Categories
Home Wanita

Tidak boleh guna perkataan dara dalam sijil kahwin

DHAKA – Perkataan ‘dara’ perlu dikeluarkan daripada sijil perkahwinan orang Islam di Bangladesh.

Keputusan itu dibuat Mahkamah Tinggi selepas ia dicabar kumpulan yang mendakwa istilah itu sebagai ‘satu penghinaan dan diskriminasi’.

Di bawah undang-undang perkahwinan di negara itu, pengantin perempuan perlu memilih tiga pilihan yang terdapat dalam sijil tersebut sama ada kumari (dara), janda atau bercerai.

Timbalan Peguam Negara, Amit Talukder berkata, mahkamah mengarahkan kerajaan menggantikan istilah ‘dara’ dengan ‘belum berkahwin’.

Mahkamah dijangka mengeluarkan keputusan penuh menjelang Oktober ini dan perubahan dalam sijil itu dijangka berkuat kuasa serta-merta.

Ini adalah satu keputusan penting,” kata peguam mewakili kumpulan yang memfailkan kes mencabar istilah itu pada 2014, Aynun Nahar Siddiqua semalam.

Mahkamah juga mengarahkan pihak berkuasa memperkenalkan pilihan ‘belum berkahwin, duda atau bercerai’ kepada pengantin lelaki menerusi sijil sama.

Difahamkan, kumpulan hak asasi sudah sekian lama mengkritik istilah itu yang digunakan dalam sijil perkahwinan tersebut sejak ia diperkenalkan pada 1961 kerana didakwa melanggar privasi wanita yang mahu berkahwin. – AFP Sumber sinar harian

Categories
Home islam Wanita

Kes perkahwinan di Thailand setiap hari meningkat

Tambahnya, disebabkan perasaan cinta yang mendalam terhadap lelaki tersebut Natasha mengambil keputusan untuk meneruskan hubungan mereka.

Tidak lama selepas itu, lelaki tersebut telah menyatakan hasrat untuk menjadikan Natasha sebagai isterinya yang sah.

Memandangkan lelaki tersebut masih berstatus suami orang, mereka terpaksa melangsungkan perkahwinan tanpa kebenaran di Thailand

“Atas sebab cinta saya bersetuju untuk berkahwin di Thailand tanpa pengetahuan ahli keluarga. Saya tidak kisah semua itu, apa yang penting saya dapat berkahwin dengannya dan kami sah untuk menjalinkan hubungan sebagai pasangan suami isteri.

“Kesemua urusan perkahwinan diuruskan oleh seorang ejen yang merupakan kenalan kepada suami saya,” katanya.

Realitinya, melangsungkan perkahwinan di Thailand bukanlah sesuatu yang baharu.

Khidmat ejen

Kini banyak ejen yang menguruskan perkahwinan di negara Gajah Putih tersebut dengan mengiklankan perkhidmatan mereka di laman sosial Facebook.

Seorang ejen dikenali sebagai Faiz yang menguruskan urusan perkahwinan di Thailand menjelaskan, ramai pasangan mengambil keputusan untuk berkahwin di negara jiran itu kerana urusannya yang mudah.

Tegasnya, dia telah menjadi ejen menguruskan perkahwinan di Thailand sejak tahun 2017 dan lebih 10 pasangan telah dibawanya ke negara tersebut untuk tujuan demikian.

“Harga yang dikenakan untuk mereka melangsungkan perkahwinan di Thailand adalah antara RM2,500 hingga RM3,000 dan tempoh urusan adalah selama dua hari satu malam. Ada pasangan yang sanggup menawarkan upah sehingga RM5,000 hingga RM6,000 bagi membolehkan mereka berkahwin di negara tersebut.

“Mereka hanya perlu datang ke pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam di Kedah dan urusan kenderaan, perkahwinan dan penginapan akan diuruskan oleh saya,” katanya.

Tambahnya, ramai yang memilih untuk berkahwin di Thailand kerana prosedurnya yang mudah dan kosnya yang murah.

Dalam pada itu, Faiz menjelaskan, urusan perkahwinan tersebut akan dilangsungkan di sebuah masjid di Songkhla, Thailand yang terletak kira-kira 90 kilometer dari pintu sempadan Bukit Kayu Hitam.

Kebiasaannya urusan perkahwinan akan dilakukan pada sebelah pagi bagi membolehkan surat pengesahan dihantar ke Pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla dan akan diambil semula pada keesokan harinya.

Surat pengesahan itu penting bagi membolehkan mereka untuk mendaftar perkahwinan di Malaysia kelak.

Sementara itu, Faiz menjelaskan, kebanyakan mereka yang memilih untuk berkahwin di Thailand adalah untuk berpoligami tetapi tidak mendapat kebenaran isteri pertama.

“Selain itu ada juga pelajar-pelajar yang memilih untuk berkahwin di sini kerana mendapat tentangan keluarga untuk berkahwin di Malaysia. Saya pernah membawa pasangan pelajar yang berasal dari Malaysia dan sebuah negara Asia Barat untuk melangsungkan perkahwinan di sini.

“Selain itu, ada juga pasangan janda dan duda yang memilih untuk berkahwin di sini. Mereka menjelaskan urusan perkahwinan di negara jiran itu lebih mudah dan mereka tidak perlu mengikuti kursus perkahwinan semula untuk berkahwin di Thailand,” katanya.

Tambahnya, apabila selesai urusan perkahwinan di Thailand, dia menasihati kesemua pasangan untuk mendaftar perkahwinan mereka di Malaysia bagi membolehkan tiada masalah yang timbul di kemudian hari.

Kebanyakan pasangan yang memilih untuk berkahwin di Thailand adalah mereka yang tinggal di negeri-negeri yang bersempadan dengan negara tersebut.

Kedah antara negara yang mencatatkan jumlah tertinggi kes berkahwin di Thailand.

Pada Mac lalu, Bernama melaporkan, kes pasangan dari Kedah yang berkahwin tanpa kebenaran di Thailand dilihat semakin membimbangkan apabila sebanyak 799 kes dica­tatkan tahun lalu, meningkat 233 daripada 566 kes pada 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Ke­sihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, jumlah itu merangkumi kesa­lahan pernikahan tanpa kebenaran dan berpoligami tanpa kebenaran yang direkodkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri ini.

“Kesalahan nikah di Thailand ini terbahagi kepada pernikahan tanpa kebenaran seperti nikah di sana (Thailand) sebab keluarga menghalang iaitu ke­salahan di bawah Seksyen 40(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah) 2008 dan poligami tanpa kebenaran yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 124 enakmen sama.

“Sebanyak 502 kes pernikahan tanpa kebenaran dan 297 kes poligami tanpa kebenaran dicatatkan tahun lalu manakala 406 kes pernikahan tanpa kebenaran de­ngan 160 kes poli­gami tanpa kebenaran pula direkodkan berlaku tahun sebe­lumnya,” katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Katanya, berdasarkan statistik tahun lalu, pasangan dari daerah Kota Setar mencatatkan jumlah tertinggi yang melakukan kesalahan itu dengan 118 kes diikuti Langkawi (116), Kubang Pasu (110) dan Pendang (44 kes).

Ismail berkata, beliau percaya masih ramai pasangan dari negeri Kedah yang berkahwin di negara jiran tidak mendaf­tarkan perkahwinan mereka di pejabat agama Islam di sini dan keada­an itu amat membimbangkan kerana akan memberi im­plikasi terhadap hak isteri dan urusan pendaftaran anak kelak.

Pemudah cara

Bagi menangani masalah itu, beliau berkata, kerajaan ne­geri telah mengambil inisiatif melaksanakan kempen Jom Daftar Nikah mulai 1 Mac lalu yang bertujuan menggalakkan pasangan yang belum mendaftar perkahwinan mereka untuk berbuat demikian.

Katanya, menerusi kempen itu jabatan agama Islam negeri akan menjadi pemudah cara termasuk membantu menyediakan segala urusan dokumentasi untuk pasangan tersebut mendaf­tarkan pernikahan mereka.

Kempen ini merupakan ha­sil kesinambungan program Mai Daftar Nikah 2018 daripada kerajaan negeri terdahulu.

Bagaimanapun, Ismail berkata, pasangan terbabit tetap dikenakan denda yang akan ditentukan oleh Hakim Mahkamah Syariah berdasarkan kesalahan dilakukan.

“Saya jamin jumlah denda itu nanti tidak akan membebankan pasangan yang mendaftarkan pernikahan menerusi kempen ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pejabat Konsul Malaysia di Songkhla, Thailand, merekodkan peningkatan permohonan rakyat Malaysia untuk mendapatkan surat pengesahan pernikahan di selatan Thailand sejak 2011.

Konsul Jeneralnya, Mohd. Afandi Abu Bakar berkata, sebanyak 4,653 permohonan surat pengesahan pernikahan diterima tahun lalu berbanding 4,375 pada 2017.

Menurutnya, mengikut statistik, pejabat itu menerima 2,885 permohonan pada 2011, sebanyak 3,463 (2012), diikuti 3,485 (2013), 3,831 (2014), 4,081 (2015) dan 4,178 (2016).

Mohd. Afandi berkata, majoriti permohonan melibatkan pasangan yang telah berkahwin dua atau tiga tahun dan ia diajukan mungkin atas beberapa sebab seperti keperluan mendaftarkan anak.

Kebanyakan permohonan itu, kata beliau, melibatkan perkahwinan sesama rakyat Malaysia di pejabat-pejabat agama Islam di selatan Thailand.

Permohonan surat pengesahan pernikahan itu turut diterima daripada mereka yang telah berkahwin selama 20 tahun, namun bilangannya kecil, katanya.

Beliau menasihati rakyat Malaysia supaya tidak menggunakan ejen dalam urusan pernikahan yang mungkin menjurus kepada masalah dari segi status perkahwinan kelak sumber kosmo

Categories
Home Kehidupan

Walaupun lumpuh suami saya terima saya


BATU PAHAT – Seorang pengantin lelaki tidak menjadikan kekurangan isterinya yang lumpuh kedua-dua belah kaki dan berkerusi roda sebagai penghalang untuk mereka disatukan sebagai pasangan suami isteri.

Tambah meriah, pasangan suami isteri berkenaan disatukan dengan suasana yang cukup meriah bersama 17 lagi pasangan mempelai dalam Majlis Pernikahan Beramai-Ramai anjuran Kelab Kebajikan Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Hussein Onn Batu Pahat, semalam.

Siti Aisyah Zaid, 22, berkata, dia bersyukur suaminya, Amirul Syahmi Mohd Yazid, 25, sanggup menerima kekurangan yang dialaminya walaupun pada awalnya dia mempunyai fizikal yang normal seperti insan-insan lain.

“Kedua-dua kaki saya ini lumpuh selepas motosikal yang saya tunggang terlibat dalam kemalangan di Parit Raja dua tahun lalu dan ketika itu saya masih belum berkenalan lagi dengan suami walaupun kami masing-masing tinggal di daerah ini.

“Kami hanya berkenalan pada tahun lalu secara tidak sengaja melalui permainan video atas talian, Player Unknown’s Battleground (PUBG) pada tahun lalu dan bermula dari situ, hubungan kami bertambah akrab sehingga membuahkan rasa cinta,” katanya.

Sebanyak 18 pasangan pengantin yang menyertai Majlis Pernikahan Beramai-Ramai anjuran Kelab Kebajikan Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat.
Sementara itu, Amirul Syahmi berkata, dia mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya itu selepas diberitahu oleh ahli keluarganya mengenai Majlis Pernikahan Beramai-Ramai tersebut kira-kira beberapa bulan lalu.

Menurutnya, walaupun dengan bayaran hanya RM3,500, beliau secara peribadi berpuas hati apabila perjalanan majlis perkahwinannya itu berlangsung dengan meriah dan akan dijadikan kenangan terindah dalam sejarah hidup dia dan isterinya.

Sementara itu, Kadi Daerah Batu Pahat, Dzukafli Mohamed berkata, program yang kali kedua dijalankan sejak tahun 2016 itu merupakan salah satu inisiatif Kelab Kebajikan Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat untuk menggalakkan bakal pengantin di daerah ini mendirikan rumah tangga.

“Walaupun kita iklankan majlis ini dalam tempoh empat bulan, sambutan yang diterima amat menggalakkan kerana kami sedar untuk mendirikan rumah tangga sekarang perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar dan selepas ini kami rancang untuk adakan majlis seperti ini dua kali setahun.

“Apa yang menariknya kali ini, kesemua pasangan pengantin ini akan diraikan selama dua hari satu malam dan terdapat banyak pengisian termasuk penginapan di hotel, candle light dinner, cabutan bertuah dan konvoi pengantin,” katanya. Sumber sinar harian

Categories
Home

Perkahwinan Orang Gila dan hukumnya

Soalan:
Apakah hukumnya perkahwinan orang yang gila?

Jawapan:
Akal adalah satu nikmat Allah yang sangat besar bagi kita semua. Akal merupakan tambatan bagi taklif syarak dan satu pemberian Allah Taala kepada manusia supaya dapat membezakan antara yang buruk dan yang baik.

Allah Taala telah berfirman:

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَالْفُلْكِ الَّتِي تَجْرِي فِي الْبَحْرِ بِمَا يَنْفَعُ النَّاسَ وَمَا أَنْزَلَ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مِنْ مَاءٍ فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِنْ كُلِّ دَابَّةٍ وَتَصْرِيفِ الرِّيَاحِ وَالسَّحَابِ الْمُسَخَّرِ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ
“Sesungguhnya pada penciptaan segala langit dan bumi dan pertukaran antara malam dan siang dan pada kapal yang belayar di laut dengan barangan yang memberi guna kepada manusia dan pada segala apa yang Allah turunkan dari langit daripada air hujan yang dengannya Dia menumbuhkan kehidupan selepas ia mati dan membiakkan padanya daripada segala jenis haiwan dan pada pergerakkan segala angin dan awan yang diapungkan antara langit dan bumi sesungguhnya menjadi tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang menggunakan akal fikiran.” (Al-Baqarah: 164)

Dan syariat yang suci telah menjadikan beberapa hukum yang khusus bagi mereka yang kehilangan akal ini kerana memudahkan atasnya dalam menjalani kehidupannya.

Bermula hukum syarak untuk perkahwinan orang yang gila ini ada padanya huraian:

• Maka jika adalah orang yang gila itu yang baligh yang akan sembuh nescaya tidak terjadi nikahnya jika tanpa izin darinya.

• Dan jika gila yang selamanya maka harus bagi walinya menikahkannya jika berhajat kepada yang demikian itu kerana menolak mudarat yang mungkin berlaku jika tidak dinikahkan dan kerana mewujudkan kebaikkan bagi dirinya.

Berkata Syeikh Khatib Syarbini:

“حيث رأى الولي المصلحة في تزويج المجنون، ينبغي جوازه لحصول المصلحة بذلك له”
“Sekira-kira dilihat oleh wali akan maslahat pada menikahkan orang yang gila maka sayugia harusnya supaya hasil maslahat dengan yang demikian itu kepada dirinya.” (Kitab Mughni Muhtaj jilid 4 m.s. 280)

Maka atas ini harus hukumnya mengahwinkan orang yang gila dengan izin qadhi apabila sabitlah dengan penetapan pakar perubatan bahawa pada mengahwinkannya itu ada kebaikkan baginya.

Telah tersebut pada Kanun Hal Ehwal Perseorangan Jordan pada bahagian ke 12: “Bagi qadhi itu bahawa dia mengizinkan akan perkahwinan orang yang gila atau bodoh atau ada berpenyakit mental apabila sabitlah dengan ketetapan pakar perubatan bahawa pada mengahwinkkannya itu ada kebaikkan baginya.”

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus

Categories
Home islam Kehidupan Wanita

Wang Hantaran Kahwin sangat Tinggi: Punca Serta Penyelesaian

WANG HANTARAN KAHWIN TINGGI: PUNCA SERTA PENYELESAIANUmum mengetahui bahawa hantaran kahwin bukanlah sebahagian daripada tuntutan Islam. Yang dituntut oleh Islam hanyalah mas kahwin yang mana hampir setiap negeri di Malaysia telah menetapkan had minimum untuk mas kahwin. Sebagai contoh, had minimum mas kahwin untuk negeri Selangor ialah RM 300.00 dan di negeri Melaka ialah RM 40.00. 


Isu berkenaan hantaran kahwin ini bukanlah perkara baru. Sejak zaman datuk nenek moyang kita lagi isu berkaitan hantaran kahwin ini telah timbul dan polemik berkaitannya tidak pernah berhenti sehinggalah ke hari ini. Pelbagai masalah serta konflik yang timbul hanya kerana isu hantaran kahwin. Apakah puncanya dan bagaimana untuk kita menyelesaikannya?

Bagi tujuan perbincangan, ingin saya kecilkan skop perbincangan kepada hantaran kahwin yang melibatkan wang sahaja. Hantaran yang melibatkan barangan seperti beg tangan, jam tangan, kasut atau yang sewaktu dengannya tidak akan saya sentuh dalam artikel ini. Hal ini bagi memberikan fokus kepada isu berkaitan wang hantaran kahwin yang selalunya melibatkan jumlah yang tinggi.


PUNCA WANG HANTARAN KAHWIN TINGGISebelum kita membincangkan perihal penyelesaian, eloklah untuk kita mengetahui terlebih dahulu akan punca-punca yang menyebabkan wang hantaran kahwin menjadi tinggi.

1. Bersaing dan/atau Bermegah dengan Saudara-Mara / Sahabat / Jiran TetanggaIbu bapa yang tidak mahu kalah pasti akan sentiasa bersaing dengan saudara-mara, sahabat atau jiran tetangga. Sekiranya saudara-mara meletakkan hantaran kahwin untuk anak perempuan mereka sebanyak RM12,000.00 misalnya maka pasti sahaja mereka akan meletakkan hantaran yang lebih tinggi untuk anak perempuan mereka. Contohnya RM 15,000.00. Ia bagi tujuan menunjuk-nunjuk serta bermegah-megah kepada orang lain bahawa hantaran anak mereka nilainya tinggi dan hantaran anak saudara-mara / sahabat / jiran dianggap murah atau rendah.

2. Hantaran Adik Perempuan hendaklah lebih Mahal / Tinggi daripada Kakaknya  
Terdapat juga segelintir ibu bapa yang meletakkan wang hantaran si kakak sebagai penanda aras bagi meletakkan nilai wang hantaran anak perempuan mereka yang lain. Katakanlah wang hantaran si kakak sudah mencecah RM 13,000.00 maka wang hantaran si adik hendaklah melebihi daripada nilai hantaran si kakak. Misalnya, RM 15,000.00.


3. Hendak dijadikan Kos atau Modal Kenduri KahwinHarga barang sekarang dah mahal. Lembu, kerbau, ayam semua naik harga. Itu tak campur GST lagi. Kalau diambil kira semua sekali, RM 20,000.00 pun kata sesetengah ibu bapa pihak perempuan sudah boleh dianggap biasa. Kalau kenduri yang hendak dibuat itu menggunakan wang hantaran kahwin si anak maka logik sekali RM 20,000.00 pun tidak cukup. Apatah lagi jika majlis yang hendak dibuat menelan belanja yang besar. Mana tidaknya, pelaminnya saja sudah mencecah ribuan ringgit. Itu belum dicampur dengan goodies & bunga telur. Kasihan bakal pengantin lelaki. Sudahlah baru bekerja. Hendak ditampung pula kenduri kahwin sebelah isteri. Lebih kasihan kepada pengantin perempuan sekiranya kesemua wang hantaran digunakan untuk perkahwinan dan tiada langsung peluang untuk membeli barang kemas atau perhiasan.

4. Hendak dibeli Barang Kemas atau Perhiasan untuk Anak Perempuan 
Terdapat sesetengah ibu bapa yang mahu membelikan barang kemas atau perhiasan untuk anak perempuan mereka namun tidak mampu untuk berbuat demikian. Oleh yang demikian, wang hantaran kahwin diletakkan nilai yang tinggi bagi menampung pembelian barang kemas atau perhiasan tersebut dan sebahagian lagi akan digunakan untuk perbelanjaan kenduri kahwin. Terdapat juga ibu bapa yang mampu mengadakan kenduri dengan wang mereka sendiri dan anak perempuan mereka dinasihatkan untuk membeli barangan kemas dan perhiasan sebagai satu bentuk pelaburan.

5. Bakal Menantu Kerja Profesional / Berjawatan Besar / Bergaji Besar / Anak Orang Berada
Pantang bakal menantu kerja profesional / berjawatan besar / bergaji besar / anak orang berada maka hantaran yang hendak diletakkan pasti sahaja melambung tinggi. Jika bakal menantu bekerja sebagai Doktor, Jurutera, Arkitek, Peguam atau mana-mana profesion yang ada kelas maka akan tinggilah hantarannya. Dalam isu ini, ibu bapa pihak perempuan hendaklah sedar bahawa meskipun bakal menantu tergolong dalam golongan profesional, itu tidak bermakna dia sudah kaya atau berduit. Hal ini kerana mereka baru sahaja bekerja dan tidak mempunyai pendapatan yang tinggi seperti mana yang difikirkan oleh sesetengah pihak.

6. Anak Perempuan Berkelulusan Tinggi
Ada juga sesetengah ibu bapa yang meletakkan hantaran kahwin yang tinggi atas dasar anak mereka berkelulusan tinggi sama ada lepasan universiti atau pemegang Master/ PhD. Katanya sudah banyak wang yang telah dibelanjakan untuk anak mereka sehingga berjaya maka nilai hantaran kahwin perlulah setimpal. Tapi bagaimana pula dengan yang SPM pun tak pass, hantaran lebih kurang sama dengan yang keluar universiti?

PENYELESAIAN
Punca utama kepada permasalahan telahpun kita ketahui. Kini tiba masanya untuk kita kupaskan tentang penyelesaian yang boleh membantu dalam menyelesaikan permasalahan berkaitan isu wang hantaran kahwin.


1. Bakal Pengantin Perempuan Perlu Berbincang Lebih Awal Dengan Ibu Bapa
Bakal Pengantin Perempuan jangan sesekali meletakkan isu wang hantaran kahwin sebagai isu yang tidak penting. Bincangkan berkaitan wang hantaran kahwin seawal yang mungkin. Berikan kesedaran kepada ibu bapa tentang kebaikan meletakkan nilai wang hantaran kahwin yang munasabah. Antara kebaikan yang boleh dikongsikan ialah hidup sesudah kahwin tidak akan terbeban dengan hutang piutang, pembaziran dapat dielakkan dan lain-lain lagi.

2. Bincang dengan Bakal Pasangan (Bakal Pengantin Lelaki)
Isu hantaran kahwin semestinya isu yang sangat sensitif untuk dibincangkan. Sebelum pertunangan misalnya, bincanglah terlebih dahulu dengan bakal pasangan tentang setakat mana kemampuannya untuk melunaskan wang hantaran kahwin. Jika sekiranya bakal pasangan mengaku bahawa dia mampu setakat RM 10,000.00 sahaja misalnya maka kemudiannya bakal pengantin perempuan boleh membincangkan perkara itu dengan ibu bapanya pula.

3. Elakkan Berbincang Soal Hantaran ketika Upacara Pertunangan
Pesanan saya, jangan sesekali membincangkan soal hantaran ketika upacara pertunangan. Hal ini kerana pada waktu tersebut ramai orang yang akan mendengar serta memerhati di samping bagi mengelakkan aib kepada kedua-dua belah keluarga. Sememangnya ada kes yang mana pihak lelaki meminta supaya wang hantaran dikurangkan dan pihak perempuan tidak berganjak dengan keputusan mereka. Kejadian seumpama ini boleh menyebabkan malu kepada kedua-dua belah keluarga. Terdapat juga insiden di mana pihak lelaki tidak bersetuju dengan nilai wang hantaran yang diletakkan oleh pihak perempuan dan upacara pertunangan terpaksa dibatalkan. Ketika upacara pertunangan, memaklumkan nilai hantaran kahwin kepada pihak lelaki hanya perlu dibuat secara formaliti sahaja. Ini bermakna nilai hantaran kahwin berkenaan telahpun diketahui serta dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak sebelum upacara pertunangan lagi.

4. Adakan Kenduri Kahwin Sekadar Yang Mampu
Khas untuk bakal pengantin perempuan, adakan kenduri mengikut kemampuan. Ukur baju di badan sendiri. Jangan kerana hendak mengadakan majlis yang besar-besaran maka beban kemudiannya diletakkan di bahu bakal suami dengan meletakkan nilai hantaran yang tinggi. Ingatlah, perkahwinan tidak berakhir di majlis walimatul urus. Itu hanya permulaan kepada sebuah rumahtangga yang masih jauh perjalanannya. Jika suamimu susah di kemudian hari maka kamu juga akan turut susah.

KESIMPULAN

Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah SAW maka permudahkanlah ia. Jangan kerana hendakkan hantaran tinggi, majlis perkahwinan ditangguh-tangguhkan. Tempoh pertunangan pula dipanjang-panjangkan. Sekiranya sudah sampai masanya maka satukanlah mereka. Jangan buang masa. Dahulukan yang wajib. Kalau tidak, siapa yang hendak tanggung dosa-dosa itu semua? Renung-renungkan. Selamat beramal.sumber mhzviews.blogspot

Categories
Home Wanita

Lelaki tolak berkahwin bila gadis tak sama dengan gambar asal

Adoi, rasa sakitnya sangat, huhu. Baru-baru ini tersebar tentang kisah seorang lelaki yang kecewa apabila terpaksa membatalkan perkahwinan dengan wanita yang dikenalinya di saat akhir kerana terasa tertipu.

Lelaki yang dikenali dengan nama Yusuf dan bekerja di Korea Selatan itu terpaksa membatalkan majlis perkahwinannya apabila impian untuk berkahwin dengan gadis cantik Indonesia yang bekerja di Taiwan dan dikenali di Facebook, tidak sama dengan gambar yang dilihatnya selama ini.

Untuk dijadikan cerita, Yusuf pada mulanya telah terpikat dengan gambar cantik dan indah yang selalu dikongsikan di laman Facebook gadis terbabit dan membuat keputusan untuk jalinkan hubungan. Walau tidak pernah bersua muka kerana jarak yang jauh, pasangan itu menjalinkan hubungan cinta dan sering berhubung melalui media sosial.

Selepas dua tahun menjalinkan hubungan jarak jauh, Yusuf akhirnya mengambil keputusan datang ke Taiwan untuk menikahi gadis yang dicintainya itu. Jadi pada saat ini perkara menyedihkan berlaku apabila Yusuf terkejut apabila mendapati wajah kekasihnya itu jauh berbeza dengan gambar yang terdapat di Facebook.

Tanpa berfikir panjang, masa inilah Yusuf ambil keputusan batalkan perkahwinan mereka dan terus pulang ke Korea semula. Tidak cukup dengan itu, Yusuf juga telah viralkan kisahnya ke sosial media yang turut kongsikan gambar gadis berkenaan.

Apa agaknya yang membuatkan Yusuf bengang? Kalau korang nak tahu. Yusuf berkata, dia juga mengalami kerugian kira-kira Rp10 juta (RM2,948) yang diminta wanita itu sebagai persediaan majlis perkahwinan mereka.

Zaman sekarang ni jangan mudah percaya dengan apa yang dikongsikan oleh seseorang melalui sosial media, tida kira wanita atau lelaki, korang perlu sentiasa berhati-hati. Bagi mereka yang masih belum jumpa pasangan itu, jangan putus asa ok, teruskan mencari sumber oh media

Categories
Home islam

Bolehkah Replika Cek Mas Kahwin di gunakan Semasa Akad Nikah

Soalan:
Berkenaan penggunaan replika cek semasa akad nikah sebagai mas kahwin, jika bakal suami telah pun memindahkan wang mas kahwin tersebut ke dalam akaun bakal isteri, tetapi semasa akad nikah nanti, kami hanya mempamerkan replika cek dengan jumlah mas kahwin tersebut.

Soalan saya, apakah semasa lafaz akad nikah, mas kahwin tersebut dikira dalam bentuk tunai ataupun dikira sebagai hutang kerana wang tersebut tidak ada pada tempat akad nikah berlangsung?

Jawapan:
Mas kahwin mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka edisi yang keempat bermaksud, pemberian wajib yang berupa wang (al-Quran dsb) oleh pengantin lelaki kepada pe­ngantin perempuan semasa upacara akad nikah, mahar; bermaskahwinkan mempunyai atau menggunakan sesuatu sebagai mas kahwin; ada pula hanya Surah al-Ikhlas dan ada juga membayar mas kahwin sebanyak 100 dinar.

Mas kahwin di dalam Bahasa Arab di disebut sebagai al-Sadaq iaitu harta yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya dengan sebab akad nikah. Ia dinamakan sadaq untuk menunjukkan bahawa lelaki tersebbut benar-benar ingin berkahwin. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 4/75)

Pensyariatan

Mas kahwin merupakan satu kewajipan yang dikenakan terhadap suami selepas menyempurnakan akad perkahwinan ini sepertimana firman Allah SWT:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً 
“Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib.” (Surah al-Nisa’, 4)

Al-Sadaq, diwajibkan ke atas suami sama ada di sebutkan di dalam akad dengan kadar yang jelas seperti harta dengan sebutan satu ribu lera Syria atau pun tidak disebut di dalam akad. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e 4/75)

Dr Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya mendatangkan pandangan Imam Mawardi dengan menyatakan, asal dalil pada kewajipan mas kahwin ketika nikah adalah al-Quran, Sunnah dan Ijma’. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/111)

Menyebut Mas Kahwin di Dalam Akad

Tidak menjadi rukun untuk menyebut mas kahwin ketika akad nikah dan bukanlah salah satu daripada syarat-syaratnya.

Harus untuk tidak menyebutnya di dalam akad nikah dan sah akadnya akan tetapi perbuatan itu dimakruhkan. Akan tetapi disunatkan menyebutnya di dalam akad nikah. Ini seperti yang disebutkan di dalam al-fiqh al-Manhaji:

“Sunat hukumnya menyebut kadar mas kahwin semasa akad nikah. Ini kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan daripada menyebutnya dalam mana-mana perkahwinan. Menyebutnya dapat mengelakkan pertelingkahan antara suami isteri. Walaupun begitu perbuatan itu bukanlah satu perkara yang wajib. Ulama’ juga bersepakat, harus sekiranya tidak menyebut di dalam akad akan tetapi perbuatan itu adalah makruh.” (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 4/76)

Mas Kahwin Secara Segera dan Tangguh

Mas kahwin merupakan hak milik yang khusus bagi seorang isteri. Pemberian mas kahwin tidak disyaratkan untuk disegerakan atau ditangguhkan. Dan isteri berhak dalam menentukan keadaan ini, dan ini kerana mas kahwin merupakan hak milik isteri.

Ini seperti yang dinyatakan Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya: “Mas kahwin merupakan hak bagi isteri dan hak pemilikan itu berlaku ketika akad nikah yang sahih dan hukum syara’ tidak mensyaratkan menyegerakan mas kahwin ketika akad atau selepas akad.” (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie’, 4/116)

Begitu juga yang terdapat di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji: “Pemberian mas kahwin tidak disyaratkan segera dan ia boleh ditangguhkan kesemuanya sebelum persestubuhan. Ini kerana mas kahwin itu milik isteri dan dia berhak menentukan sama ada ia disegerakan atau ditangguhkan mengikut kehendaknya.” (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 4/78)

Mas kahwin merupakan hak milik mutlak bagi seorang isteri. Wali tidak berhak terhadapnya. Walaupun dia berhak menerimanya sebagai wakil namun ia adalah hak sepenuhnya bagi seseorang isteri. Ini seperti mana firman Allah SWT:

فَلَا تَأْخُذُوا مِنْهُ شَيْئًا ۚ أَتَأْخُذُونَهُ بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا
“Maka janganlah kamu mengambil sedikit pun dari harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan (yang menyebabkan) dosa yang nyata?” (Surah al-Nisa’, 20)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan dan dalil yang diberikan, dapat disimpulkan bahawa:

• Mas kahwin tidak menjadi kewajipan di dalam mempamerkan atau disebut di dalam akad semasa pernikahan. Disunatkan untuk menyebutnya semasa akad nikah. Ini bagi mengelakkan daripada terjadinya pertelingkahan.

• Adapun mas kahwin wajib diberikan oleh suami kepada isterinya sama ada secara tunai ataupun berhutang dengan persetujuan isterinya.

Mempamerkan mas kahwin semasa majlis akad nikah merupakan adat dan bukanlah syarat sah perkahwinan. Oleh itu, menggunakan replika cek semasa akad nikah adalah diharuskan. Ini bagi pemudah cara bagi membawa mas kahwin tersebut. Ini seperti firman Allah SWT:

يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ
“Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.” (Al-Baqarah: 185)

Dan sekiranya suami telah melakukan pembayaran ia termasuk di dalam kategori membayar mas kahwin secara tunai. Sebaiknya, pihak lelaki membawa bukti transaksi seperti resit ketika majlis akad nikah bagi mengelak berlakunya salah faham. Semoga Allah SWT memudahkan segara urusan di dunia dan akhirat.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Categories
Budaya Home Wanita

Desa Dehradun di mana wanita mempunyai lebih dari seorang suami

Biasa kita akan dengar lelaki yang mempunyai ramai isteri tetapi berlainan pulak dengan cerita ini bila seorang wanita mempunyai 5 orang suami dan kesemua suaminya adalah adik beradik . wanita bernama Rajo Verma, 21 tahun asal Dehradun, India bahagiaan Utara, dimana kehidupan seharian Rajo Verma adalah dengan 5 suaminya.

Suaminya ialah Sant Ram Verma (28 tahun), Bajju Verma (32 tahun), Gopal Verma ( 26 tahun), Guddu Verma (21 tahun dan Dinesh Verma (19 tahun), semuanya adalah adik- beradik kandung yang menjadi suami kesayanganan Rajo Verma. Suami-suaminya tidak ada perasaan cemburu malah bersetuju duduk serumah

Mungkin kedengaran agak pelik di sini bila dengar ramai suami tapi perkara ini adalah lazim di Desa Dehradun India  dan ia sudah menjadi tradisi turun temurun.Perkara ini di percayai bermula bila keluarga tidak mahu harta keluar dari kelompok keluarga mereka dan makin lama perkara ini masih di amalkan disini.

Perkara begini tidak berlaku di tempat-tempat lain di India yang masih memandang suci sesebuah perkahwinan.Ibu Rajo Verma juga mempunyai 3 suami yang tinggal serumah.Baginya dia tidak kisah mempunyai 3 ayah walau tidak tahu yang mana satu ayah kandungnya.Kalau sakit atau apa mereka berlima akan menjaganya bergilir-gilir.

Mereka juga tidak pernah bergaduh atau bermasam muka malah tidak ada perasaan cemburu antara mereka .Tradisi ini tidak tahu berapa lama akan kekal namun kita harap ia akan pupus tidak lama lagi bila banyak anak-anak terpelajar lahir di sana. sumber Dailymail co uk

Categories
Home Kehidupan

Akibat pinjam wang untuk perkahwinan

KUANTAN – Tindakan seorang pemandu membuat pinjaman kewangan untuk majlis perkahwinan menjerat diri apabila kerugian RM20,650 kerana diperdaya syarikat pemberi pinjaman tidak wujud.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa mendakwa membuat permohonan pinjaman pada 16 Mei lepas selepas dihubungi wakil syarikat itu.

iklan yang menarik dari syarikat ini beliau berkata, mangsa mendakwa tertarik untuk membuat pinjaman sebanyak RM30,000 selepas suspek mendakwa syarikat itu berdaftar di bawah Bank Negara dan memiliki lesen yang disyaratkan kerajaan untuk menjalankan perniagaan pemberi pinjaman kewangan.

“Suspek seterusnya didakwa mengumpan mangsa dengan mengatakan mereka menawarkan kadar faedah pinjaman sebanyak lima peratus yang terhad dan mangsa antara individu bertuah untuk menerima kemudahan itu.Bila kata begitu pemandu terbabit sangat teruja dan ingin hubungi mereka untuk teruskan permohonan

Beliau tanya apa yang perlu di buat untuk dapat pinjaman ini selain syarat-syarat yang perlu di penuhinya “Untuk mendapatkan tawaran itu, mangsa diminta kemukakan dokumen peribadi kononnya bagi tujuan pengesahan kelayakan permohonan,” katanya kepada media di sini hari ini dalam keadaan yang sedih dan sugul.

beliau agak terkejut bila mendapat call dari syarikat tersebut .Mohd Wazir berkata, suspek menghubungi mangsa pada keesokan hari memaklumkan pinjaman sudah diluluskan dan menghantar salinan surat pengesahan menerusi aplikasi WhatsApp bagi menyakinkan mangsa.Bila lihat itu Wazir sangat gembira dan mempercayainya seratus peratus.

Suspek, bagaimanapun memberitahu mangsa perlu membuat bayaran RM500 sebagai bayaran pemprosesan untuk mengeluarkan pinjaman itu yang diikuti dengan pelbagai bayaran lain yang akhirnya berlanjutan sehingga 12 transaksi.Transaksi ini di lakukan demi tidak mahu pinjaman ini berlaku apa-apa masalah.

“Mangsa akhirnya berasa marah kerana wang pinjaman masih tidak diterima sedangkan sudah menjelaskan bayaran yang besar dan menuntut supaya wangnya dikembalikan namun suspek melarikan diri,” katanya.Nombor yang di hubunginya tidak aktif dan gagal dapat sehingga rasa tertipu.

Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan. – sumber Bernama

Categories
Budaya Home islam Kehidupan

7 perangai buruk tetamu majlis kahwin

PERKAHWINAN merupakan satu detik bersejarah buat pasangan mempelai yang sudah bersedia untuk menempuh alam rumah tangga.Biasanya selepas akad nikah,

majlis resepsi diadakan untuk meraikan tetamu sebagai memenuhi tuntutan agama agar sesebuah perkahwinan itu dihebahkan.Ia juga untuk meraikan dua hati yang telah bersatu.

Ia bertujuan untuk mengelak daripada berlakunya fitnah dan hendaklah diadakan secara besederhana tanpa pembaziran.Pembaziran majlis kahwin adalah sangat besar

Namun, tak sedapnya ialah sikap buruk tetamu yang hadir dalam sesebuah majlis perkahwinan.

Di bawah ini disenaraikan antara sikap yang mungkin anda sedari. Adakah anda tergolong dalam kumpulan ini?

1. Salam keruk sampul kosong

Datang ke majlis kahwin dan melantak berpinggan-pinggan akhirnya hulur sampul kosong. Perkara ini sering berlaku melainkan bagi perkahwinan VIP atau orang kenamaan yang tidak memerlukan

‘salam keruk’ iaitu menghulurkan sampul berisi wang.Bagi bakal raja sehari, anda jangan terkejut semasa sesi membuka hadiah dan ’angpau’, jika anda menerima banyak sampul kosong.

2. Anak-beranak penuh meja

Untuk majlis yang tidak memerlukan tetamu membuat tempahan atau RSVP, sesetengah keluarga akan membawa anak beranak, datuk-nenek mereka ke majlis berkenaan.

Bayangkan untuk satu meja yang muat 10 orang, ia penuh dengan ahli keluarga itu sahaja. Lebih buruk perangai, mereka terus duduk di kerusi dan meja yang sama tanpa mahu memberi ruang kepada orang lain yang sedang berdiri mencari tempat duduk untuk menikmati makanan.

3. Mengata pengantin

Sikap ini dah macam kebiasaaan. Ketika pengantin di atas pelamin, tetamu mula menjadi juri awam. Biasanya pasangan pengantin akan menjadi buah mulut jika personaliti atau fizikal kurang menarik.

Selalunya yang menjadi mangsa ialah pengantin perempuan.Bukan sahaja fizikal malah hiasan pelamin, pakaian dan juga solekan juga turut dikomen.Ada juga yang bercakap kuat hingga orang sekeliling boleh dengar

4. Merungut tentang makanan

Makanan yang dihidangkan kepada tetamu antara perkara penting. Bilangan lauk-pauk juga diambil kira oleh tetamu. Lebih menyedihkan kalau makanan majlis kenduri kurang enak dan tidak banyak pilihan,

maka akan riuh sekampunglah orang bercakap. Ditakdirkan ada tetamu yang mengalami sakit perut selepas majlis itu, hmmmm… setahunlah orang akan bercakap buruk tentang pengantin.

5. Bawa balik makanan

Kalau zaman dulu-dulu, tetamu majlis kahwin akan bawa mangkuk tingkat. Dalam mangkuk itu mereka akan memasukkan barang-barang keperluan seperti gula, beras dan sebagainya untuk tuan rumah.

Sebagai ganti, pihak tuan rumah akan menyediakan lauk kenduri kahwin dalam mangkuk tingkat itu. Amalan pertukaran barang sedemikian sudah tidak lagi diamalkan tetapi yang sering dilakukan apabila tetamu meminta dibungkuskan lauk-pauk dan nasi kenduri kahwin untuk dibawa pulang.

6. Nak rasa lauk makan beradab

Selalunya lauk-pauk di meja pengantin untuk makan beradab agak istimewa. Kebiasaan ada ayam golek, udang panjat, ikan siakap tiga rasa, pemanis mulut dan beberapa makanan lain.

Ia tidak sama dengan hidangan untuk tetamu lain. Pengantin dan ahli keluarga yang duduk di meja makan beradab biasanya tidak makan banyak. Jadi, ada tetamu yang tak tahu malu mahu meminta makanan itu untuk menikmatinya.

7. Minta lebih goodies atau buah tangan

Selain bunga telur, pihak keluarga pengantin akan meyediakan buah tangan buat tetamu sebagai kenang-kenangan kerana menghadiri majlis perkahwinan yang diadakan.

Ada juga tetamu meminta lebih daripada satu barangan yang diberikan. Kalau yang hadir itu membawa lima orang anak, bayangkan dah berapa banyak buah tangan tuan rumah terpaksa berikan untuk sebuah keluarga itu?

Apa-apa pun, sebagai tetamu yang menghadiri sesebuah majlis kahwin, sikap hormat kepada tuan rumah adalah perkara yang paling mustahak kerana bukan mudah menguruskan majlis perkahwinan kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

Jadi, jika anda melihat apa juga kelemahan ketika menghadiri majlis perkahwinan, tidak perlu memberikan banyak komen sebaliknya jadikan majis itu sebagai tempat mengeratkan silaturahim.
Sumber mstar