Categories
Kehidupan

Ajak pakwe ke rumah, tengah belek belek gambar tiba tiba terjumpa gambar lama yang buat muka dia berubah dan tak tentu arah. Rupa rupanya ini yang terjadi.

GAMBAR SEKADAR HIASAN.

Pengakuan oleh Aina (bukan nama sebenar) bagaikan cerita yang hanya dilihat dalam drama atau filem, namun hakikatnya ini benar-benar berlaku. Sudah lima tahun kisah berlalu iaitu ketika dia masih menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi, tetapi tetap segar dalam kenangan dan menjadi pengajaran seumur hidup.

Memulakan bicara, Aina berkata, ketika semester pertama di universiti, dia berasakan kehidupannya begitu berubah. Masakan tidak, daripada anak manja tunggal yang tidak pernah berenggang dengan ibunya, dia kini perlu hidup berdikari.

Sememangnya sudah menjadi tabiat anak manja, dia memang kekok untuk bergaul dengan teman satu bilik yang seramai lapan orang di kolej. Sebulan di tempat baru membuatkan saya rasa sangat sunyi. Saya tidak seronok walau ramai kawan. Setiap minggu saya akan balik ke rumah ibu di Kuala Lumpur.

Walau banyak belanja saya tidak kisah asal dapat menghabiskan masa dalam rumah dan selesa di bilik sendiri. Adakalanya ibu memarahi saya kerana kerap pulang ke rumah, sangkanya saya langsung tidak mahu belajar. Dek kerana takut dimarahi ibunya lagi, Aina mencari sebab untuk dia gembira berada kira-kira 500 kilometer jauh dari rumah dan ibunya.

Mula mengenali Azam..Pada satu hujung minggu, dia cuba mengulangkaji pelajaran di perpustakaan universitinya. Ketika itu, matanya bertentang dengan seorang pelajar senior yang bagi Aina mempunyai wajah cukup tampan.

Dia memberanikan diri memberi senyuman dan dibalas mesra oleh pelajar senior tersebut. Azam (juga bukan nama sebenar) merupakan pelajar tahun akhir jurusan kejuruteraan mekanikal di universiti yang sama. Sejak berbalas senyuman, saya teringin mengenali Azam dengan lebih dekat. Selepas beberapa kali berjumpa di perpustakaan kami akhirnya bertukar nombor dan sering membalas SMS (khidmat pesanan ringkas).

Banyak persamaan antara kami, makanan hobi dan banyak lagi kegemaran kami yang sama. Saya sungguh selesa dengan Azam dan sejak berkenalan dengannya saya tidak pernah lagi rasa kesunyian.Hari demi hari perhubungan kami semakin rapat dan berasa selamat ketika bersama dia, katanya. Kami begitu teruja kerana apabila Azam mula bekerja dia berjanji akan melamar saya. Dia akan membawa saya berjumpa dengan keluarganya di Terengganu dan saya juga akan memperkenalkan Azam kepada ibu saya di Kuala Lumpur.

Saya pasti ibu akan menerima Azam kerana saya kenal dengan ibu saya yang memang mahu melihat saya bahagia, jelasnya. Pada satu cuti semester, Aina mengajak Azam untuk ke rumah ibunya dan salam perkenalan tersebut disambut dengan hati yang sungguh gembira.

Seharian kami menghabiskan masa di rumah, kami makan, menonton televisyen dan membelek album lama bersama ibu. Tiba pada satu keping gambar lama, Azam tiba-tiba berubah wajah. Terus ditanya siapakah dalam gambar tersebut. Ibu menerangkan itu adalah keluarga asal saya dengan bapa dan seorang abang bernama Amar.

Azam seolah kenal benar dengan wajah bapa dalam gambar tersebut kerana seingat Azam, bapanya juga mempunyai foto yang sama yang dibingkaikan di dalam bilik bacaan keluarganya. Selepas didesak barulah ibu bercerita. Rupanya ibu adalah isteri kedua ayah dan disebabkan jodoh tidak panjang mereka berpisah.

Ketika itu mereka mempunyai dua anak iaitu saya dan abang yang beza usia cuma dua tahun. Selepas berpisah, mereka bersetuju ayah ambil anak lelaki manakala ibu ambil anak perempuan iaitu saya. Menurut ibu, ayah membawa abang pindah ke Terengganu bersama keluarga isteri pertama yang telah mempunyai tiga anak dan selepas peristiwa itu mereka terputus hubungan hingga saat ini.

Selama ini saya memang tahu saya mempunyai abang tetapi saya tidak pernah bertanya mengenainya, mungkin sudah terlalu selesa hidup berdua dengan ibu. Tanpa menunggu sesaat, Azam memberitahu saya bahawa itulah juga ayahnya dan Amar itulah juga adiknya. Ya benar, kami mempunyai bapa yang sama, dia anak sulong ayah bersama isteri pertama.

Berderau saya dan reaksi ibu juga sama. Petang yang begitu ceria tiba-tiba bertukar menjadi dingin dan tegang, imbas Aina.Dari kekasih kepada kawan..Usai cuti semester, Aina kembali ke kampus meneruskan pelajarannya seperti biasa biarpun perasaan berkecamuk antara lega bertemu saudara dengan rasa sedih kehilangan cinta hatinya.

Azam pula sudah mula bekerja dan sejak peristiwa itu mereka cuba berubah menjadi seperti adik-beradik atau sekurang-kurangnya kawan biasa. Malangnya saya terasa begitu kekok, bayangkan daripada pasangan kekasih yang bakal mendirikan rumah tangga, kini kami kena akur bahawa kami adik-beradik sama bapa berlainan ibu.

Walau saya cuba beberapa kali untuk menganggap Azam sebagai abang tapi saya akui memang sangat sukar. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk tidak menghubungi Azam lagi. Kebetulan Azam juga ditugaskan ke luar negara selama dua tahun, jadi semakin mudah bagi saya melupakannya sebagai kekasih hati.

Saya juga tidak pernah menceritakan hal ini pada sesiapa. Hanya kami bertiga sahaja yang tahu. Namun hikmah selepas daripada kejadian itu, saya dapat bertemu semula dengan ayah dan abang sulong saya yang terpisah sekian lama, katanya yang kini telah berumah tangga dengan rakan sepejabat dan baharu sahaja menimang cahaya mata berusia dua bulan.

Categories
Home islam

mustahak bagi nama yang baik untuk anak-anak

NAMA merupakan alamat atau tanda pengenalan bagi seseorang. Oleh itu, pemberian nama kepada anak yang dilahirkan merupakan kewajipan ibu bapa.

Dengan wujudnya nama, maka seseorang itu boleh dikenali dan begitu juga nasabnya diketahui dengan mudah. Bayangkan jika nama tidak wujud pada seseorang, pelbagai urusan duniawi menjadi sukar dan mustahil seseorang itu dapat hidup dalam keadaan normal.

Menurut majoriti antaranya para ulama Mazhab Syafie menyatakan bahawa disunatkan memberi nama kepada anak pada hari ketujuh kelahirannya.

Hal itu berdasarkan hadis Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW memerintahkan untuk memberikan nama kepada bayi yang baru dilahirkan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya.” (Riwayat al-Tirmidzi)

Selain itu, ia berhujahkan bahawa Nabi Muhammad SAW menamakan dan mengakikahkan dua orang cucundanya, Hasan dan Husain pada hari ketujuh kelahiran mereka.

Namun begitu, Imam Nawawi dalam karangannya Raudah al-Tolibin menyatakan bahawa diharuskan seseorang anak itu diberi nama sebelum mencapai tujuh hari kelahiran.

Keharusan itu berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Aku telah dikurniakan seorang anak lelaki pada satu malam, maka aku menamakannya dengan nama bapaku (datukku), Ibrahim.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis itu, ia menunjukkan bahawa baginda menamakan anak lelakinya Ibrahim sejurus kelahirannya.

Pemberian nama anak sangat dititik beratkan oleh Islam hinggakan Rasulullah SAW menggesa supaya menentukan nama yang terbaik.

Ia sepertimana hadis Rasulullah SAW: “Sesungguhnya kamu semua akan dipanggil pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu, oleh itu perelokkanlah nama kamu.” (Riwayat Abu Daud)

Nama yang baik
Menurut Imam Nawawi lagi, disunatkan agar diberi nama yang baik untuk bayi yang dilahirkan. Adapun memberikan nama yang kurang baik hukumnya makruh di sisi Mazhab Syafie.

Namun begitu, memberi nama yang berunsur syirik hukumnya haram di sisi syarak seperti nama-nama tuhan dan dewa agama selain Islam.

Hal itu berdasarkan Rasulullah SAW menukar nama Abdul Rahman bin Auf yang pada asalnya bernama Abdul Kaabah (Hamba kepada Kaabah).

Terdapat riwayat yang lain dalam Sahih al-Bukhari bahawa Rasulullah SAW menukar nama sahabat yang kurang elok iaitu Hazn yang bermakna sedih. Lalu baginda menukar namanya kepada Sahl yang bermaksud mudah. Namun, lelaki itu enggan menukar namanya seperti yang dicadangkan oleh baginda kerana mahu kekal dangan nama yang diberikan oleh bapanya.

Nama disukai ALLAH SWT, Rasulullah SAW
Nama yang paling disukai oleh ALLAH dan Rasulullah SAW ialah nama Abdullah dan Abdul Rahman atau dinisbahkan dengan mana-mana nama ALLAH SWT yang tercatat dalam Asmaul Husna.

Ia berdasarkan hadis yang disabdakan oleh Baginda SAW: “Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh ALLAH dari nama-nama kamu ialah Abdullah dan Abdurrahman.” (Riwayat Muslim)

Selain itu, Rasulullah SAW menggemari nama-nama para nabi dan rasul sepertimana baginda menamakan anak lelakinya dengan nama Nabi ALLAH Ibrahim AS dan menamakan anak kepada Abdullah bin Salam RA dengan nama Nabi ALLAH Yusuf AS.

Selain itu, disabitkan dalam riwayat seorang sahabat, Zubair bin al-Awwam RA menamakan anak-anaknya dengan nama para syuhada. Begitu juga Talhah bin Ubaidillah RA menamakan anak-anaknya dengan nama para nabi dan rasul.

Juga sahih daripada cucunda Rasulullah SAW iaitu Hasan dan Husain RA menamakan anak-anak lelaki mereka dengan nama para sahabat nabi yang agung antaranya Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Abdullah dan Abdul Rahman.

Kesimpulannya, tanggungjawab sebagai seorang bapa atau ibu memberi nama yang baik kepada anak-anak mereka kerana ia merupakan sunah Rasulullah SAW yang sangat dituntut.

Lebih-lebih lagi nama yang diambil dalam kalangan para solihin. Tidak digalakkan memberi nama yang kurang elok kepada anak, antaranya nama yang tidak jelas atau samar maknanya seperti nama yang tidak bertepatan dengan kaedah dan semantik bahasa Arab.

Perlu diingat, tidak digalakkan memberi nama yang berunsur penyamaan kepada golongan bukan Islam kerana dikuatiri termasuk dalam salah laku menyerupai amalan kuffar, apatah lagi nama-nama yang jelas bertentangan dengan akidah.

Selain dari faktor hukum syarak, nama yang tidak baik atau kurang elok akan memberi impak negatif terhadap kehidupan sosial si anak apabila dewasa nanti. Contohnya, akan diejek oleh rakan-rakan sekolah dan dirasakan pelik oleh masyarakat sekeliling, bahkan sebahagiannya menjadikan ia sebagai bahan lawak jenaka.

sumber Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed