demikian dari sudut hukum fiqhnya tidak dikira sebagai khalwat.

Namun begitu, ia dibolehkan dengan syarat hendaklah memastikan masing-masing dapat menjaga batasan aurat dan pergaulan. Justeru, ia diharuskan tetapi makruh kerana dikhuatiri terlihat aurat. Jika sekiranya ia boleh untuk dielakkan, maka hendaklah dielakkan sedaya mungkin.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyatakan situasi dinyatakan di dalam soalan tidaklah dikira sebagai khalwat atau bersekedudukan kerana terdapat penghadang dan penghalang iaitu bilik. Namun, hendaklah sebolehnya dielakkan supaya tidak menimbulkan syak wasangka dan fitnah kerana ia boleh diambil tindakan undang-undang sekiranya terdapat laporan.

Justeru itu, jika ketiadaan isteri dan hanya suami sahaja berada di rumah, maka seeloknya sahabat isteri tersebut tidak berada di dalam rumah yang sama dalam keadaan berdua-duaan sahaja kerana ia akan menimbulkan syak dan fitnah. Hendaklah dinasihatkan dengan memberikan penerangan yang jelas kepada sahabat isteri tersebut supaya tidak menumpang atau bermalam jika isteri tiada di rumah. Adapun jika disertai oleh isteri atau orang yang lain seperti yang disebutkan di atas, maka diharuskan tetapi makruh yang sebolehnya perlu dielakkan.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman terhadapnya serta memberikan taufiq dan hidayah untuk melaksanakan syariat-Nya dengan sebaiknya. Amin. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Categories
Home islam

Benarkah sedekah boleh membuatkan seseorang itu panjang umur

Pertanyaannya, apa sebenarnya maksud sedekah itu memanjangkan usia? Memang benar umur manusia itu telah ditentukan oleh Allah jauh sebelum manusia itu dilahirkan ke dunia, tapi sedekah boleh memanjangkan umur itu juga benar, tetapi kita jangan salah memahaminya.

Ada dua pendapat mengenai perkara ini.

1. Umur yang ditentukan Allah pada zaman azali atau jauh sebelum manusia itu dilahirkan adalah umur yang akan dipakai di alam dunia dan alam kubur.

Contoh, seseorang yang diberi umur 100 tahun oleh Allah, 50 tahun di dunia dan 50 tahun di alam kubur, ketika orang ini rajin bersedekah maka dengan izin Allah umur yang akan di pakai di alam kubur akan di pindahkan sebahagian ke alam dunia sehingga umurnya yang di dunia menjadi lebih panjang.

2. Seseorang yang rajin bersedekah akan mendapat kesan positif dari orang yang ada di sekitarnya.

Dengan kesan positif itu akan membuat orang yang rajin bersedekah menjadi berpengaruh atau dihormati oleh orang yang ada disekitarnya, bahkan ketika dia sudah meninggal namanya masih akan disebut-sebut dan akan mempengaruhi kehidupan orang yang masih hidup, sehingga dianggap berumur panjang kerana masih menjadi sebutan.

Rahsia Panjang Umur

Ramai manusia yang menjelajah benua hanya untuk mencari rahsia panjang umur dan awet muda, namun amat menghairankan, ketika ada satu perbuatan yang menjamin panjangnya usia, orang-orang justeru mengabaikannya dan tidak banyak orang yang melakukannya. Perbuatan tersebut adalah bersedekah.

Mengapa bersedekah dapat memanjangkan umur seseorang?

Beberapa hadis dan keterangan berikut ini mungkin menjadi jawapannya:

1. Orang yang menahan harta mendapat doa kemusnahan dari malaikat

Setiap hari, malaikat akan mendoakan orang yang bersedekah, yakni semoga Allah menggantikan apa-apa yang mereka infakkan di jalan-Nya.

Selain itu, malaikat tersebut juga mendoakan orang-orang yang bersifat bakhil atau pelit agar Allah memusnahkan mereka.

Mengapa kita tidak memanfaatkannya untuk memanjangkan usia dan bukannya memendekkannya kerana sifat kikir yang dipelihara?

”Setiap awal pagi, semasa terbit matahari, ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru, ‘Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah’. Yang satu lagi menyeru, ‘Musnahkanlah orang yang menahan hartanya.’ (HR. Muttafaq Alaih)

2. Sedekah dapat mengubah takdir mubram

Tahukah anda apa itu takdir mubram? Iaitu takdir Allah yang tidak dapat diubah, manusia tidak dapat memilih serta tidak memiliki kemampuan untuk mengubahnya.

Takdir Mubram ini terdapat pada sunatullah yang ada di alam maya ini dan salah satu contohnya adalah kelahiran dan pengakhiran manusia, kedatangan hari kiamat, jenis jantina bayi yang akan lahir, jodoh, usia .

Bukanlah mengejutkan ketika kita mendapat info dari sebuah hadis bahawa sedekah mampu mengubah takdir yang sudah pasti, termasuklah .

Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Ali, bahawa Rasulullah bersabda: “Sedekah dapat merubah takdir yang mubram (yang pasti)”. (HR. Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, Imam Ahmad)

Kisah Nabi Ibrahim a.s. Dan Pemuda

Sebuah kisah termahsyur di zaman Nabi Ibrahim telah memperlihatkan bahawa sedekah dapat menunda dan memanjangkan usia dalam erti yang sebenarnya.

Suatu hari, malaikat mendatangi Nabi Ibrahim alaihissalam, malaikat tersebut bertanya, “Siapa gerangan anak muda yang tadi mendatangimu wahai Ibrahim?”

“Dia adalah sahabat sekali gus muridku! Dia menemuiku untuk memberitahu pernikahannya pada esok hari.”

“Wahai Ibrahim, ketahuilah bahawa umur pemuda itu takkan sampai esok pagi.”

Setelah berkata demikian, malaikat meninggalkan Nabi Ibrahim.

Nabi Ibrahim mahu memberitahu sahabatnya tersebut bahawa usianya tidak sampai esok hari, hendaknya mengadakan pernikahan malam ini juga, namun Nabi Ibrahim menyimpan niat tersebut dan tetap merahsiakan kedatangan .

Keesokannya, Nabi Ibrahim masih melihat dan menyaksikan pernikahan pemuda tersebut.

Bahkan, hari berganti minggu, bulan dan tahun, pemuda tersebut tetap hidup dengan sihat wal afiat dan panjang usia.

Suatu hari, Nabi Ibrahim kembali mendapat kunjungan dari malaikat , maka Ibrahim berkata, “Adakah engkau berdusta mengenai usia pemuda yang merupakan murid dan sahabatku dulu?”

Malaikat menjelaskan bahawa, ketika ia akan melaksanakan tugas untuk mencabut pemuda tersebut, Allah menahannya.

Nabi Ibrahim kehairanan kenapa Allah memilih untuk memanjangkan umur pemuda itu dan jawapan Malaikat maut sungguh tidak disangka-sangka.

“Wahai Ibrahim, di malam menjelang pernikahannya, anak muda tersebut menyedekahkan separuh dari harta kekayaannya. Dan ini yang membuatkan Allah memutuskan untuk memanjangkan umur anak muda itu, sehingga engkau melihatnya masih hidup.”

Jelaslah bahawa sedekah dapat mengubah takdir dan memanjangkan usia.

Sedekah Mencegah usia Su’ul Khotimah

Banyak kisah mengenai dahsyatnya sedekah yang dapat mencegah buruk, sekalipun sedekah itu diberikan oleh seseorang yang fasik atau kafir, kebaikannya tetap tidak berubah.

Hal ini diperkuat dengan hadis Rasulullah SAW, “Sesungguhnya sedekah seorang muslim dapat menambah umurnya, dapat mencegah usia su’ul khotimah, Allah akan menghilangkan sifat sombong, kefakiran dan sifat bangga diri darinya.” (HR. Thabrani)

Wallahu a’lam.

Sumber sentiasapanas

Categories
Home islam

Hukum Masjid di namakan dengan nama seseorang yang membina atau wakafkan

SOALAN:
Apakah hukumnya apabila dibina sebuah masjid lalu diletakkan nama orang yang membinanya atau yang mewakafkannya atau seumpamanya?

JAWAPAN:
Harus hukumnya meletakkan nama masjid dengan nama seseorang samada orang tersebut yang membinanya atau yang mewakafkannya atau yang memilik tanahnya atau seorang yang lain sekalipun dia seorang yang kaya asalkan bukan bertujuan riak dan bermegah-megah.

Berkata Syeikh Athiyah Saqr:

لا مانع من إطلاق أسماء بعض الناس على المساجد، وهذا الإطلاق قد يكون من غير من بنى المسجد، وذلك لتخليد اسم شخص عالم أو حاكم أو مصلح، وقد يكون هو الذى بنى المسجد وميزه باسمه.
أما تخليد أسماء بعض الناس بنسبة المساجد إليهم فلا مانع منه إذا كان هذا الشخص يستحق ذلك، وإذا كانت نية من قاموا بهذا العمل حسنه.
وأما كتابة بانى المسجد اسمه عليه فيرجع فيه أيضا إلى نيته، فإن كان لمجرد تمييزه عن غيرة وسهولة الاستدلال عليه أو عمل الإجراءات اللازمة له فلا مانع، وإن كان للفخر والرياء فممنوع، والنصوص فى وجوب الإخلاص لله وتحريم الرياء كنيرة، والحديث معروف ” إنما الأعمال بالنيات “.

“Tiada halangan dari meletakkan nama seseorang kepada masjid. Yang demikian itu terkadang bukan nama orang yang membina masjid itu. Maka itu adalah kerana mengabadikan nama seorang yang alim atau seorang yang bijak atau seorang yang melakukan kebaikkan.

Dan terkadang diletakkan nama orang yang membina masjid. Dan terkadang mengabadikan nama sesetengah orang kepada masjid yang tiada ada halangan daripadanya apabila adalah individu tersebut memang berhak dengannya apabila tujuan orang-orang yang melakukannya adalah tujuan yang baik.

Adapun menulis akan nama tukang bina masjid maka kembali juga kepada niat. Maka jika semata-mata tujuannya supaya membezakan masjid tersebut dari yang lain dan memudahkan menunjukkan kepadanya atau pekerjaan yang lazim baginya maka tidaklah menjadi halangan.

Dan jika adalah meletakkan nama seseorang kerana berbangga-bangga dan riak maka ia adalah dilarang. Dan segala nas pada wajibnya ikhlas kerana Allah dan haramnya riak sangat banyak. Hadith segala amal itu dengan niat sangat masyhur.”

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus