Categories
Home Wanita

Nama saya satu huruf iaitu S

ISKANDAR PUTERI – ‘Benar, nama saya ‘S’. Tidak percaya boleh lihat kad pengenalan saya,” kata pelukis pelan, S Rusli, 32.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, nama tersebut diberikan oleh bapanya, Rusli Ahmad Abd Karim, 57.

“Kata ayah, kalau (sesuatu) nama itu panjang, orang tetap panggil dengan panggilan yang pendek juga.

“Jadi katanya, lebih senang dan mudah, diletakkan sahaja nama saya pendek terus,” katanya di kediamannya di Taman Perumahan Rakyat Lima Kedai, di sini.

Menceritakan lebih lanjut, S berkata, nama tersebut diberikan berdasarkan kehidupan sebenar bapanya sebelum dan selepas dia dilahirkan.

“Ayah kata, kehidupannya sebelum dan selepas saya lahir adalah susah dan senang.

“Jadi huruf ‘S’ ini hadir daripada perkataan susah dan senang (dilalui bapa dahulu),” katanya.

Meskipun namanya sedemikian, beliau akui tidak berdepan sebarang masalah ketika zaman persekolahan hingga memasuki alam pekerjaan.

“Sebaliknya orang lain pula (seakan bermasalah). Contoh, bila saya mengisi sesuatu borang, penerima borang akan panggil saya semula.

“Mereka akan bertanya ‘apa nama awak ini?’ atau ‘siapa punya nama yang tidak lengkap?’ Jadi terpaksalah saya jelaskan perkara sebenar,” katanya.

Selain itu katanya, pernah berlaku apabila setiap pelajar diminta memperkenalkan diri masing-masing kepada guru di dalam kelas.

“Bila saya cakap nama saya S Binti Rusli, guru tersebut bertanya kembali nama saya. Malah, pernah sehingga dua tiga kali ditanya (untuk kepastian).

“Tetapi, ada juga rakan yang bantu menjelaskan kepada guru bahawa nama saya hanya S,” katanya.

Bahan bualan, jenaka rakan

S berkata, ketika zaman sekolah juga, namanya juga sering menjadi bualan malah bahan jenaka rakan-rakan yang nakal.

“Itu biasa (diejek). Ada yang panggil saya ‘Superman’ atau ‘Supergirl’ kerana simbol adiwira ini adalah huruf ‘S’.

“Tetapi bagi saya, tidaklah pelik sangat nama ini. Rasa biasa sahaja,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini apa sahaja borang yang diisikan olehnya, akan ditanya oleh pihak yang menerima.

“Mereka tanya ‘betul ke nama ini?’

Ada juga yang minta kad pengenalan saya, maka saya beri dan tunjukkan.

“Macam-macam reaksi orang bila tahu nama saya. Ada yang macam tidak percaya, ada yang ketawa malah ada yang pelik,” katanya.

Nama anak ringkas

Meskipun pernah berasa kurang senang apabila kerap ditanya berkenaan namanya, S berkata, lama kelamaan ia menjadi kebiasaan.

Katanya, dia juga memilih untuk memberikan nama yang ringkas kepada anak-anaknya iaitu Yani, 11; Dani, 5; dan Wani,2.

Sementara itu, Rusli berkata, nama S itu diberikan kerana nama bapanya, Ahmad Abd Karim yang panjang.

“Ada rakan panggil saya Rusli Ahmad, ada pula Rusli Karim, malah ada juga Rusli Abdul. Jadi bila lahirnya S, saya mahu beri nama yang pendek.

“Ketika itu hadir pula dalam fikiran huruf ‘S’ yang kalau dirungkai menjadi perkataan seperti senang, ‘success’ dan banyak lagi,” katanya.

Rusli berkata, dia ada juga bertanyakan pendapat isterinya, Rosnah Sutaman, 51, mengenai hasrat memberi nama tersebut kepada anak sulungnya itu.

“Selepas isteri bersalin, saya tanya dia. Kemudian, dia pun macam ‘OK’, maka diberikan nama S dengan huruf ‘S’ sahaja,” katanya.

Sumber : GPS Bestari